RSS

Antara Mi Bandung dan Bola Sepak

Assalamualaikum… Apa khabar semua? Saya mendoakan semua dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah sentiasa.. Pejam celik, pejam celik kita rupanya dah hampir sampai ke penghujung tahun 2010. Tanpa kita sedari masa begitu pantas berlari hingga kita lelah menghambatnya sedangkan masa itu sendiri tidak pernah berpaling untuk menunggu kita walau sesaat pun. Tahun 2010 terus berlalu meninggalkan kita dengan seribu macam kenangan pahit dan manis terakam di dalam memori kita. Hanya setakat ini pertemuan kita dengan tahun 2010 ini kerana ia tidak akan berulang kali. Semoga tahun 2010 banyak memberi kita pengajaran yang boleh kita bawa untuk menghadapi hari-hari, minggu-minggu, bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang.

All right, rasanya cukuplah melayan saya melalut. Sekarang mari kita bercerita tentang tajuk entri saya kali ini pulak. Hmm.. Mi bandung dan bola sepak? Apa kaitannya ya. Satu makanan, satu lagi sejenis sukan.. Tak sama dan tak ada kaitan pun kan? Hehe.. Apa pun mari baca cerita saya ni..

Kisah satu: Mi bandung

Saya sebenarnya sudah sekian lama memasang hajat untuk memasak mi bandung sendiri kerana saya gemar makan mi bandung. Kerap kali saya memesan mi bandung jika keluar di luar bersama kawan-kawan. Disebabkan keinginan yang membuak-buak dan kesukaran untuk keluar makan malam di luar saya tiada alternative lain selain memasaknya sendiri. Saya mula mencari resipi menggunakan internet. Saya akhirnya berjaya mengumpul beberapa resipi mi bandung. Walaupun begitu saya tidak dapat mencari masa yang sesuai untuk memasaknya hinggalah semalam. (waktu post ini ditulis).

Maka bermulalah eksperimen saya untuk memasak mi bandung. Berpandukan resipi-resipi yang saya perolehi saya memasak dengan penuh keyakinan. Bawang dikopek, periuk dibasuh, bahan-bahan dibersihkan dan saya akhirnya mula memasak mi bandung. Semua bahan-bahan tumis dimasukkan. Nampak normal pada awalnya. Kemudian saya mula cuak apabila warna air ditambah ke dalam periuk selepas bahan tumis garing menjadi warna merah. Hati jadi bimbang jika kuah mi bandung pedas. Jika pedas maka ada orang tak boleh makan. Tetapi segera saya menenangkan hati sendiri. Kerja-kerja memotong sayur diteruskan sementara menunggu air menggelegak.

Namun perasaan cuak tu datang kembali apabila adik saya menegur air yang terlalu banyak tidak berpadanan dengan rempah mi bandung ADABI yang hanya dua peket. Saya mula jadi tidak senang. Bagaimana sekarang? Dah tak boleh tarik balik lagi. Kena teruskan juga. Saya dah bertekad jika tak jadi terpaksalah saya telan juga. Maklum sahajalah kalau masak sendiri yang tak sedap pun sedap. Kalau kita yang tak puji diri sendiri siapa lagi yang nak puji kan? Hehe.. lagipun tak elok membazir kan? Dan apa yang saya bayangkan memang benar-benar berlaku. Rasa kuah mi bandung ni tidak seperti yang dijangkakan. Puas juga saya dan adik melakukan pengubahsuaian untuk mengurangkan rasa tidak sedap itu. Kami berjaya mengubah situasi namun hasilnya masih lagi tidak seberapa. Apa-apa pun walau tak berapa nak sedap kami bedal juga. Haha.. Saya bercadang nak letak gambar, tetapi disebabkan sebab-sebab yang telah disebutkan di atas, saya batalkan rancangan itu.. Lain kali nak cuba lagi.. harap-harap yang masa akan datang tu nanti menjadilah..

Kisah 2: Bola Sepak

Malaysia 3, Indonesia 0. Itulah keputusan perlawanan akhir pertama bola sepak piala Suzuki di Stadium bukit Jalil. Satu keputusan yang cemerlang kerana sebelum ini Malaysia pernah dikalahkan oleh Indonesia dengan 1 berbalas lima gol ketika perlawanan di peringkat kumpulan. Satu peningkatan yang cemerlang ditunjukkan oleh anak buah K.Rajagopal. Dengan 3 gol Malaysia bakal beraksi dalam suasana yang tidak begitu tertekan. Sedangkan Indonesia perlu berhempas pulas menjaringkan gol. Saya harap pemain-pemain kita dapat mengekalkan momentum mereka.

Saya menonton perlawanan ini kat tv. Seronok menonton perlawanan tu. Begitu menghiburkan. Kedua-dua pemain Indonesia dan Malaysia bermain dengan baik. Saya rasa pujian harus diberikan kepada Nor Shahrul Idlan Talaha yang begitu bijak mengawal dan menggelecek bola. Dia mencetuskan dua peluang gol dengan memberi hantaran yang baik kepada Safee Sali untuk gol pertama dan Ashari Shamsudin untuk gol kedua. Khairul Fahmi pun harus diberi pujian kerana cukup cemerlang mempertahankan pintu gol daripada dibolosi. Apa pun tahniah buat semua pemain kerana berjaya memainkan peranan masing-masing.  

Namun ada juga kecacatan di sebalik kejayaan tu. Insiden pancaran laser ke arah penjaga gol Indonesia telah menyebabkan permainan di padang terpaksa di hentikan. Saya rasa malu dengan insiden ni. Tak patut berlaku. Pemain-pemain di padang bermain dengan penuh semangat kesukanan. Tiba-tiba penonton kat luar pulak yang masuk campur sekali, apa hal ni? Tak patut, tak patut. Penonton ni dah lupa agaknya yang nanti Malaysia akan bertandang ke Indonesia pulak. Macam mana kalau penonton kat sana buat macam tu kat pemain kita. Mestilah kita marah kan.. Janganlah buat perkara yang boleh mencetukan pergaduhan tu lagi. Jagalah adat dan susila kita.. sama-sama kita doakan kejayaan Malaysia kat Indonesia nanti…

 Sumber: KOSMO Online

Jadi begitulah kisahnya. Satu kisah yang berjaya dan satu lagi kisah gagal.. kisah lumrah dalam kehidupan kita. Kadang-kadang kita berjaya, kadang-kadang kita gagal. Tidak semua perkara yang kita mahu berlaku akan berlaku. Seringkali kita bertemu kegagalan sebelum bertemu dengan kejayaan. Yang penting jangan putus asa dan mencuba.. cukuplah sekadar ini.. nantikan post seterusnya.. Bye..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Pengumuman!!! Tolong Baca dan Ambil Perhatian

Assalamualaikum... Kepada pembaca blog saya, saya telah membuat keputusan untuk tidak lagi memasukkan entri karya saya. saya bercadang untuk mengepostkannya pada jalan yang betul (macam tak best aje ayat tu!). maknanya tak ada lagi novel bersiri atau cerpen dlam blog ini ok.. harap maklum!!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kisah Kucing Peliharaan Tak Rasmi

Kehadirannya dalam hidup kami tidak pernah diduga. Ketika dia sampai di rumah kami, keadaannya begitu menyayat hati. Nampak seperti sudah beberapa hari tidak makan. Kurus dan begitu lemah. Kebiasaannya dalam usianya yang masih begitu muda, dia pasti masih lagi di bawah jagaan ibunya. Tetapi ke mana perginya ibu si kecil ini. Mana mungkin ibunya akan meninggalkan dia tanpa pembelaan begini? Mungkin ada orang yang sengaja memisahkan mereka hingga menyebabkan dia terpaksa berdikari dalam usia yang masih muda.

Kerana rasa belas kasihan, kami mengambilnya sebagai haiwan peliharaan kami. Dia diberi minum susu dan diberi makan nasi. Begitu lahap dia menikmatinya. Mungkin telahan kami benar yang dia sememangnya sudah beberapa hari tidak makan. Mungkin sudah takdirnya yang dia akan menemui rumah kami dan kami menjadi penyelamatnya. Mujurlah. Jika tidak pasti dia sudah mati di jalanan.

Masa berlalu dengan pantas. Dia sudah semakin besar. Dia begitu bijak dan aktif. Jika lapar pasti tenampak kelibatnya di hadapan tingkap dapur mengiau memanggil kami, memberitahu yang sudah tiba masanya dia diberi makan. Pantang dipanggil dia pasti pantas berlari menuju ke tempat dia selalu di beri makan. Seronok melihatnya semakin membesar dan comel. Dia menjadi buah hati kami semua sekarang. Pengubat hati di kala sunyi.

Kucing kami unik. Dia tidak dibenarkan tinggal di dalam rumah. Bimbang kotor pulak rumah tu. Dia kan kucing jantan. Lagipun ada yang tidak berapa gemar kucing itu masuk ke dalam rumah. Tetapi kami tidak membiarkan dia tidur di tempat sembarangan. Di rumah kami ada sebuah tempat yang dulunya dijadikan kebuk padi (tempat khas menyimpan padi selepas dituai). Dibawah kebuk padi itu ada reban ayam. Dia tidur di situ pada mulanya bersama-sama ayam-ayam. Tetapi setelah membesar dia tinggal di bahagian atasnya yang lebih selesa. Bijak betul kucing ni.

 Pasti ada yang tertanya-tanya apa nama yang kami berikan padanya. Saya tak pasti nak beritahu atau tak. Bagi saya nama kucing kami ni agak kelakar. Tapi apa salahnya berkongsi kan? Adik saya memanggilnya ‘Kuyam’. Asal-usul namanya mestilah sebab kucing yang tinggal dalam reban ayam. Dia pun baik sangat dengan ayam-ayam tu semua. Selalu bermain dan berebut makanan dengan mereka.

Nak tengok Kuyam tak? Ini ada gambarnya yang comel-comel. Susah betul nak tangkap gambar ni. Dia malas nak bergaya. Asyik nak bergesel kat kaki aje. Sudahlah dia pantang nampak benda bergerak. Semua nak diterkamnya. Tapi itulah kucing yang kami sayang.





  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Renungan untuk semua...


1)                  Hormati dan sayangilah orang-orang tua. Memang dah jadi kewajipan kita untuk hormat dan sayang pada orang yang lebih tua daripada kita terutama sekali yang ada pertalian darah dengan kita tak kiralah ibubapa, datuk, nenek, mak saudara atau ayah saudara. Kita pun satu hari nanti akan tua juga. Kalau kita tak hormat pada mereka mungkin satu hari nanti apabila usia kita dah sampai peringkat orang tua tak mustahil anak cucu kita akan buat perkara yang sama pada kita. Jadi jangan ambil mudah perkara ini. Teruskan menyayangi mereka dan hormati mereka walau dalam apa jua keadaan sekali pun.
2)                  Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Hargai apa yang ada sekeliling kita. Mungkin suatu hari apabila kehilangan benda atau orang yang selalu kita abaikan kewujudannya menyebabkan kita menyesal seumur hidup. Selain daripada itu. Janganlah selalu merungut atau cemburu melihat kelebihan orang lain sehingga kita lupa kita sebenarnya dah cukup beruntung memiliki apa yang kita ada sedangkan ramai lagi yang serba kekurangan. Tak elok kalau kita selalu bandingkan diri kita dengan orang berada di atas tanpa membandingkan diri kita dengan orang lain yang mungkin lagi serba kekurangan.
3)                  Jangan terlalu asyik memandang bintang di langit sampai dilupakan rumput yang kita pijak di bumi. Maksudnya, walaupun kejayaan kita tinggi melangit, janganlah kita menjadi sombong dan tinggi diri. Jangan kita jadi kacang lupakan kulit dengan melupakan orang yang pernah menyokong kita sehingga berjaya. Seperti yang selalu kita dengar. Hidup ini umpama roda. Lama mana pun kita berada di atas, lambat laun akan ke bawah jugak. Sombong dan meninggi diri akan memakan diri kita nanti. Jangan pandang hina kepada orang lain kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada kita pada masa akan datang. Mungkin orang kita hina dan pandang rendah itulah yang akan menolong kita.
4)                  Berterima kasihlah. Tunjukkan penghargaan kepada apa yang telah orang lain lakukan untuk kita. Kadang-kadang kita terlupa untuk berterima kasih. Orang bukan mengharapkan kita memberi wang dan emas sebagai tanda penghargaan. Ucapan terima kasih sudah memadai. Bukan orang yang memberi pertolongan sahaja yang perlu ikhlas memberi, kita juga perlu ikhlas menerima. Jangan diungkit dan disoal pertolongan yang diberi. Jika pertolongan itu sudah boleh menyenangkan kita walau sedikit sekali pun, orang yang itu perlu diberi penghargaan. Ingat berterima kasih kepada sesama insan bermakna kita turut bersyukur kepada Allah.
5)                  Selalulah muhasabah diri. Tanyalah diri sendiri apa yang telah kita lakukan setiap hari. Adakah lebih baik baik dari semalam atau sebaliknya. Cubalah kita insafi diri sendiri kerana setiap detik yang berlalu itu sebenarnya mendekatkan kita kepada tarikh kematian. Hanya kita tidak pasti bila kerana semua itu hanya dalam perhatian-Nya. Bekerja seolah-olah kita akan hidup selamanya tetapi beribadah seperti kita akan mati keesokkan hari.

Cukuplah sekadar ini. Akhir kalam, assalamualaikum..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Aku dan OSHE

Assalamualaikum.. Apa khabar semua? Semoga sihat semuanya dan sentiasa berada dalam lindungan Allah. Dah lama saya nak cari idea untuk di postkan di blog saya. Hari ini waktu kelas berehat tiba-tiba muncul mentol lampu kat sebelah kiri kepala saya. hehe..

Dah dekat sebulan saya menghadiri kursus OHSE ni. Minggu yang ke-4. Kami semua dah mula sibuk. Minggu lepas kami di suruh ke site selepas sediakan senarai perkara yang perlu diperhatikan kat tempat yang telah di tentukan. Susah juga nak buat semua tu sebab kami kena sesuaikan dengan tempat tu. Lepas tu belum lagi fikir dengan kerenah orang yang menguruskan tempat tu. Bahagian kena interview yang saya paling tak suka. Jawab pun hendak tak hendak aje. Kami semua bukanlah nak buat apa pun. Praktikal aje. Itu pun gelabah. Kalau dah gelabah tu apa tandanya?

Sudah tu kami kena pulak buat report. Sebenarnya sebelum tu dah banyak yang kena buat. Contohnya menyediakan jadual untuk memastikan segala undang-undang keselamatan berkenaan industri masing-masing dipatuhi. Kena tanda mana yang ada mana yang tak ada. Fuh! Selepas tu kena sediakan dokumen untuk prosedur yang perlu diambil syarikat tu untuk keselamatan pekerja dia. Itu belum lagi nak amik kira bahagian alam sekitar. Ini tak boleh buat, itu tak boleh buat. Tapi kena ingat semua tu untuk kepentingan bersama tau!

Oklah rasanya cukuplah dulu. Dah ketandusan idea pulak. Bye..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sekitar Majlis Konvokesyen

Tanggal 2 Disember 2010, saya telah menghadiri majlis konvokesyen UiTM yang ke 73. selepas berhempas-pulas selama 2 tahun di UiTM Shah Alam ini, saya dengan rasa bangga menerima ijazah yang dianugerahkan kepada saya. Banyak peristiwa yang saya alami yang menyebabkan saya mengalami beberapa jenis perasaan ketika itu. Antaranya ialah:

a) Gembira
Mestilah saya gembira sebab saya dah dapat ijazah. Segala usaha saya selama ini seolah-olah dah di bayar. Saya juga rasa gembira sebab saya dapat jumpa kawan-kawan seangkatan yang dah lama saya tak jumpa. Walaupun baru sekejap (lima bulan) tak jumpa dah banyak perubahan yang berlaku. Ada yang dah kahwin, nak kahwin dan ada juga yang bakal jadi ibu. Sebahagian dari kami dah kerja sementara ada lagi sebahagian yang lain masih lagi menganggur.

b) Terkilan
Saya rasa terkilan sebab bukan semua kawan yang dapat saya jumpa secara empat mata. Ada yang tak hadir pun ke majlis konvokesyen ini. Saya rasa agak rugi tidak hadir ke majlis sebegini kerana mungkin peristiwa begini takkan berulang lagi dalam hidup kita. Saya juga tak sempat nak jumpa kawan-kawan yang hadir kerana keadaan yang saya rasa agak sesak. Susah nak jumpa. Lagipun masa tak banyak. Jadi banyak gambar yang ada dengan saya adalah dengan keluarga.

c) Bengang
Cukuplah saya beritahu tentang itu sahaja. Saya tak mahu bercerita lebih lanjut. Biarlah ia menjadi rahsia di hati saya.

Saya kongsi beberapa gambar untuk tatapan semua. 





Keesokan harinya selepas majlis itu, kami sekeluarga bertolak pulang. Sebelum pulang, kami bercadang untuk singgah di Serdang untuk merasai sendiri pengalaman berada di MAHA ( ). Ramainya orang kat sana. Tak lama kami kat sana sebab ayah saudara saya nak sembahyang Jumaat. Kami juga sebenarnya mengejar masa untuk ke Melaka. Ada juga gambar kat sana. Tak banyak pun. Sikit-sikit saja.



Kemudian kami terus ke Melaka. Ingat nak terus bermalam kat sana. Tetapi ketua rombongan buat keputusan untuk bertolak pulang hari itu juga. Apa nak kata. Huhu.. apa pun keputusan itu dibuat atas beberapa sebab. Walau apa pun kesimpulan dari apa yang terjadi itu ialah hormatilah tetamu dan layanlah mereka sebaiknya.

Begitulah catatan saya untuk Majlis Konvokesyen ini. Lain kali jika ada cerita baru, saya akan post lagi. 

Akhir kalam, selamat menyambut tahun baru hijrah. 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Bagaimana Seterusnya???

p/s: sepatutnya ini adalah post minggu lepas. Tetapi saya tak dapat nak curi masa untuk post dan online. Hari ini barulah saya ada peluang. Sepatutnya saya nak post tentang majlis konvokseyen. Namun saya masih belum sempat nak masukkan gambar dalam laptop walaupun masa yang di ambil tak adalah lama mana pun. Jadi sabar ya. Baca dulu post ini.


Ahad
Minggu kedua saya sebagai pelajar di Kolej Tesdec. Macam minggu lepas saya drive ke sana dengan emak di sebelah. Emak nampaknya masih belum yakin dengan saya walaupun saya rasa saya dah boleh memandu. Alasan lain, emak perlu guna kereta. Mahu atau tidak emak terpaksa juga hantar saya ke Kolej TESDEC. Sepatutnya hari ini saya dan kawan-kawan bakal menghadapi hari orientasi. Tetapi hanya sebahagian dari program sahaja yang dapat dijalankan. Salah seorang dari kami memberitahu tentang carnival kerjaya di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu. Satu kelas berpakat nak ke sana dan dengan keizinan pengendali program kami ke Kuala Terengganu. Sayangnya tiada kerja yang menarik perhatian saya. Hehe.. saya ni cerewet ke? Mungkin... Hari itu saya balik dengan bas dan adik saya menunggu di Kuala Berang sahaja. Hari yang meletihkan sebab saya terpaksa menunggu bas dari jam 2.30 petang hingga 4 petang.

Isnin
Hari saya bermula dengan kejadian malang. Saya dengan cuainya dah calarkan kereta emak. Rasa nak merajuk sebab semua orang marah. Memang dah tak mahu memandu dah. Tetapi yelah kan kalau ikutkan rasa, saya juga yang rugi. Dengan perasaan berkecamuk saya drive juga. Hehe… Lepas dah drive perasaan terus lega. Hari ini juga hari yang panjang. Petama kali kami balik lambat. Tepat-tepat jam 5 petang. Syukur hari tak hujan seperti selalu. Esok hari terakhir saya untuk minggu ini. Hari Rabu nanti saya akan bertolak ke Shah Alam untuk majlis konvokesyen.

Selasa
Tiada apa-apa yang istimewa Cuma kami diberi assignment yang pertama. Walaupun begitu kami diberi tempoh selama dua minggu. Fikiran saya masa itu pun tidak lagi berada di sini.. minda saya sudah pun jauh melayang ke Shah Alam. Esok saya akan bertolak ke sana. Shah Alam, nanti aku. Aku dah nak datang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Rutin Baru Saya

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. Mungkin sudah agak terlambat. Namun begitu saya tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkannya. Saya harap semua pembaca blog ini dapat menyelami makna hari raya aidiladha yang sudah berlalu itu. Semoga erti pengorbanan dan kecintaan kita hamba Allah yang lemah ini kepada AL-Khaliq semakin bertambah dan bertambah subur dalam hati kita.

Cukuplah bercerita tentang Hari Raya Aidiladha. Kenangan indah yang tercatat pada hari kebesaran umat Islam itu terus mekar dalam lipatan memori kita. Selepas berlalunya Aidiladha, satu perubahan berlaku dalam hidup saya.

Ingat tak saya pernah cerita tentang satu temuduga yang saya hadiri di kolej Tesdec baru-baru ini. Alhamdulillah saya diterima untuk menyertai kursus itu. Walau bagaimana pun pada hemat saya, penerimaan itu atas sebab calon yang ditemuduga tidak dapat memenuhi kuota yang sebenarnya. Tidak mengapalah. Semua ini rezeki yang sudah tertulis.

Jadi pada 21/11/2010 saya kembali ke Kolej Tesdec itu untuk memulakan kehidupan saya sebagai peserta kursus. Hari Ahad itu berlalu dengan kami semua didedahkan dengan pengisian program selama 2 bulan kami berada di bilik kuliah. Seramai 16 orang peserta telah hadir pada hari Ahad. Saya mendapat kawan baru. Nampaknya saya kembali menjadi pelajar. Saya memilih untuk berulang-alik. Dan itu bermakna saya perlu memandu sendiri. Tetapi emak yang merasa risau dengan keputusan itu membuat keputusan untuk membiarkan saya berlatih menggunakan jalan ke Kolej Tesdec. Saya akan memandu ke sana dengan emak berada di sebelah. Kemudian emak akan membawa kereta itu pulang. Baliknya saya akan dijemput. Sekali lagi saya akan memandu pulang, tetapi emak ada di sebelah. Bukan main takut lagi. Lebih-lebih lagi apabila saya kena lalu jalan di Ajil yang masih belum siap tu. Tak ada tar jalan tu. Batu-batu aje! Kena naik bukit pulak tu. Fuh! Tetapi selepas seminggu saya dapat menyesuaikan diri. Selepas ini tiada lagi emak di sebelah. Hendak atau tidak saya terpaksa saya terpaksa memandu sendirian. Semoga latihan selama seminggu itu sudah mencukupi. Huhu..

Disebabkan kursus ini saya terpaksa membatalkan rancangan saya untuk ke Shah Alam pada 28/11/2010 untuk mengambil jubah sempena majlis konvokesyen. Jubah tu kawan saya yang akan ambil untuk saya. Terima kasih Ida sebab sudi tolong saya. Saya hanya akan bercuti selama 2 hari hanya untuk menghadiri majlis konvokesyen. Saya harap semuanya akan berjalan lancar.

Sepanjang seminggu saya mengikuti kursus ini saya mendapati jiwa saya memang tak dapat menerima suasana kerja yang bakal saya hadapi sebagai pegawai keselamatan. Langsung lari dari minat dan persepsi saya sebelum ini. Kerja ini memerlukan seseorang meluangkan masa di luar pejabat. Lagipun kerja ini memerlukan ketelitian yang tinggi. Menurut jurulatih kami, orang tak suka pegawai keselamatan ni. Lebih-lebih lagi perempuan. Mesti kena buli aje. Makin tertutup pintu hati saya jadinya. Walaupun begitu saya akan tabahkan hati sampai kursus ni habis (kalau masih tak dapat tawaran kerja).

Lupa pulak nak cerita aktiviti apa yang kami buat. Melalut buat luahan perasaan pulak. Hehe.. Sebenarnya tak buat apa pun. Kami duduk dalam bilik kuliah dengar penerangan jurulatih dan buat kerja dalam group. Macam kuiz gitu. Lepas tu jurulatih kami bawa sekeliling TESDEC untuk mendedahkan kami tentang suasana kerja yang mana kat kawasan kolej tu ada bengkel kimpalan, automotif dan beberapa bengkel lain. Jurulatih terangkan macam mana pegawai keselamatan berfungsi untuk memantau keselamatan pekerja dengan pelbagai cara. Contohnya dengan membahagikan kawasan kerja dengan kawasan biasa, pakai alatan keselamatan dan macam-macam lagi. Banyak sangat nak terang. Namun begitu lawatan tu membuatkan kami faham macam mana rupanya kerja jadi pegawai keselamatan tu.

Baiklah saya rasa sampai sini ajelah. Saya dah tak tahu nak tulis apa. Mungkin lain kali ada pengalaman menarik yang boleh saya kongsi. Bye. Assalamualaikum.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hari Temuduga di TESDEC

Hari Khamis (28/10/2010), saya menghadiri satu temuduga untuk menghadiri satu kursus di Kolej TESDEC. Ini temuduga kedua yang saya hadiri selepas lima tahun. Temuduga yang pertama yang saya hadiri adalah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang TESL. Sayangnya saya gagal. Tidak perlulah saya bercerita tentang temuduga yang gagal itu. Mari kita teruskan dengan cerita temuduga di Kolej TESDEC ini ya.

Perasaan saya ketika itu bercampur baur antara bedebar-debar dan gembira. Saya terpaksa meminta bantuan emak untuk ke Kolej TESDEC yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Kor. Emak mengambil cuti untuk menemani saya. Terima kasih mak sebab sudi tolong.

Malam sebelum temuduga saya tak boleh buat apa-apa. Otak memang sangat tepu. Mungkin kerana darah gemuruh yang tiba-tiba datang. Mujurlah sebelum itu saya memang ada membelek buku lama waktu diploma dulu (Malaysian Industrial Relations and Employment Law) dan ada buat carian dalam internet. Semua maklumat itu sedikit sebanyak menyuntik keyakinan kepada saya.

Lupa pulak nak beritahu tentang kursus yang telah saya pilih tu. Kursus tu dipanggil Program of Occupational Safety and Health Environment. Pernah dengar tak pasal benda ni? Saya pun macam baru kali pertama kali mendengarnya masa memohon hari tu. Saya mula ambil berat pasal OSHE ni pun setelah diberitahu saya dipanggil untuk temuduga.

Jadi, saya pergi ke Kolej TESDEC untuk temuduga tu. Agak terkejut sebab tak ramai sangat orang yang datang. Rasanya dalam lingkungan 10 orang sahaja. Kami diberi taklimat oleh Puan Siti Maimun ketua unit pengambilan pelajar (kalau tak silap saya). Katanya kursus OSHE ini sebenarnya baru sahaja ditawarkan di situ dan dia tidak hairan dan terkejut melihat bilangan yang hadir begitu sedikit. Mungkin kerana masih ramai yang tak tahu tentang OSHE ni. Untuk mengambil kursus ini kami perlu menghadiri kuliah selama 2 bulan sebulan diserap untuk menjalani latihan industri selama 3 bulan di mana-mana syarikat. Alamak! Saya berat hati sebab kena duduk asrama walaupun dibolehkan untuk berulang-alik. Kalau dekat tidak mengapa. Tapi jarak dari rumah saya ke kolej ini agak jauh juga. Mungkin mengambil masa satu jam.

Namun begitu saya terus mendengar taklimat dari seorang Pegawai SIRIM. Menurut Puan Norehan, OSHE ini adalah satu keperluan undang-undang di mana ia tertakluk di bawah ‘Machinery and Factories Act, 1967’ dan ‘Occupational Safety dan Health Act, 1994’ (fakta ini saya baca). Jadi penting bagi sesiapa yang nak jadi pegawai keselamatan ini (bukan pengawal keselamatan tau) untuk menjaga keselamatan pekerja tak kira pekerja kilang, buruh kasar atau pekerja pejabat kerana keselamatan ini merangkumi banyak aspek contohnya psikologi dan kawasan sekitar. Kami diingatkan bahawa sekiranya kami tak dapat jaga diri sendiri macam mana nak jaga orang lain.

Seterusnya kami semua ditemduga seorang demi seorang. Saya adalah antara yang terawal. Macam-macam soalan yang ditanya. Yang pasti soalan yang ditanya tu sebiji macam dalam buku panduan untuk temuduga. Cuma jawapan kita sahaja yang berbeza dan cara kita jual diri sendiri pada penemuduga tu. Saya dapati saya masih perlu baiki cara berkomunikasi dan muhasabah diri sendiri supaya nanti saya tak tergagap kat depan penemuduga tu dan dapat beritahu potensi diri pada mereka. Ada hikmahnya saya pergi temuduga ni. Dapat tak dapat belakang kira. Yang penting saya dah cuba.

Mana-mana anak Terengganu yang minat untuk sertai program T-Gas di bawah TESDEC ini boleh tekan di sini ok. Saya juga nak berkongsi tentang department of national occupational safety and health ini kepada semua. Mungkin ada yang berminat kerana Puan Norehan ada memberitahu bahawa, jabatan ini baru lagi diberi perhatian dan orang baru sedar tentang kepentingan keselamatan di tempat kerja ni.

Itu sahaja untuk kali ini. Jumpa lagi nanti. Bye.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Aku dan Internet

Assalamualaikum....


Dah lama rasanya tak masukkan entri yang baru.. Jadi saya masukkan 3 entri sekaligus.. hehe.. Selalunya setiap hari rabu saya akan surf internet.. tapi hari rabu hari tu internet tak jalan pulak.. saya sangat frust.. maklumlah tak boleh check facebook dan update blog.. bila dapat online rasa best sangat.. rasa dunia yang sempi jadi luas semula.. anyway tak ada cerita baru pun.. kehidupan masih masih macam biasa dan saya assign projek baru untuk diri sendiri.. projek yang bertujuan untuk mencabar kemampuan diri sendiri..wish me luck.. rasanya cukuplah untuk kali ini.. lain masa kita semua jumpa lagi..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sampai ke Syurga

 Lambat-lambat Sarah mengemaskan bajunya. Hatinya begitu berat untuk meninggalkan rumah kali ini. Tidak puas rasanya bercuti seminggu di rumah. Di tambah pula dengan keadaan kesihatan mama yang tidak menentu. Dia mengeluh perlahan. Gerakan tangannya terhenti. Dibiarkan bajunya yang belum habis dilipat lantas Sarah berbaring di katil empuknya sambil memandang kipas yang begitu ligat berputar. Jika diturutkan hatinya mahu saja dia berada di rumah ini menemani mamanya. Matanya dipejamkan sambil beristighfar beberapa kali berharap hatinya yang gundah gulana dapat ditenangkan kembali. “Ya Allah berikanlah aku kekuatan,”dia berdoa perlahan.
Bunyi pintu bilik yang dibuka mengalihkan perhatian Sarah. “Kak Long,”lembut suara mama memanggilnya. Sarah bingkas bangun. Dia tersenyum melihat mama. Terasa sejuk hatinya menerima senyuman dari mama. Hatinya sedikit pilu melihat wajah mamanya sedikit pucat menandakan wanita kesayangannya itu tidak sihat sepenuhnya. Sarah faham benar mama sedaya upaya menyembunyikan kesakitannya daripada anak-anak dengan senyuman yang penuh dengan kelembutan itu. “Sarah dah siap kemas?”mama menegur. Sarah menggelengkan kepalanya. “Belum lagi ma,”Sarah menjawab perlahan. Mama dapat mengesan tingkah Sarah yang agak lain dari biasanya. Mama mengalihkan pandangan kepada pakaian Sarah yang sebahagiannya sudah dilipat. Pantas mama memasukkan pakaian itu ke dalam beg. Sarah hanya membiarkan. “Kenapa ni Kak Long? Ada apa-apa yang tak kena ke?”mama bertanya penuh prihatin. “Kak Long berat hati nak pergi ma. Rasa ada benda nak berlaku aje,”Sarah menceritakan perihal perasaan tidak senangnya kepada mama. Tangan mama yang tadinya begitu lincah tiba-tiba terhenti selepas mendengar kata-kata anak sulungnya itu. Mama tersenyum pahit. Pakaian yang berada di tangannya tadi diletakkan ke dalam  beg sebelum dia mengalihkan tubuhnya mengadap wajah Sarah yang sugul. “Apa pulak yang nak jadi? Tak ada apa-apalah. Apa yang Sarah mengarut ni?”mama cuba menenangkan hati Sarah. “Sarah risaukan mama,”Sarah memberitahu lagi. Mama ketawa kecil. “Mama tak ada apa-apa sayang. Mama dah sihat. Insya Allah semuanya baik-baik saja,”mama memeluk bahu Sarah. Dada Sarah tiba-tiba didatangi sebak. Tidak semena-mena dia menangis di bahu mamanya. “Mama janji yang mama takkan tinggalkan Sarah. Mama janji yang mama tak apa-apa. Sarah tak nak kehilangan mama,”dalam sendu Sarah meminta. Hampir mengalir air mata mama mendengar permintaan Sarah itu. Tetapi dia segera menahannya. Jika dia menangis emosi Sarah akan semakin terganggu. “Sarah, jika diizinkan Allah mama tak mahu tinggalkan anak-anak mama. Mama nak tengok kamu semua membesar dan berjaya. Tetapi siapa kita untuk menidakkan hukum Allah? Kalau dah sampai ajal mama, mama tak dapat menolaknya. Sarah kena banyak doakan mama. Jangan tinggal solat, mengaji, tinggal perkara yang Allah larang. Doakan mama dan papa panjang umur dan dikurniakan kesihatan yang baik. Kalau Sarah buat semua tu Insya Allah, Allah kabulkan. Tapi kalau benda yang Sarah minta tak termakbul jangan disalahkan pula Maha Pencipta. Tentu ada hikmah di sebaliknya,”panjang lebar nasihat mama kepada Sarah. Sarah hanya mendengar tanpa membalas. Lama mama memeluk Sarah sebelum akhirnya mama leraikan, mahu melihat wajah mulus milik anak gadisnya itu. “Kak Long dengar tak apa yang mama cakapkan tadi?”mama mahu memastikan nasihat yang disampaikannya tadi benar-benar meresap ke dalam hati Sarah. Sarah mengangguk. Mama tersenyum puas hati. “Cepat kemas barang ni semua. Mama tolong ya,”mama tidak mahu terus tenggelam dalam situasi yang menyedihkan itu lantas dia menyambung kerjanya yang terbengkalai tadi. Kali ini Sarah sama-sama membantu mamanya.

Latifah merenung dirinya di dalam cermin. Dia dapat melihat perubahan yang berlaku pada dirinya. Dirinya bukan lagi seperti dulu. Sebelah payudaranya telah  dibuang akibat kanser payudara. Namun begitu dia tetap bersyukur kepada Allah kerana masih memberi dia peluang untuk bernafas di bumi Allah ini. Dia bersyukur kerana masih ada waktu untuk dia bersama anak-anak serta suaminya. Tetapi ada sesuatu yang menganggu fikirannya kebelakangan ini. Ada sesuatu yang tidak kena. Walaupun dia sudah disahkan bebas daripada penyakit kanser itu, peratusan untuk penyakit itu kembali menyerang adalah tinggi. Perkara itulah yang sering bermain di dalam fikirannya sekarang. Syak wasangkanya semakin menjadi-jadi apabila dia kerap tidak sihat kebelakangan ini. Ditambah pula dengan keadaan fiizikalnya berubah sedikit.  ‘Moga-moga semua ini hanyalah mainan perasaan saja,’ Latifah berdoa di dalam hati.  Dia meraup mukanya perlahan dengan harapan sangkaan buruk yang mula singgah di benaknya itu dapat dihilangkan. Dia tersentak apabila pintu bilik air diketuk kuat diikuti dengan suara suaminya yang memanggilnya dari luar. Cepat-cepat dia membuka pintu. Tersembul di muka pintu wajah kebimbangan milik Azhar. “Awak buat apa kat dalam bilik air tu lama-lama. Saya ingatkan awak pengsan kat dalam tadi,”suaminya menyatakan rasa bimbang. Terasa kembang hatinya dengan keprihatinan yang ditunjukkan suaminya. Dia tersenyum nipis. Tanpa menjawab soalan suaminya dia keluar dari bilik air lantas duduk di atas katil. Azhar menyusul kemudiannya sama-sama menempatkan dirinya berhampiran dengan tubuh isteri kesayangannya itu. “Terima kasih,”ucapan penghargaan itu membuatkan kening Azhar berkerut kehairanan. Latifah senyum saja melihat reaksi suaminya itu. “Terima kasih kerana masih ada di sisi saya. Terima kasih kerana masih sudi menyayangi saya. Terima kasih untuk segala-galanya,”sayu suara Latifah memberitahu. Azhar mengangkat wajah Latifah agar mata mereka saling bertentangan. Dia ingin melihat wajah lembut milik Latifah ketika mereka berbicara. “Tak payah nak berterima kasih dengan saya. Semua inikan tanggungjawab saya. Melindungi dan menyayangi awak,”Azhar membalas. Ada sinar keikhlasan terpancar dari hening matanya. Perlahan-lahan cahaya itu masuk menerangi hati Latifah. Bertuahnya dia kerana memiliki Azhar. Suasana jadi sunyi seketika. “Kenapa awak cakap macam tu?”pertanyaan Azhar memecah sunyi. Latifah tidak menjawab. Membiarkan soalan Azhar terbiar sepi. “Jika awak ingat kasih sayang saya berkurang kerana kekurangan diri awak, awak silap,”Azhar seolah-olah dapat membaca isi hatinya. “Meyayangi dan mencintai seseorang bermakna kita bersedia menerima dirinya seadanya. Saya sayangkan kerana diri awak. bukan kerana perkara lain. Bukan kerana harta atau paras rupa,”Azhar pasti ada perasaan bimbang sedang bertandang di hati isterinya itu. air mata Latifah menitis perlahan mendengar pengakuan suaminya itu. Jari-jemari Azhar yang sedang cuba menyapu air matanya menyebabkan dia semakin sebak. Lantas dia merebahkan tubuhnya ke dada lelaki itu menangis semahunya melepaskan segala sesak di dada. Azhar hanya membiarkan.

            Doktor Noraini melepaskan nafasnya berat. Latifah dapat merasakan yang ada berita buruk yang bakal disampaikan oleh doktornya. “Doktor macam mana keadaan saya?”Latifah bertanya juga. Walaupun seburuk mana pun berita yang bakal didengarnya kenyataan tetap sebuah kenyataan. Tiada guna dia mengelak. “Puan Latifah, kanser puan telah pun merebak kepada payudara yang sebelah lagi,”kata-kata Doktor Noraini benar-benar meruntun jiwa Latifah. Perkara yang paling ditakutinya benar-benar terjadi. “Masih boleh dirawat lagikah doktor?”Latifah bertanya lagi. dia mengharapkan agar jawapan yang bakal disampaikannya nanti bakal memberi cahaya dalam hidupnya semula. Tetapi memandang wajah doktor Noraini yang redup dia pasti dia bakal menerima berita buruk. “Barah puan sudah pun merebak ke tulang belakang. Hanya keajaiban saja yang boleh sembuhkan penyakit puan,”mahu atau tidak doktor Noraini perlu berterus-terang. Itu tugasnya sebagai doktor. Latifah terasa dunianya gelap sebentar. Ya Allah dugaan apakah ini? Dia berkata dalam hati. “Saya akan berikan ubat. Ubat-ubat ni boleh melambatkan kesan kanser puan. Kalau boleh saya nak bercakap dengan ahli keluarga puan,”Doktor Noraini memberitahu tenang. Latifah hanya mengangguk, menyanggupi permintaan Doktor Noraini.
Latifah tidak dapat memandu pulang. Terasa segala kekuatannya hilang begitu saja. Lama dia berkeadaan begitu sehinggalah air matanya tiba-tiba terhambur keluar. Menangisi nasib yang menimpa dirinya. Telefon bimbit yang berbunyi mengalihkan perhatiannya. Dia cuba menghentikan tangisannya. Segera dia mengangkat telefon. Dia menjawab salam yang diberi si pemanggil. “Mama,”dia mendengar Sarah memanggilnya. “Mama menangis ke?”anak itu bijak membaca nada suaranya. “Tak adalah. Mama selsema sikit,”dia terpaksa berbohong. Dia tidak mahu Sarah  bimbang di sana. “Ya ke? Mama dah pergi jumpa doktor?”Sarah bertanya prihatin. Latifah lega Sarah mempercayai kata-katanya. “Mama baru balik dari jumpa doktor. Sarah apa khabar? Macam mana kehidupan kat sana?”Latifah mahu lari dari persoalan dari dirinya. Rancak Sarah bercerita. Dia hanya mendengar penuh kusyuk dan sekali sekala membalas. Tanpa mereka sedari masa begitu pantas berlalu.
Ketika Azhar menjenguk ke bilik dia melihat isterinya sedang tidur di atas katil. Sayu hatinya melihat wajah Latifah yang kesedihan. Dia memandang wajah itu penuh kasih. Wanita pilihannya sendiri yang telah lama berkongsi hidup dengannya. Senang atau susah. Dia tidak lama di situ apabila mengingatkan dirinya yang masih belum menunaikan solat asar. Lantas dia bangun menuju ke bilik air. langkahnya terhenti apabila dia terpandang beg tangan Latifah yang terletak di atas meja solek. Latifah memang ada memberitahu dan meminta izin untuk keluar tengah hari tadi. Untuk berjumpa doktor katanya. Perasaannya bagai ditarik-tarik untuk melihat isi beg itu. Kakinya bergerak ke arah berbeza dengan tujuannya tadi. Dia membuka beg bewarna hitam itu. Sepucuk sampul surat bewarna coklat menarik perhatiannya. Dia mengambil keputusan untuk melihat isi di dalamnya. Terasa lemah lutut Azhar membaca isi kandungan sampul surat yang berwarna coklat. Hampir saja dia rebah ke lantai tetapi segera digagahkan semula kakinya. Matanya terarah ke arah isterinya yang sedang nyenyak tidur. Dia segera menyimpan sampul surat itu di tempat asalnya semula sebaik melihat Latifah bergerak, beralih kedudukan. Dia ingin Latifah memberitahu perkara yang baru diketahuinya sebentar tadi sendiri. Lantas dia kembali menghayun kaki ke arah tempat tujuan asalnya tadi.
Latifah merasa tidak senang melihat tingkah suaminya yang merenungnya. Dia yang tadinya begitu asyik menyikat rambutnya yang panjang itu segera berhenti. Dia kemudiannya menghampiri suaminya yang sedang duduk di atas katil. Dia memegang tangan Azhar. “Kenapa dengan abang?”Latifah bertanya. Azhar tidak segera menjawab. Dia merenung Latifah, melihat terus ke dalam mata isterinya. “Doktor cakap apa tadi?”dia tidak mahu berdolak-dalik lagi. Perkara petang tadi harus diselesaikan segera. Latifah tergamam mendengar persoalan suaminya. Terlepas pegangan tangannya. Dia tidak sanggup membuka mulut memberitahu perkara sebenar yang bakal melukakan hati suaminya. “Ifa, baik atau buruk perkhabaran tu nanti, abang terima dengan hati yang terbuka. Berterus-terang dengan abang,”Azhar bijak mengawal perasaannya. Dia tidak mahu Latifah tahu yang dia sudah pun mengetahui perkara itu awal-awal lagi. Latifah menarik nafas panjang. “Barah Ifa dah merebak kepada payudara yang sebelah lagi abang,”sayu suara Latifah. Ada air mata yang bakal mengalir keluar dari tubir matanya. Azhar kelihatan tenang. Namun ketenangan Azhar langsung tidak memberi kesan kepada Latifah. Laju manik-manik jernih berjuraian membasahi pipinya. Azhar memeluk isterinya. “Ifa kena kuat sayang. Ingat anak-anak,”Azhar memberi semangat. “Ifa dah tak ada masa bang. Barah tu dah sampai ke tulang belakang Ifa,”semakin kuat tangisan Latifah. Semakin kuat juga pelukan Azhar. “Sabarlah sayang. Ini semua dugaan untuk kita,”Azhar memujuk walaupun di dalam hatinya dia turut sama menangis.

“Sarah!”Sarah tersentak apabila ada seseorang memanggil namanya. Saat itu barulah dia tersedar yang air yang dituangnya telah pun melimpah keluar dari gelas. Habis basah mejanya. Dia melihat Hidayah datang dengan membawa kain buruk untuk mengelap meja yang basah. Dia duduk di kerusi tanpa mempedulikan keadaan sekelilingnya. Dibiarkan Hidayah membersihkan mejanya. “Apa yang kau fikir ni Sarah,”suara Hidayah kedengaran tegas. Mungkin terkejut dengan kelakuannya yang aneh. “Aku rasa ada sesuatu yang tak kena dengan mama aku,”Sarah meluahkan kerisaunnya. Hidayah yang tadinya sibuk mengemas meja Sarah sudah pun duduk berhadapan dengan Sarah. Dia dapat membaca riak kerisauan yang terlukis pada wajah Sarah. “Mama kau kan dah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhannya?”Hidayah meminta kepastian. “Betul. Tapi aku risau. Mama tak sihat sangat kebelakangan ni. Kau pun sendiri tahu kan penyakit mama tu boleh berulang walaupun dah jalani pembedahan,”Sarah pesimis. Hidayah terdiam sebentar mendengar kata-kata Sarah. Memang ada benarnya kata-kata Sarah. “Sarah jangan terlalu negatif. Banyakkan doa untuk kesejahteraan mama kau,”Hidayah memberi nasihat. Sarah mengakui apa yang dikatakan sahabatnya benar belaka. Namun dia tidak berupaya menolak perasaan bimbang yang membuak-buak di dalam hatinya. tiada tempat lain lagi dia boleh mengadu. Hanya kepada Allah Yang Satu tempat dia bermohon. Memohon secebis ketenangan untuk dirinya serta kesejahteraan mama. Apakan daya dirinya masih lagi beremosi sehingga menjejaskan tingkahnya kebelakangan ini walaupun dia cuba sedaya upaya untuk membuang perasaan buruk sangkanya. Lama dia dan Hidayah duduk di situ sebelum dia mengambil keputusan untuk menunaikan solat hajat. Sebaik dia selesai mengaminkan doa telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Jantungnya berdegup kencang melihat nombor telefon yang tertera di skrin telefon bimbitnya. “Assalamualaikum papa,”Sarah menjawab panggilan telefon itu. “Kak Long, papa minta Kak Long pulang hujung minggu ni. Ada perkara yang papa dan mama nak beritahu,”Sarah mendengar suara papanya sedikit sebak. Dia tidak bertanya banyak. Hanya bersetuju memenuhi permintaan papa.
 ********************************************************************
Suasana di ruang tamu di rumah besar jadi sunyi sepi tiba-tiba. Nyata perkhabaran yang datang dari mulut Latifah merenggut segala kecerian. Hanya Luqman saja yang begitu leka dengan permainannya, langsung tidak memahami apa yang sedang berlaku di dalam rumah itu. “Mama,”Latifah menoleh apabila mendengar Sarah memanggil namanya. Ada air mata yang sedang bergenang di tubir mata anak gadisnya itu. Perlahan-lahan dia memeluk Sarah. “Kak Long kena kuat. Kalau Kak Long macam ni, pada siapa lagi mama nak berpaut,”sedaya upaya Latifah cuba menahan air matanya. Sarah tidak dapat bersuara. Dia hanya mampu mengangguk tanda dia memahami hasrat mamanya. Air mata Latifah mengalir juga tatkala Faiz dan Amira turut memeluknya. Terasa hangat kasih sayang anak-anak kepada dirinya. Merekalah sumber kekuatan dirinya. Merekalah penyala semangat untuk dia terus berjuang. Azhar melihat dengan perasaan sebak sebelum turut menyertai anak-anaknya.

Setahun kemudian........
Ketika Azhar masuk ke dalam wad yang menempatkan isterinya dia melihat Latifah sudah pun terjaga dari tidur. Latifah cuba menghulurkan sebuah senyuman walaupun dia tahu senyumannya tidak semanis dulu. Azhar mengucup dahi isterinya tanda kasih sayang yang tidak pernah luput dari hatinya. “Anak-anak apa khabar bang?”Latifah bersuara lemah. “Baik. Baru semalam Kak Long dan Abang Ngah telefon bertanyakan khabar Ifa,”Azhar memberitahu sambil membelai tangan isterinya yang berselirat dengan wayar. “Ifa rindu semua bang. Teringin nak jumpa anak-anak. Agaknya bila mereka boleh balik ya,”Azhar merasakan denyutan jantungnya jadi tidak menentu mendengar pertanyaan Latifah yang sedemikian rupa. Selama ini tidak pernah pula Latifah bertanya begitu. “Nanti saya telefon mereka minta mereka balik hujung minggu ni. Luqman dan Amira boleh datang petang nanti ya,”Azhar memujuk. Azhar dapat melihat Latifah mengangguk dengan wajah sayu. “Entah sempat atau tidak saya jumpa Kak Long dan Abang Ngah bang,”sekali lagi kata-kata Latifah menyebabkan jantung Azhar berdegup kencang. “Insya Allah,”Azhar menyedapkan hatinya sendiri. Dia tidak mahu memikirkan tentang kemungkinan yang satu itu. “Abang keluar kejap ya,”Azhar meminta diri , mahu menenangkan dirinya. Latifah hanya membiarkan. Azhar duduk menunduk lantai. Hatinya berdebar-debar. Air matanya tiba-tiba mengalir. Lain benar perangai Latifah hari itu. Dia berpaling apabila merasakan ada seseorang menepuk bahunya. “Abah,”Azhar menegur ayah mertuanya. “Kenapa kamu kat sini?”lelaki tua berusia akhir 60-an itu bertanya. Azhar mengetap bibirnya. Dia terkedu apabila ayah mertuanya tiba-tiba memeluknya. Dadanya dilanda sebak semula. Langsung tiada rasa malu apabila air matanya laju membasahi pipinya.
Malam itu, keadaan di wad Latifah tiba-tiba menjadi cemas. Dia tiba-tiba tidak sedarkan diri. Denyutan jantungnya bergerak pantas. Kelam-kabut Azhar memanggil doktor yang bertugas. Terketar-ketar bibirnya berdoa. Jika benar ajal Latifah sudah sampai, biarlah hajatnya untuk berjumpa anak-anak tercapai. Azhar menunggu penuh debaran. Azhar melihat doktor yang memeriksa Latifah tadi tersenyum. Tetapi Azhar dapat mengesan ada sesuatu yang ingin diperkatakan di sebalik senyuman itu. “Saya harap Encik Azhar bersedia. Isteri Encik tenat benar. Rasanya eloklah dikhabarkan pada saudara mara,”perlahan saja Doktor lelaki awal 40-an itu memberitahu sebelum menepuk bahu Azhar lembut. Azhar menelan air liurnya pahit. Dia terduduk di situ. Hari yang dia takuti tiba juga. Hari dia bakal kehilangan Latifah.
Latifah lemah benar hari itu. Dia tahu masa dia untuk mengadap Al-Khaliq sudah tiba. Dadanya terasa berat. Satu-persatu wajah yang berada di sisi katilnya di perhatikan. Dia menghulurkan tangannya, memanggil Azhar supaya mendekatinya. Dia sudah tidak larat benar untuk bercakap. “Abang, Ifa minta maaf. Halalkan makan dan minum Ifa,”dicium tangan suaminya. Dia mahu pergi dengan redha suaminya. Syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suaminya. Azhar tidak mampu berkata apa-apa. Dia hanya mampu mencium dahi Latifah menandakan dia memaafkan isterinya. “Abang, mama dan mak abang,”Latifah meminta dipanggilkan ibu serta ibu mertuanya. Mengalir air mata kedua-dua wanita itu. Nyata ajal tidak mengenal usia. Yang tua tidak semestinya pergi dulu. “Mak halalkan semua perbuatan Ifa. Pergilah nak,”mama Latifah mencium pipi anaknya. Begitu juga ibu Azhar. Diikuti pula papa Latifah. Latifah meminta Luqman yang berada di dalam dukungan Sarah. Dipeluknya anak itu. “Mama minta maaf sebab tak sempat jaga Luqman. Tak sempat nak tengok Luqman membesar,”Latifah mengusap kepala anak bongsunya itu. “Mama halalkan susu mama untuk anak-anak,”Latifah berbisik di telinga Sarah. Air mata Sarah tidak dapat dibendung lagi. Seorang demi seorang mencium dahi Latifah. Latifah tersenyum. Mungkin senyuman itu senyuman terakhir untuk semua. Dia merasakan dadanya semakin berat. Telinganya bingit. “Azhar, ajar dia mengucap,”ayah mertuanya memberi arahan. Perlahan-lahan Latifah mengikut syahadah yang dilafazkan suaminya sebelum perlahan-lahan matanya tertutup rapat. Bunyi mesin yang disambungkan pada Latifah memberi tanda yang dia sudah tiada. Suasana jadi hening sebelum Azhar keluar memaklumkan kepada doktor. Dia sebenarnya tidak dapat menanggung kesedihan. Dia tidak mahu menangis di depan anak-anak. Akhirnya Latifah pergi juga meninggalkan dia.
Hari konvokesyen Sarah...
Sarah menghampiri keluarganya dalam kekalutan orang ramai yang sedang menghadiri majlis konvokesyen. Semua sedang menantinya dengan senyuman di bibir masing-masing. Dia memerhatikan wajah mereka satu persatu. Di antara wajah-wajah itu ada seseorang yang tiada di situ. Perlahan-lahan dia memejamkan matanya cuba membayangkan wajah kesayangannya yang sedang tersenyum melihat kejayaannya hari ini. Mama, Sarah dah berjaya mendapatkan ijazah yang mama inginkan. Anak mama akan jadi seorang doktor. Khayalannya terbang apabila dia terasa bahunya dipegang seseorang. Wajah papanya yang tenang muncul sebaik sahaja dia membuka mata. “Sarah semua orang tunggu nak tangkap gambar dengan Sarah,”Azhar memberitahu. “Papa, Sarah dah berjaya. Jika mama masih ada pasti dia bangga dengan kejayaan Sarah kan?”Sarah menyuarakan rasa hatinya. dia dapat melihat papanya tersenyum. “Hmm.. Betul tu,”Azhar mengiyakan kata-kata anak sulungnya itu.   Dia dapat mengesan ada air mata yang bakal mengalir keluar lantas dipeluknya Sarah. “Jangan menangis sayang,”Azhar memujuk walaupun sebenarnya dia turut dilanda sebak. “Walaupun mama dah tak ada, papa masih tetap di sisi Sarah, Insya Allah,”Azhar berusaha menenangkan anak gadis itu. Sarah mengangguk dalam pelukan papanya. Perlahan-lahan dia tenang sebelum kembali senyum. Azhar dapat melihat kelukaan di sebalik senyuman Sarah. Dia tahu betapa Sarah rindukan Latifah. Dia apatah lagi. “Sudahlah, semua dah tunggu jom,”Azhar mengesat air mata Sarah. Sarah mengangguk lantas memimpin tangan papanya menghampiri semua orang. “Mama, terima kasih untuk segalanya. Walaupun kita berpisah dua dunia, namun Sarah sentiasa merasakan mama di sisi Sarah,”Sarah berkata di dalam hati. Dan saat itu dalam kejauhan dia seolah melihat mamanya tersenyum penuh kemesraan seolah-olah meraikan kejayaannya bersama mereka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Semua dari Diri

Semuanya dari diri…

Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud:

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

Saya bukanlah seorang ahli tafsir Al-Quran yang mahu menjelaskan tentang ayat Al-Quran ini kerana sesungguhnya saya bukanlah orang yang layak untuk berbuat demikian walhal ilmu yang ada di dada saya ini tidaklah setinggi mana. Saya tertarik dengan ayat ini kerana Allah s.w.t telah berjanji di dalam kitabnya yang suci iaitu Al-Quran bahawasanya setiap lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik manakala perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Bagaimana harus saya nyatakan pendapat saya tentang hal ini? Saya tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Apa yang boleh saya katakan di sini adalah jika kita mencari kesempurnaan untuk jodoh kita, kita haruslah juga sempurna. Sempurna yang saya katakan di sini amat subjektif. Sempurna boleh jadi cantik, berbudi bahasa, berpelajaran tinggi dan sebagainya. Bergantunglah kepada setiap individu itu. Namun seperti yang kita ketahui, manusia itu tidak semua sempurna. Pasti ada cacat dan celanya. Untuk mencari kesempurnaan itu kita memerlukan pedoman dan sokongan. Di alam perkahwinan sebenarnya satu cara untuk mencari kesempurnaan itu kerana lelaki dan wanita boleh saling melengkapi.

Berubah

Untuk mencari jodoh yang baik bagi saya ia bukanlah bermula daripada kita mencari kesempurnaan atau kebaikan orang lain. Semuanya bermula daripada kita. Kitalah yang perlu berubah untuk mencari kebaikan itu. Jika segalanya baik daripada pihak kita maka kebaikanlah yang akan datang kepada kita.

Namun begitu dalam usaha untuk berubah itu, pasti ada dugaan dan cabarannya. Kadang-kadang kita kalah kepada nafsu sendiri dan tunduk kepada godaan syaitan. Walaupun diri sendiri menyedari apa yang dilakukan itu salah, tetap dilakukan perkara yang sama berulang kali. Betapa perubahan itu menuntut pengorbanan. Jika tidak rela mengorbankan kesenangan dan keseronokan bagaimana perubahan boleh berlaku. Jika tiada keazaman mana mampu kita mencapai sebuah kejayaan.

Sukar

Kita selalu mendengar ungkapan yang mengalakkan kita untuk menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam. Tetapi sukar untuk mengukur sejauh mana hari yang kita tempuhi sebenarnya lebih baik dari sebelumnya. Sukar juga untuk kita mengekalkan momentum tingkah laku. Saya bukanlah melihat kepada orang lain tetapi dinilai dari diri saya sendiri.
Akhir kalam, kepada sesiapa yang terbaca entri kali ini sudilah berkongsi pendapat dan petua dengan saya bagaimana harus saya memulakan perubahan dalam hidup serta terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan ke arah perubahan itu. Semoga saya terus diberi kekuatan untuk berubah. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Saya memohon maaf andai ada kekhilafan pada entri ini.

Assalamualaikum..


p/s: saya juga bukan insan yang sempurna lagi baik.. masih mencari kesempurnaan dalam diri..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sudah Tertulis Untuknya

Assalamualaikum….

Kebelakangan ini terpampang di dada-dada akhbar tentang berita pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47 yang dibunuh kejam bersama dengan tiga orang lain yang merupakan pemandu peribadi beliau, seorang peguam dan pegawai bank. Seluruh negara pada mulanya dikejutkan dengan berita kehilangannya 30 Ogos lalu. Bertitik tolak dari situlah segalanya bermula sehingga akhirnya berita berkenaan misteri kehilangan mereka terbongkar apabila pihak polis mendedahkan kepada media tentang kemungkinan keempat-empat mangsa dibunuh dan dibakar di sebuah ladang kelapa sawit di Banting.

Saya rasa semua orang dah tahu tentang apa yang telah saya tulis di atas. Berita tentang pembunuhan jutawan kosmetik itu memang mendapat liputan meluas media. Saya pasti sesiapa pun takkan ketinggalan untuk mengikuti perkembangan kes ini setelah 8 orang suspek ditangkap termasuklah seorang peguam yang bergelar Datuk (pangkat itu dibeli dan disahkan oleh polis bahawa peguam terbabit tidak pernah dianugerahkan Datuk oleh mana-mana negeri) dan remaja berumur 19 tahun. Bukti-bukti yang diperlukan oleh polis juga telah ditemui termasuklah alat pembunuhan. Saya rasa tidak perlulah saya bercerita lebih lanjut kerana perkara yang saya beritahu ini memang telah sedia tertulis di dada akhbar serta dilaporkan dalam televisyen.

Kebetulan ketika kejadian ini terjadi Tan Sri Musa Hassan baru sahaja bersara sebagai Ketua Polis Negara dan kemudiannya jawatan itu diserahkan kepada Tan Sri Ismail Omar selaku Ketua Polis Negara yang baru. Saya dapat merasakan kes ini merupakan satu cabaran kepada Ketua Polis Negara yang baru. Namun begitu kecekapan PDRM wajar dipuji kerana berjaya menyelesaikan kes ini dalam masa yang singkat sekaligus turut menyelesaikan beberapa kes lain yang dikatakan turut ada kaitan dengan suspek utama termasuk kes kehilangan seorang ahli perniagaan dari India. Perdana Menteri juga turut memuji kecekapan PDRM.

Banyak betul saya buat ulasan tentang kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya ni. Rasa rugi pulak kalau tak ikuti perkembangan kes tergempar ni. Lagipun saya peminat cerita-cerita misteri. Jangan tak tahu saya suka baca komik Detektif Conan. Saya juga peminat Ramlee Awang Murshid. Jadi tak hairanlan kan? (perasan…hihi). Cuma tak ada peluang nak jadi polis je.. hihi..

Jadi apa kesimpulannya dari semua di atas? Kita takkan tahu apa yang berlaku pada masa depan. Untuk insan yang terlibat dalam kes di atas sudah tersurat bagi mereka begitu kesudahannya. Kita? Belum tahu lagi. Semoga kita berakhir dalam keadaan yang baik-baik. Sama-samalah kita semua berdoa. Selagi kita hidup jangan mudah putus asa dengan apa jua cabaran yang datang kerana sesungguhnya semua cabaran itulah yang mengajar kita untuk terus tabah. Setiap cabaran dan dugaan yang berjaya kita hadapi pastinya meninggalkan kesan yang besar dan memberi pengajaran kita. Sekian saja untuk kali ini. Maaf jika tulisan kali ini mengguris hati mana-mana pihak. Ja mata ne..

p/s: Al Fatihah buat mereka yang terlibat. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Susahnya nak buat pilihan...

Hari ini saya memilih untuk menukar background blog saya yang tersayang. Aduh! Sakit kepala saya dibuatnya. Rambang mata memilih blog yang sesuai dengan citarasa saya. Pilihannya memang banyak. Tetapi bila saya upload pasti ada benda yang tak kena. tension kerana nak edit semua tu. akhirnya setelah lama memilih berjaya juga. Alhamdulillah.

Hari Raya Aidilfitri dah hampir tiba

Masa saya menulis ni, hari raya memang dah dekat sangat dah. Baju raya dah siap, tudung pun dah pilih. Hanya menunggu hari raya sahaja. Gembira? memanglah gembira sebab dah habis puasa dan tujuan Hari Raya adalah untuk menyambut kemenangan kita semua berjaya menghabiskan puasa selama sebulan. tetapi sepatutnya kita semua sedih sebab Ramadhan dah berlalu tinggalkan kita. Tahun depan entah semua sempat atau tidak untuk bertemu Ramadhan seterusnya. Kita tak tahu tarikh kematian. So, patutlah kita renungkan bersama.

Maaf Zahir dan Batin

Di kesempatan ini saya nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin andai saya ada menguris perasaan pembaca-pembaca serta kawan-kawan saya. Semoga ikatan yang terjalin yang ada antara kita akan terus terjalin. Bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula kita kawan-kawan sesama kita. See you all lepas raya nanti. Bye..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Antara Cinta, Kasih dan Sayang

“You keluar dengan Shahril ya?”Raihana menegur sebaik sahaja Nadia masuk ke bilik yang dihuni mereka berdua dengan membawa plastik barang yang banyak. Nadia yang keletihan hanya mengangguk sambil merebahkan dirinya ke atas katil. “Betul ke you dengan Shah tu tak ada apa-apa. I tengok you all rapat aje,”Raihana mengeluarkan pertanyaan yang selama ini selalu bermain di fikirannya. Nadia yang baru saja mahu melelapkan mata, pantas membuka matanya semula mendengar soalan cepu emas yang dilontarkan Raihana. “Soalan apa tu Ana? Kami kawan baik ajelah,”Nadia menyangkal sangkaan Raihana. Raihana diam saja mendengar kata-kata Nadia. Dia tidak berpuas hati. Dia tahu ada udang di sebalik batu. Berdasarkan pemerhatiannya selama ini ada sesuatu yang tidak kena dengan Shahril dan sahabat baiknya, Nadia. Tetapi dia tidak mahu bertanya lanjut. Fikirannya terencat apabila telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat.
“Hoi! Kalau kau asyik renung telefon tu, tak adanya si pujaan hati kau muncul kat dalam bilik ni,”Redzuan menyergah setelah lama dia memerhati yang Shahril asyik merenung telefon bimbit Nokianya. Shahril merenungnya dengan wajah marah. Terkejut barangkali dengan sergahan Redzuan. Dia bangkit, duduk di atas katilnya sambil Redzuan menuju ke meja belajar, duduk di atas kerusi. “Kalau dah angau sangat, telefon sajalah,”Redzuan menasihati. Shahril tersengih. “Baru aje tadi balik dari jumpa dia. Takkanlah nak telefon lagi. Apa pulak dia kata,”Shahril menolak mentah-mentah rancangan Redzuan. Redzuan mengelengkan-gelengkan kepalanya beberapa kali dengan senyuman lebar di wajahnya. Kelakar dengan telatah Shahril. “Shah kau nak jadi macam ni sampai bila. Kalau asyik pendam aje perasaan kau, bila dia nak tahu. Jangan tunggu lama-lama. Nanti dia diambil orang. Kau dengar nasihat aku ni Shah,”Redzuan menasihati lagi. Terdengar Shahril mengeluh panjang. “Kau tahu tak Wan? Status kami sebagai kawan baik yang menyebabkan aku fikir panjang. Macam mana aku nak berhadapan dengan dia lagi kalau dia tolak cinta aku. Kalau bukan sebagai kekasih sekali pun, dia masih kawan aku,”Shahril menyatakan pendiriannya. “Tapi Shah, belum cuba belum tahu. Mana kau tahu dia akan tolak cinta kau?”Redzuan memberi semangat. “Entahlah Wan. Kita tunggu dan lihat saja,”Shahril seperti menyerah saja. Redzuan memandang sahabatnya itu dengan perasaan kesal. Dia bimbang Shahril akan kecewa nanti. “Ikut suka kaulah. Tapi kau ingat ni, walau apa pun yang berlaku, aku tetap sokong kau,”Redzuan bangun, berjalan ke arah Shahril, menepuk bahunya sebelum keluar dari bilik itu. Shahril diam, berfikir panjang selepas itu.
Selamba saja Nadia menikmati aiskrim. Dari perlakuannya semua orang boleh meneka yang aiskrim vanilanya itu sedap. Raihana yang tadinya tidak berminat pun boleh terpengaruh. Nadia ketawa kecil apabila Raihana muncul dengan aiskrim yang sama. “Tadi jual mahal,”perlinya. Raihana tidak menjawab, tetapi hanya menjeling tajam. Nadia menyambung tawanya melihat reaksi Raihana. Tidak lama kemudian, Shahril dan Redzuan muncul dengan senyuman lebar. “Dah makan?”Redzuan bertanya Raihana. Raihana hanya mengelengkan kepalanya tanda perutnya masih belum diisi. “Tanya Ana aje ke?”Nadia mengusik. Redzuan hanya tersenyum. “Kita makan dulu. Lepas tu baru hantar korang berdua balik rumah,”Redzuan memberi cadangan. “Ok,”Nadia dan Raihana serentak menjawab. Shahril dan Redzuan hanya mampu mengangkat bahu, melihat telatah ceria kedua-duanya. Mereka berempat berjalan bersama.
Raihana sengaja berjalan lambat-lambat. Redzuan yang memerhati kehairanan lantas dia menunggu. “Ana ada nak cakap apa-apa ke kat Wan?”Redzuan membaca perlakuan Raihana. Raihana mengangguk, mengiyakan telahan kekasih hatinya itu. “Semalam mak minta Ana balik kampung,”Raihana memulakan cerita. Dia berhenti sekejap, memandang wajah Redzuan. Redzuan senyum meminta Raihana meneruskan cerita. “Mak tak pernah pulak cakap macam tu dengan Ana. Ana rasa macam ada benda tak kena,”Raihana memberitahu, serentak dia berhenti berjalan. “Kenapa Ana cakap macam tu?”Redzuan agak terkejut mendengar tanggapan Raihana. Dia turut berhenti. Dia bagai dapat mengesan ada air yang bertakung di mata Raihana. “Wan kan tahu mak tak suka hubungan kita ni. Ana takut mak ada rancangannya sendiri,”Raihana melahirkan rasa bimbangnya. Redzuan melihat anak mata Raihana, memegang bahunya dan senyum cuba membuang rasa bimbang Raihana. “Jangan buruk sangka dengan mak Ana. Redzuan yakin tak ada apa-apa. Ana jangan bimbang, OK,”Redzuan meniupkan kata-kata nasihat untuk Raihana. Raihana mengesat air matanya. Geram sungguh dia dengan sikap Redzuan yang terlalu optimis itu. “Awak ni macam tak kisah aje. Kalau ada apa-apa nanti macam mana? Awak dah tak sayang kat saya ke?”terluah rasa geram dari bibir Raihana. “Ana! Bukan Wan tak sayang. Sayang. Kenapa cakap macam tu. Wan nak Ana bertenang. Balik dan dengar apa yang mak Ana nak cakap. Jangan tuduh melulu. Dia kan mak Ana,”Redzuan tidak melatah dengan kemarahan Raihana. Raihana menarik nafas panjang, cuba meredakan kemarahannya. Kemudian dia memandang Redzuan. Lama mereka diam, cuba menyejukkan kembali keadaan. “Dah OK?”Redzuan bertanya setelah lama mereka begitu. Raihana senyum sambil menganggukkan kepalanya. Redzuan melangkah setapak, berpaling ke belakang semula, menghantar isyarat supaya mereka meneruskan perjalanan.
Shahril dan Nadia sudah sampai ke kereta. Oleh sebab Raihana dan Redzuan masih belum sampai, mereka hanya menunggu di luar kereta, sambil menyandar di badan kereta Satria GTI milik Shahril. “Kenapa tu?”Shahril bertanya, mengisyaratkan kepada Redzuan dan Raihana yang tertinggal di belakang. “Entah. Adalah halnya tu. Semalam Raihana dapat panggilan dari kampung,”Nadia menjawab sambil mengangkat bahunya. Shahril tidak menunjukkan sebarang tindak balas pada jawapan itu. “Free tak Sabtu ni?”Shahril bertanya lagi. Kali ini gadis kecil molek di sebelahnya itu berpaling. “Nak ajak I keluar lagilah tu. Sabtu ni tak boleh. I dah ada janji,”Nadia memberitahu. Dia dapat melihat wajah Shahril yang penuh kekecewaan itu. “Sorry,”entah kenapa Nadia merasakan dia perlu meminta maaf. Dia dapat melihat Shahril senyum. Tetapi hambar saja. “You janji dengan siapa?”terlintas pertanyaan itu di minda Shahril. Nadia tersenyum lebar. “Fariz ajak I ke parti hari lahir kawannya. Tak sangka kan?”Nadia bersuara ceria sedangkan jawapannya itu sebenarnya menyentap jantung Shahril. “Kawan dia yang mana satu ya,”Shahril bertanya sambil menyembunyikan rasa tidak senangnya. “Entahlah. I pun tak tahu,”Nadia menjawab dengan kerutan di dahi. Dia memang benar-benar terlupa untuk bertanya kerana terlampau gembira dengan ajakan Fariz, jejaka idaman kolej itu. “Hati-hati Nadia,”Shahril menasihati. Nadia menunjukkan wajah kehairanan. “Hei, janganlah risau. I tahu jaga diri,”Nadia meyakinkan. Shahril mengangguk juga walaupun hatinya sedikit ragu-ragu. Dalam hati, Nadia mengharapkan yang Shahril akan menyuruh dia menolak pelawaan itu. Tetapi lain pula yang terjadi. Perbualan mereka terhenti sebaik sahaja Redzuan dan Raihana sampai di kereta.
Fariz segera turun dari kereta sebaik sahaja dia berhenti di hadapan rumah sewa Nadia. Dia membuka pintu kereta untuk gadis itu. “Thanks sebab sudi temankan malam ni,”Fariz memberitahu, sebelum Nadia mula melangkah masuk ke dalam rumahnya. Memang niat Fariz untuk memanjangkan pertemuan itu. Nadia tersenyum manis. “Sama-sama. I pun nak ucapkan terima kasih atas layanan you,”Nadia turut berterima kasih. Giliran Fariz pula tersenyum lebar. “Dengan cara macam mana lagi I nak layan gadis sebaik dan secantik you ni. Of course I will give you the best service,”kata-kata itu kedengaran bagaikan gurauan di telinga Nadia. Sudahnya dia ketawa kecil. Fariz sedikit kehairanan. “Sudahlah you jangan nak bergurau dengan I pulak Fariz. I tahu you macam mana. Tak payahlah nak berlakon depan I,”tanpa di duga begitu senang sekali kata-kata itu meluncur keluar dari bibir Nadia. Fariz kelihatan agak terkejut. Nadia menghentikan tawanya apabila melihat wajah Fariz itu. “Sorry, kalau dah buat you tersinggung. Anyway thank you for everything. See you later,”Nadia tidak menunggu lama. Segera dia berjalan masuk ke dalam rumah, meninggalkan Fariz keseorangan berdiri di situ.
“Ana! Kenapa duduk dalam gelap ni?”terkejut Nadia apabila mendapati Raihana ada di dalam bilik ketika dia membuka pintu sebentar tadi. Kawan serumahnya yang lain pun tidak ada yang mengkhabarkan Raihana sudah pulang semula ke sini. Keadaan segera menjadi terang-benderang sebaik sahaja Nadia memetik suis lampu. Raihana memandang Nadia dan tanpa disangka menerpa ke arah gadis kecil molek itu. Makin bertambah kejutan apabila tiba-tiba sahaja Raihana menangis. Nadia hanya membiarkan. Tangannya lembut menggosok kepala Raihana persis seorang ibu. Nadia melemparkan senyuman, apabila Raihana mendongak, melihat wajahnya. “Kenapa ni? Ada apa-apa yang tak kena ke? Semalam baru you balik kampung. Hari ni dah datang semula ke sini.” Lembut saja pertanyaan dari Nadia. “Nadia, I dah agak mak I ada agenda lain. Dia nak tunangkan I dengan orang lain,”tangisan Raihana tadi yang sudah menghilang, kembali membasahi pipinya apabila dia mula bercerita.
Ternganga mulut Nadia mendengar peneranagan Raihana. “I lari dari majlis tu,”Raihana meneruskan cerita. “Redzuan dah tahu?”Nadia bertanya lanjut. Raihana mengelengkan kepalanya. Nadia menarik nafas panjang. Tiba-tiba dia rasa terbeban dengan masalah sahabatnya itu. “So, apa you nak buat sekarang. Lari dari majlis tu tak menyelesaikan masalah,”Nadia memberitahu. “I tahu. Tapi I tak tahu lagi nak buat macam mana. I Cuma terfikir cara ni aje,”dalam esakan Raihana berkata. Nadia diam, berfikir sesuatu. Mungkin jika dia dalam situasi Raihana pun dia akan membuat perkara yang sama. “Kita beritahu Redzuan OK,”Nadia memberi cadangan. Tanpa menunggu kata putus dari Raihana, dia mencapai telefon dan mendail nombor telefon Redzuan.
“Redzuan tak tidur semalam lepas dengar apa yang berlaku,”Shahril bercerita. Dia dan Nadia hanya menjadi pemerhati. Kelihatan Redzuan cuba memujuk Raihana. Tetapi mereka tidak tahu butir bicara mereka berdua. Dia dan Nadia di luar rumah, sedangkan Redzuan dan Raihana di dalam rumah. Nadia diam saja, malas mahu melayan Shahril. Dalam fikirannya sekarang hanya masalah Raihana yang sedang berlegar-legar. Shahril buat tidak tahu saja dengan reaksi Nadia. Dia mahu terus berbual. “Macam mana majlis kat rumah kawan Fariz?”Shahril bertanya. Nadia naik rimas. Hish dia ni tak nampak ke ada masalah lebih besar daripada majlis tu. Nadia masih tidak mahu menjawab. Dia hanya menjeling tajam, menunjukkan rasa geramnya. Shahril mengangkat bahunya, tanda mengalah apabila Nadia tidak mahu melayan.
Sebuah kereta Honda Accord yang berhenti di depan rumah sewa itu mengejutkan semua. Ada seorang lelaki yang muncul. Tersenyum kepada Shahril dan Nadia. “Maafkan saya. Ini rumah Raihana?”dia bertanya. Nadia yang terpinga-pinga hanya mengangguk. “Boleh saya jumpa dia?”jejaka itu bertanya lagi. Nadia mengangguk, tidak menunggu lama memanggil Raihana di dalam rumah. Raihana dan Redzuan muncul serentak. “Saya Irfan,”dia memperkenalkan diri kepada semua yang ada. Raihana kelihatan terperanjat. Dia memandang Redzuan penuh makna, cuba memberitahu sesuatu di sebalik renungan itu. “Saya Redzuan, teman lelaki Raihana,”Redzuan cuba sedaya upaya mengawal diri kerana dia tahu lelaki ini tunangan Raihana. Irfan tersenyum penuh makna. “Maaf kerana menganggu. Sebenarnya saya nak beritahu suatu perkara pada Raihana,”dia melihat Raihana. Raihana terundur ke belakang mendengar kata-kata itu. Dia memegang tangan Redzuan kejap. Seolah tidak mahu dilepaskan. Tanpa disangka-sangka lelaki bernama Irfan itu ketawa. “Jangan bimbang. Saya bukan nak bawa Raihana lari. Saya hanya nak minta maaf dengan Raihana,”dia berkata tenang. Semua yang ada di situ kehairanan. “Saya tak menyangka yang Raihana dipaksa untuk menerima saya. Apabila saya diberitahu yang Raihana tidak ada di majlis pertunangan itu semalam, saya terus membatalkan majlis itu. Tak wajar saya teruskan kalau Raihana tidak setuju,”dia meneruskan. “Saya minta maaf. Saya dah ada orang lain,”Raihana bersuara perlahan. “Saya faham. Saya hanya nak menjelaskan saja apa yang telah berlaku semalam. Awak bebas untuk pilih sesiapa pun. Encik Redzuan, awak bertuah,”Irfan menepuk bahu Redzuan perlahan. Raihana dan Redzuan saling berpandangan. Mereka seperti tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. “Apa kata, masuk dan minum dulu di rumah kami,”Nadia memberi cadangan. Semua yang berada di situ mengangguk, bersetuju dengan cadangan Nadia.

Sejak dari tadi Shahril memerhati. Fariz dan Nadia begitu asyik berbual. Kebelakangan ini Nadia dan Fariz sering keluar bersama. Dia pula hanya mampu melihat. Spontan tangannya bergerak menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Tepukan di bahunya mengalih perhatiannya. Redzuan sedang tersenyum sinis. “Masalah aku dah selesai. Kau bila lagi? Aku tengok bukan main lain lagi mereka sekarang,”Redzuan turut melihat ke arah Fariz dan Nadia. “Dulu lagi aku kata Shah. Jangan tunggu lama-lama. Tengok. Sekarang burung yang memang dah ada dalam genggaman yang kau lepaskan,”Redzuan menyindir. Tak semena-mena Shahril memberinya satu kerlingan tajam. “Kau ingat aku nak lepaskan dia pada buaya darat tak guna tu ke? Tak mungkin,”berkobar-kobar semangat Shahril apabila dia merasakan yang Redzuan mencabarnya. “Jangan cakap besar aje Shah. Kata mesti di kota,”makin galak pula Redzuan. Kelihatan Shahril mengenggam penumbuknya memberitahu Redzuan yang dia sedia berbuat apa saja untuk memiliki Nadia.
Shahril tidak dapat duduk senang malam itu. Hatinya rasa tidak tenteram. Seolah-olah ada sesuatu yang bakal berlaku. Redzuan yang baru saja menamatkan panggilan, segera menoleh melihat Shahril yang seperti cacing kepanasan itu. “Kau duduklah diam-diam sikit. Dah naik pening aku tengok kau ni,”Redzuan menegur. “Aku risau ni. Jantung aku rasa macam nak tercabut aje. Berdebar-debar. Macam ada benda nak jadi,”Shahril memberitahu kerisauan. “Kau risaukan Nadia ke?”Redzuan meneka. Dia mengangguk, mengiyakan telahan Redzuan. “Dah telefon dia?”Redzuan bertanya. “Dia tak angkat,”Shahril membalas dengan nada suara yang tidak keruan. Redzuan melihat jam di dinding. Pukul 9.12 malam. Masih awal. Dia mendail nombor Raihana. Mungkin Raihana tahu ke mana Nadia.
Fariz tersenyum nipis melihat Nadia. Gadis itu bukan sembarangan. Jinak-jinak merpati. Mudah didekati tapi begitu bijak mengelak apabila dia mula memasang jerangkap. Tidak pernah dia dimalukan begitu rupa. Kawan-kawannya sudah mula mengejek. Itu yang menyebabkan Fariz semakin berang. Malam itu dia akan menyelesaikan segala-galanya. Dia pasti akan memenangi cabaran yang dikemukan Kamal dan Firdaus sebelum ini. Dia sudah semakin bosan untuk bermain tarik tali dengan gadis kecil molek itu. “You tak nak menari lagi?”Fariz mengumpan. Nadia menggeleng. “I dah penat,”Nadia memberi alasan. Fariz tidak berputus asa. Dia sudah berdiri. Kakinya sudah bergerak mengikut muzik yang bergema di segenap ruang. Dia menarik tangan Nadia, sehingga gadis itu terbangun. Antara hendak tidak hendak saja Nadia mengikut Fariz. Fariz menghantar isyarat kepada Kamal supaya menjalankan rancangannya. Kamal mengangkat ibu tangannya memberi maksud segalanya di tanggung beres.
“Cukuplah. I dah penat,”Nadia sudah melangkah meninggalkan Fariz. Dia bukannya ada hati sangat berkunjung ke sini. Hanya sengaja menyakitkan hati Shahril yang tidak pernah faham tentang perasaannya. Hampir saja dia mahu minum air yang ditinggalkan tadi, tetapi dia berhenti apabila mengingatkan yang dia meninggalkan minuman itu tanpa pemerhatiannya tadi. Dia tahu sangat lelaki-lelaki seperti tiga sahabat itu. Cekap mengambil kesempatan. Dia memanggil pelayan untuk meminta minuman lain. Dia hanya melihat Kamal dan Firdaus dengan senyuman sinis. Muka keduanya kelihatan berubah.
“Kenapa?”Nadia bertanya dengan nada sindiran. Kedua-duanya hanya menggelengkan kepala, menandakan tiada apa-apa. Nadia menghirup sedikit air yang baru dipesannya tadi. Kemudian dia melihat jam di tangannya. Sudah pun mencecah jam 11 malam. Dia mahu segera pulang. Jika tidak pasti Raihana meleterinya. Segera dia menghabiskan air yang masih lagi bersisa. “I nak balik dulu,” Nadia bangun dari tempat duduknya sambil memberitahu Fariz yang baru saja kembali ke tempat duduk mereka. “Awal lagi. You dah nak balik?”Fariz cuba menangguhkan Nadia. “Bagi you awal. Pada I dah lewat. Tolong hantar I balik,”Nadia meminta. Fariz memandang Nadia lama. Matanya sengaja diredupkan, merayu Nadia supaya terus berada di situ. “No! Jom!”Nadia bersuara tegas. Dia bergerak pantas melalui celahan orang ramai. Belum pun sempat dia sampai di muka pintu, dia terasa kepalanya berpusing. Dia memegang dinding cuba menahan dirinya dari jatuh. Dia mula merasa tidak sedap hati. Dia melihat Fariz tersenyum sambil memegang gelas minuman yang diminumnya tadi. Kemudian dia melihat pelayan yang menghantar minuman tadi juga turut tersenyum lebar. Tak guna! Mereka berpakat, sumpah Nadia di dalam hati. Tidak lama kemudian, Fariz menghampiri dengan senyuman yang melebar di bibir. “Akhirnya I dapat you,”Fariz berbisik di telinga Nadia. Dia memapah Nadia. Gadis itu cuba melawan tetapi dia tidak berdaya. Nyata ubat yang diletak dalam minumannya tadi sudah berjaya melumpuhkan tubuhnya.
“Ah, leganya”tersenyum lebar Shahril sebaik keluar dari tandas. Sejak dari tadi dia menahan hajatnya. Bimbang Nadia terlepas dari pandangan. Tetapi disebabkan dia memang sudah tidak dapat menahan, terpaksa juga dia ke tandas. Ketika dia kembali semula ke dewan tari, dia mendapati Nadia sudah pun hilang. Pantas dia keluar dari situ, mencari Nadia. Terasa darah yang sedang mengalir di tubuhnya sudah jadi tidak menentu. Dia berlari-lari anak. Kuasa Allah, dia terpandang sebuah kereta. Ada Nadia yang sedang terlentuk di bahu Fariz. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Nadia. Dia pantas memanggil teksi yang kebetulan berada di tempat itu. Segera diperintahkan pemandunya mengikut kereta yang dinaiki Nadia dan Fariz tadi.
Fariz membawa Nadia ke bilik yang memang sudah ditempahnya dari awal. Belum pun sempat dia menutup pintu, ada seseorang menendangnya dari luar. Terjelepuk jatuh dia dan Nadia. Belum pun sempat dia berbuat apa-apa satu tumbukan singgah di mukanya. Dia terjatuh ke atas lantai kembali. Shahril sudah pun tunduk, mahu menumbuk Fariz lagi. Tetapi kali ini Fariz bertindak pantas, berjaya menjauhkan dirinya dari gapaian Shahril. Dia mengeluarkan pisau dan mengacukannya kepada Shahril. Kecut juga perut Shahril. Tetapi dia tidak peduli itu semua. Nadia perlu diselamatkan. Dia anak jantan. Biar putih tulang, jangan putih mata. Beberapa kali Fariz mengacah pisau ke arah Shahril. Shahril sudah tidak mahu menunggu, lantas dia menyerang, cuba menjatuhkan pisau yang dipegang Shahril. Fariz juga bukan sembarangan orangnya. Dia berjaya mengelak serangan Shahril. Dia mengambil peluang itu menikam perut Shahril. Bajunya sudah basah disimbahi darah. Dia mengetap bibirnya menahan sakit. Panik Fariz melihat darah di tubuh Shahril. Dia ingin segera lari di situ. Tetapi belum pun sempat dia keluar dari bilik itu, dia diserbu dari luar. Redzuan dan dua orang anggota polis muncul di pintu. Dia terperangkap. Redzuan pula menerpa ke arah Shahril yang sudah pun terbaring. Dia cemas apabila melihat Shahril yang berlumuran darah.
Ketika dia sedar, dia melihat Nadia sedang tidur di sisi katilnya. Erat memegang tangannya. Dia segera menutup matanya kembali apabila dia melihat Nadia bergerak-gerak. Dia dapat merasakan yang Nadia membetulkan selimutnya. Terasa kembang hatinya apabila menyedari yang Nadia begitu mengambil berat tentang dirinya. “Shah, bila you nak sedar. Semua orang tunggu you. Jangan tinggalkan I Shah. Banyak benda I nak cakap dengan you,”Shahril mendengar Nadia berbisik sambil memegang tangannya. Dia tersenyum nakal. “Apa yang you nak cakap dengan I?”dia bersuara lemah, Nadia terkejut. Terlepas tangan Shahril yang berada dalam tangannya tadi. Shahril tersenyum tawar melihat reaksi Nadiaa. “You tahu tak kenapa I jadi macam ni?”Shahril bertanya. Nadia mengangguk sambil mengesat air matanya. “Redzuan dah cerita semuanya pada I,”Nadia memberitahu. Shahril tersenyum kelegaan. “Tapi I nak dengar you cakap dengan I. Sekali pun jadilah,”Nadia meminta malu-malu. Terbuntang matanya mendengar permintaan Nadia. Dia teragak-agak. “Er...”Shahril tidak dapat meneruskan kata-katanya. “Kalau you tak cakap I merajuk,”Nadia mengugut. Dia sudah pun berjalan menuju ke pintu. “Tunggu dulu!”dengan kudrat yang ada dia menahan Nadia. Perlahan-lahan ditarik Nadia supaya merapati katilnya. Dia menarik nafas, mencari kekuatan. Lama dia merenung Nadia. Melihat ke dalam anak mata Nadia. “Saya sayang dan cintakan awak,”kata-kata itu meluncur laju dari bibir Shahril. Nadia terrsenyum puas. “Saya pun sayang awak,”Nadia membalas sambil tersenyum manis. Tanpa mereka sedari ada dua insan yang sejak tadi menonton drama mereka berdua tadi. Raihana dan Redzuan saling berpandangan sambil tersenyum. Dah tamat pun kisah ni.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

The Vulnerable Me

I’m vulnerable,
Sick to be like this,
Happened when the love’s one,
Hurt my feeling,
Even with the smallest mistake,
The wound go deep into my heart,
I know,
Time will cure the cut,
But still lives the scar behind,
Stuck with the most unforgettable memory,
And it will be the one,
That gives me grief and miserable,
The one I want to forget,
What can I do if it will be always,
Be in my mind,
And I sure want to remember it,
Because it comes from my love’s one,
Who is near,
But not reachable,
And still be my love’s one.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

update blog, cari kerja dan bola sepak

Assalamualaikum...
Jika diibaratkan laman blog ini sekeping tanah terbiar rasanya dah jadi hutan pun blog ni. dah lama sangat tak jenguk. bukannya saya tak online. online keraplah jugak. seminggu sekali. tetapi saya betul-betul tiada mood untuk menulis di blog apatah lagi menyambung cerita. saya minta maaf kepada semua yang membaca blog ini.

fikiran saya lebih terarah untuk mencari kerja. tiada perkara lain yang terlintas di fikiran saya ketika online. cuma satu. mencari pekerjaan di alam maya. aduh. susah kan hidup tak ada kerja ni. bosan tak payah cakaplah. tetapi saya sabarkan hati dengan menjadi suri rumah sepenuh masa kat rumah. kemas rumah, sapu lantai, cuci pinggan mangkuk. semua tu dah jadi rutin harian saya di rumah. sekurang-kurangnya dapat jugak melengkapkan diri dengan ilmu rumah tangga. bak kata orang, orang perempuan ni belajar tinggi mana pun akhirnya sampai jugak ke ceruk dapur. hehe..

sepanjang duduk rumah jugak saya berkesempatan ambil tahu perkembangan piala dunia 2010 di afrika selatan. tapi saya tak adalah fanatik sangat sampai berjaga pukul 2.00 pagi semata-mata nak tengok siaran langsung. malaslah saya. saya tengok siaran ulangan aje. biarpun keputusan dah pun diketahui suspennya tetap ada. best tengok pemain bola sepak profesional ni gelecek bola. saya memang tak pandai main sukan, cuma suka tengok aje. cukuplah. hehe.. sempat saya mengenali beberapa bintang contohnya wesley sneidjer (tak tahu betul ke salah eja namanya) dari belanda, thomas mueller bintang jerman yang muda dan ramai lagilah. yang paling saya kagum tentulah park ji sung pemain korea selatan tu. walaupun korea selatan tak menang, pemain-pemain mereka menunjukkan persembahan yang membanggakan.

saya rasa cukuplah dulu setakat ini. saya nak online lagi. nak cari kerja lagi. entah bila saya akan jenguk blog ini lagi. sehingga masa itu saya doakan semua pembaca blog ini sentiasa ceria dan berada di dalam rahmat Allah Yang Maha Esa.

Ja mata ne!!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS