RSS

Aku dan Internet

Assalamualaikum....


Dah lama rasanya tak masukkan entri yang baru.. Jadi saya masukkan 3 entri sekaligus.. hehe.. Selalunya setiap hari rabu saya akan surf internet.. tapi hari rabu hari tu internet tak jalan pulak.. saya sangat frust.. maklumlah tak boleh check facebook dan update blog.. bila dapat online rasa best sangat.. rasa dunia yang sempi jadi luas semula.. anyway tak ada cerita baru pun.. kehidupan masih masih macam biasa dan saya assign projek baru untuk diri sendiri.. projek yang bertujuan untuk mencabar kemampuan diri sendiri..wish me luck.. rasanya cukuplah untuk kali ini.. lain masa kita semua jumpa lagi..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Sampai ke Syurga

 Lambat-lambat Sarah mengemaskan bajunya. Hatinya begitu berat untuk meninggalkan rumah kali ini. Tidak puas rasanya bercuti seminggu di rumah. Di tambah pula dengan keadaan kesihatan mama yang tidak menentu. Dia mengeluh perlahan. Gerakan tangannya terhenti. Dibiarkan bajunya yang belum habis dilipat lantas Sarah berbaring di katil empuknya sambil memandang kipas yang begitu ligat berputar. Jika diturutkan hatinya mahu saja dia berada di rumah ini menemani mamanya. Matanya dipejamkan sambil beristighfar beberapa kali berharap hatinya yang gundah gulana dapat ditenangkan kembali. “Ya Allah berikanlah aku kekuatan,”dia berdoa perlahan.
Bunyi pintu bilik yang dibuka mengalihkan perhatian Sarah. “Kak Long,”lembut suara mama memanggilnya. Sarah bingkas bangun. Dia tersenyum melihat mama. Terasa sejuk hatinya menerima senyuman dari mama. Hatinya sedikit pilu melihat wajah mamanya sedikit pucat menandakan wanita kesayangannya itu tidak sihat sepenuhnya. Sarah faham benar mama sedaya upaya menyembunyikan kesakitannya daripada anak-anak dengan senyuman yang penuh dengan kelembutan itu. “Sarah dah siap kemas?”mama menegur. Sarah menggelengkan kepalanya. “Belum lagi ma,”Sarah menjawab perlahan. Mama dapat mengesan tingkah Sarah yang agak lain dari biasanya. Mama mengalihkan pandangan kepada pakaian Sarah yang sebahagiannya sudah dilipat. Pantas mama memasukkan pakaian itu ke dalam beg. Sarah hanya membiarkan. “Kenapa ni Kak Long? Ada apa-apa yang tak kena ke?”mama bertanya penuh prihatin. “Kak Long berat hati nak pergi ma. Rasa ada benda nak berlaku aje,”Sarah menceritakan perihal perasaan tidak senangnya kepada mama. Tangan mama yang tadinya begitu lincah tiba-tiba terhenti selepas mendengar kata-kata anak sulungnya itu. Mama tersenyum pahit. Pakaian yang berada di tangannya tadi diletakkan ke dalam  beg sebelum dia mengalihkan tubuhnya mengadap wajah Sarah yang sugul. “Apa pulak yang nak jadi? Tak ada apa-apalah. Apa yang Sarah mengarut ni?”mama cuba menenangkan hati Sarah. “Sarah risaukan mama,”Sarah memberitahu lagi. Mama ketawa kecil. “Mama tak ada apa-apa sayang. Mama dah sihat. Insya Allah semuanya baik-baik saja,”mama memeluk bahu Sarah. Dada Sarah tiba-tiba didatangi sebak. Tidak semena-mena dia menangis di bahu mamanya. “Mama janji yang mama takkan tinggalkan Sarah. Mama janji yang mama tak apa-apa. Sarah tak nak kehilangan mama,”dalam sendu Sarah meminta. Hampir mengalir air mata mama mendengar permintaan Sarah itu. Tetapi dia segera menahannya. Jika dia menangis emosi Sarah akan semakin terganggu. “Sarah, jika diizinkan Allah mama tak mahu tinggalkan anak-anak mama. Mama nak tengok kamu semua membesar dan berjaya. Tetapi siapa kita untuk menidakkan hukum Allah? Kalau dah sampai ajal mama, mama tak dapat menolaknya. Sarah kena banyak doakan mama. Jangan tinggal solat, mengaji, tinggal perkara yang Allah larang. Doakan mama dan papa panjang umur dan dikurniakan kesihatan yang baik. Kalau Sarah buat semua tu Insya Allah, Allah kabulkan. Tapi kalau benda yang Sarah minta tak termakbul jangan disalahkan pula Maha Pencipta. Tentu ada hikmah di sebaliknya,”panjang lebar nasihat mama kepada Sarah. Sarah hanya mendengar tanpa membalas. Lama mama memeluk Sarah sebelum akhirnya mama leraikan, mahu melihat wajah mulus milik anak gadisnya itu. “Kak Long dengar tak apa yang mama cakapkan tadi?”mama mahu memastikan nasihat yang disampaikannya tadi benar-benar meresap ke dalam hati Sarah. Sarah mengangguk. Mama tersenyum puas hati. “Cepat kemas barang ni semua. Mama tolong ya,”mama tidak mahu terus tenggelam dalam situasi yang menyedihkan itu lantas dia menyambung kerjanya yang terbengkalai tadi. Kali ini Sarah sama-sama membantu mamanya.

Latifah merenung dirinya di dalam cermin. Dia dapat melihat perubahan yang berlaku pada dirinya. Dirinya bukan lagi seperti dulu. Sebelah payudaranya telah  dibuang akibat kanser payudara. Namun begitu dia tetap bersyukur kepada Allah kerana masih memberi dia peluang untuk bernafas di bumi Allah ini. Dia bersyukur kerana masih ada waktu untuk dia bersama anak-anak serta suaminya. Tetapi ada sesuatu yang menganggu fikirannya kebelakangan ini. Ada sesuatu yang tidak kena. Walaupun dia sudah disahkan bebas daripada penyakit kanser itu, peratusan untuk penyakit itu kembali menyerang adalah tinggi. Perkara itulah yang sering bermain di dalam fikirannya sekarang. Syak wasangkanya semakin menjadi-jadi apabila dia kerap tidak sihat kebelakangan ini. Ditambah pula dengan keadaan fiizikalnya berubah sedikit.  ‘Moga-moga semua ini hanyalah mainan perasaan saja,’ Latifah berdoa di dalam hati.  Dia meraup mukanya perlahan dengan harapan sangkaan buruk yang mula singgah di benaknya itu dapat dihilangkan. Dia tersentak apabila pintu bilik air diketuk kuat diikuti dengan suara suaminya yang memanggilnya dari luar. Cepat-cepat dia membuka pintu. Tersembul di muka pintu wajah kebimbangan milik Azhar. “Awak buat apa kat dalam bilik air tu lama-lama. Saya ingatkan awak pengsan kat dalam tadi,”suaminya menyatakan rasa bimbang. Terasa kembang hatinya dengan keprihatinan yang ditunjukkan suaminya. Dia tersenyum nipis. Tanpa menjawab soalan suaminya dia keluar dari bilik air lantas duduk di atas katil. Azhar menyusul kemudiannya sama-sama menempatkan dirinya berhampiran dengan tubuh isteri kesayangannya itu. “Terima kasih,”ucapan penghargaan itu membuatkan kening Azhar berkerut kehairanan. Latifah senyum saja melihat reaksi suaminya itu. “Terima kasih kerana masih ada di sisi saya. Terima kasih kerana masih sudi menyayangi saya. Terima kasih untuk segala-galanya,”sayu suara Latifah memberitahu. Azhar mengangkat wajah Latifah agar mata mereka saling bertentangan. Dia ingin melihat wajah lembut milik Latifah ketika mereka berbicara. “Tak payah nak berterima kasih dengan saya. Semua inikan tanggungjawab saya. Melindungi dan menyayangi awak,”Azhar membalas. Ada sinar keikhlasan terpancar dari hening matanya. Perlahan-lahan cahaya itu masuk menerangi hati Latifah. Bertuahnya dia kerana memiliki Azhar. Suasana jadi sunyi seketika. “Kenapa awak cakap macam tu?”pertanyaan Azhar memecah sunyi. Latifah tidak menjawab. Membiarkan soalan Azhar terbiar sepi. “Jika awak ingat kasih sayang saya berkurang kerana kekurangan diri awak, awak silap,”Azhar seolah-olah dapat membaca isi hatinya. “Meyayangi dan mencintai seseorang bermakna kita bersedia menerima dirinya seadanya. Saya sayangkan kerana diri awak. bukan kerana perkara lain. Bukan kerana harta atau paras rupa,”Azhar pasti ada perasaan bimbang sedang bertandang di hati isterinya itu. air mata Latifah menitis perlahan mendengar pengakuan suaminya itu. Jari-jemari Azhar yang sedang cuba menyapu air matanya menyebabkan dia semakin sebak. Lantas dia merebahkan tubuhnya ke dada lelaki itu menangis semahunya melepaskan segala sesak di dada. Azhar hanya membiarkan.

            Doktor Noraini melepaskan nafasnya berat. Latifah dapat merasakan yang ada berita buruk yang bakal disampaikan oleh doktornya. “Doktor macam mana keadaan saya?”Latifah bertanya juga. Walaupun seburuk mana pun berita yang bakal didengarnya kenyataan tetap sebuah kenyataan. Tiada guna dia mengelak. “Puan Latifah, kanser puan telah pun merebak kepada payudara yang sebelah lagi,”kata-kata Doktor Noraini benar-benar meruntun jiwa Latifah. Perkara yang paling ditakutinya benar-benar terjadi. “Masih boleh dirawat lagikah doktor?”Latifah bertanya lagi. dia mengharapkan agar jawapan yang bakal disampaikannya nanti bakal memberi cahaya dalam hidupnya semula. Tetapi memandang wajah doktor Noraini yang redup dia pasti dia bakal menerima berita buruk. “Barah puan sudah pun merebak ke tulang belakang. Hanya keajaiban saja yang boleh sembuhkan penyakit puan,”mahu atau tidak doktor Noraini perlu berterus-terang. Itu tugasnya sebagai doktor. Latifah terasa dunianya gelap sebentar. Ya Allah dugaan apakah ini? Dia berkata dalam hati. “Saya akan berikan ubat. Ubat-ubat ni boleh melambatkan kesan kanser puan. Kalau boleh saya nak bercakap dengan ahli keluarga puan,”Doktor Noraini memberitahu tenang. Latifah hanya mengangguk, menyanggupi permintaan Doktor Noraini.
Latifah tidak dapat memandu pulang. Terasa segala kekuatannya hilang begitu saja. Lama dia berkeadaan begitu sehinggalah air matanya tiba-tiba terhambur keluar. Menangisi nasib yang menimpa dirinya. Telefon bimbit yang berbunyi mengalihkan perhatiannya. Dia cuba menghentikan tangisannya. Segera dia mengangkat telefon. Dia menjawab salam yang diberi si pemanggil. “Mama,”dia mendengar Sarah memanggilnya. “Mama menangis ke?”anak itu bijak membaca nada suaranya. “Tak adalah. Mama selsema sikit,”dia terpaksa berbohong. Dia tidak mahu Sarah  bimbang di sana. “Ya ke? Mama dah pergi jumpa doktor?”Sarah bertanya prihatin. Latifah lega Sarah mempercayai kata-katanya. “Mama baru balik dari jumpa doktor. Sarah apa khabar? Macam mana kehidupan kat sana?”Latifah mahu lari dari persoalan dari dirinya. Rancak Sarah bercerita. Dia hanya mendengar penuh kusyuk dan sekali sekala membalas. Tanpa mereka sedari masa begitu pantas berlalu.
Ketika Azhar menjenguk ke bilik dia melihat isterinya sedang tidur di atas katil. Sayu hatinya melihat wajah Latifah yang kesedihan. Dia memandang wajah itu penuh kasih. Wanita pilihannya sendiri yang telah lama berkongsi hidup dengannya. Senang atau susah. Dia tidak lama di situ apabila mengingatkan dirinya yang masih belum menunaikan solat asar. Lantas dia bangun menuju ke bilik air. langkahnya terhenti apabila dia terpandang beg tangan Latifah yang terletak di atas meja solek. Latifah memang ada memberitahu dan meminta izin untuk keluar tengah hari tadi. Untuk berjumpa doktor katanya. Perasaannya bagai ditarik-tarik untuk melihat isi beg itu. Kakinya bergerak ke arah berbeza dengan tujuannya tadi. Dia membuka beg bewarna hitam itu. Sepucuk sampul surat bewarna coklat menarik perhatiannya. Dia mengambil keputusan untuk melihat isi di dalamnya. Terasa lemah lutut Azhar membaca isi kandungan sampul surat yang berwarna coklat. Hampir saja dia rebah ke lantai tetapi segera digagahkan semula kakinya. Matanya terarah ke arah isterinya yang sedang nyenyak tidur. Dia segera menyimpan sampul surat itu di tempat asalnya semula sebaik melihat Latifah bergerak, beralih kedudukan. Dia ingin Latifah memberitahu perkara yang baru diketahuinya sebentar tadi sendiri. Lantas dia kembali menghayun kaki ke arah tempat tujuan asalnya tadi.
Latifah merasa tidak senang melihat tingkah suaminya yang merenungnya. Dia yang tadinya begitu asyik menyikat rambutnya yang panjang itu segera berhenti. Dia kemudiannya menghampiri suaminya yang sedang duduk di atas katil. Dia memegang tangan Azhar. “Kenapa dengan abang?”Latifah bertanya. Azhar tidak segera menjawab. Dia merenung Latifah, melihat terus ke dalam mata isterinya. “Doktor cakap apa tadi?”dia tidak mahu berdolak-dalik lagi. Perkara petang tadi harus diselesaikan segera. Latifah tergamam mendengar persoalan suaminya. Terlepas pegangan tangannya. Dia tidak sanggup membuka mulut memberitahu perkara sebenar yang bakal melukakan hati suaminya. “Ifa, baik atau buruk perkhabaran tu nanti, abang terima dengan hati yang terbuka. Berterus-terang dengan abang,”Azhar bijak mengawal perasaannya. Dia tidak mahu Latifah tahu yang dia sudah pun mengetahui perkara itu awal-awal lagi. Latifah menarik nafas panjang. “Barah Ifa dah merebak kepada payudara yang sebelah lagi abang,”sayu suara Latifah. Ada air mata yang bakal mengalir keluar dari tubir matanya. Azhar kelihatan tenang. Namun ketenangan Azhar langsung tidak memberi kesan kepada Latifah. Laju manik-manik jernih berjuraian membasahi pipinya. Azhar memeluk isterinya. “Ifa kena kuat sayang. Ingat anak-anak,”Azhar memberi semangat. “Ifa dah tak ada masa bang. Barah tu dah sampai ke tulang belakang Ifa,”semakin kuat tangisan Latifah. Semakin kuat juga pelukan Azhar. “Sabarlah sayang. Ini semua dugaan untuk kita,”Azhar memujuk walaupun di dalam hatinya dia turut sama menangis.

“Sarah!”Sarah tersentak apabila ada seseorang memanggil namanya. Saat itu barulah dia tersedar yang air yang dituangnya telah pun melimpah keluar dari gelas. Habis basah mejanya. Dia melihat Hidayah datang dengan membawa kain buruk untuk mengelap meja yang basah. Dia duduk di kerusi tanpa mempedulikan keadaan sekelilingnya. Dibiarkan Hidayah membersihkan mejanya. “Apa yang kau fikir ni Sarah,”suara Hidayah kedengaran tegas. Mungkin terkejut dengan kelakuannya yang aneh. “Aku rasa ada sesuatu yang tak kena dengan mama aku,”Sarah meluahkan kerisaunnya. Hidayah yang tadinya sibuk mengemas meja Sarah sudah pun duduk berhadapan dengan Sarah. Dia dapat membaca riak kerisauan yang terlukis pada wajah Sarah. “Mama kau kan dah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhannya?”Hidayah meminta kepastian. “Betul. Tapi aku risau. Mama tak sihat sangat kebelakangan ni. Kau pun sendiri tahu kan penyakit mama tu boleh berulang walaupun dah jalani pembedahan,”Sarah pesimis. Hidayah terdiam sebentar mendengar kata-kata Sarah. Memang ada benarnya kata-kata Sarah. “Sarah jangan terlalu negatif. Banyakkan doa untuk kesejahteraan mama kau,”Hidayah memberi nasihat. Sarah mengakui apa yang dikatakan sahabatnya benar belaka. Namun dia tidak berupaya menolak perasaan bimbang yang membuak-buak di dalam hatinya. tiada tempat lain lagi dia boleh mengadu. Hanya kepada Allah Yang Satu tempat dia bermohon. Memohon secebis ketenangan untuk dirinya serta kesejahteraan mama. Apakan daya dirinya masih lagi beremosi sehingga menjejaskan tingkahnya kebelakangan ini walaupun dia cuba sedaya upaya untuk membuang perasaan buruk sangkanya. Lama dia dan Hidayah duduk di situ sebelum dia mengambil keputusan untuk menunaikan solat hajat. Sebaik dia selesai mengaminkan doa telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Jantungnya berdegup kencang melihat nombor telefon yang tertera di skrin telefon bimbitnya. “Assalamualaikum papa,”Sarah menjawab panggilan telefon itu. “Kak Long, papa minta Kak Long pulang hujung minggu ni. Ada perkara yang papa dan mama nak beritahu,”Sarah mendengar suara papanya sedikit sebak. Dia tidak bertanya banyak. Hanya bersetuju memenuhi permintaan papa.
 ********************************************************************
Suasana di ruang tamu di rumah besar jadi sunyi sepi tiba-tiba. Nyata perkhabaran yang datang dari mulut Latifah merenggut segala kecerian. Hanya Luqman saja yang begitu leka dengan permainannya, langsung tidak memahami apa yang sedang berlaku di dalam rumah itu. “Mama,”Latifah menoleh apabila mendengar Sarah memanggil namanya. Ada air mata yang sedang bergenang di tubir mata anak gadisnya itu. Perlahan-lahan dia memeluk Sarah. “Kak Long kena kuat. Kalau Kak Long macam ni, pada siapa lagi mama nak berpaut,”sedaya upaya Latifah cuba menahan air matanya. Sarah tidak dapat bersuara. Dia hanya mampu mengangguk tanda dia memahami hasrat mamanya. Air mata Latifah mengalir juga tatkala Faiz dan Amira turut memeluknya. Terasa hangat kasih sayang anak-anak kepada dirinya. Merekalah sumber kekuatan dirinya. Merekalah penyala semangat untuk dia terus berjuang. Azhar melihat dengan perasaan sebak sebelum turut menyertai anak-anaknya.

Setahun kemudian........
Ketika Azhar masuk ke dalam wad yang menempatkan isterinya dia melihat Latifah sudah pun terjaga dari tidur. Latifah cuba menghulurkan sebuah senyuman walaupun dia tahu senyumannya tidak semanis dulu. Azhar mengucup dahi isterinya tanda kasih sayang yang tidak pernah luput dari hatinya. “Anak-anak apa khabar bang?”Latifah bersuara lemah. “Baik. Baru semalam Kak Long dan Abang Ngah telefon bertanyakan khabar Ifa,”Azhar memberitahu sambil membelai tangan isterinya yang berselirat dengan wayar. “Ifa rindu semua bang. Teringin nak jumpa anak-anak. Agaknya bila mereka boleh balik ya,”Azhar merasakan denyutan jantungnya jadi tidak menentu mendengar pertanyaan Latifah yang sedemikian rupa. Selama ini tidak pernah pula Latifah bertanya begitu. “Nanti saya telefon mereka minta mereka balik hujung minggu ni. Luqman dan Amira boleh datang petang nanti ya,”Azhar memujuk. Azhar dapat melihat Latifah mengangguk dengan wajah sayu. “Entah sempat atau tidak saya jumpa Kak Long dan Abang Ngah bang,”sekali lagi kata-kata Latifah menyebabkan jantung Azhar berdegup kencang. “Insya Allah,”Azhar menyedapkan hatinya sendiri. Dia tidak mahu memikirkan tentang kemungkinan yang satu itu. “Abang keluar kejap ya,”Azhar meminta diri , mahu menenangkan dirinya. Latifah hanya membiarkan. Azhar duduk menunduk lantai. Hatinya berdebar-debar. Air matanya tiba-tiba mengalir. Lain benar perangai Latifah hari itu. Dia berpaling apabila merasakan ada seseorang menepuk bahunya. “Abah,”Azhar menegur ayah mertuanya. “Kenapa kamu kat sini?”lelaki tua berusia akhir 60-an itu bertanya. Azhar mengetap bibirnya. Dia terkedu apabila ayah mertuanya tiba-tiba memeluknya. Dadanya dilanda sebak semula. Langsung tiada rasa malu apabila air matanya laju membasahi pipinya.
Malam itu, keadaan di wad Latifah tiba-tiba menjadi cemas. Dia tiba-tiba tidak sedarkan diri. Denyutan jantungnya bergerak pantas. Kelam-kabut Azhar memanggil doktor yang bertugas. Terketar-ketar bibirnya berdoa. Jika benar ajal Latifah sudah sampai, biarlah hajatnya untuk berjumpa anak-anak tercapai. Azhar menunggu penuh debaran. Azhar melihat doktor yang memeriksa Latifah tadi tersenyum. Tetapi Azhar dapat mengesan ada sesuatu yang ingin diperkatakan di sebalik senyuman itu. “Saya harap Encik Azhar bersedia. Isteri Encik tenat benar. Rasanya eloklah dikhabarkan pada saudara mara,”perlahan saja Doktor lelaki awal 40-an itu memberitahu sebelum menepuk bahu Azhar lembut. Azhar menelan air liurnya pahit. Dia terduduk di situ. Hari yang dia takuti tiba juga. Hari dia bakal kehilangan Latifah.
Latifah lemah benar hari itu. Dia tahu masa dia untuk mengadap Al-Khaliq sudah tiba. Dadanya terasa berat. Satu-persatu wajah yang berada di sisi katilnya di perhatikan. Dia menghulurkan tangannya, memanggil Azhar supaya mendekatinya. Dia sudah tidak larat benar untuk bercakap. “Abang, Ifa minta maaf. Halalkan makan dan minum Ifa,”dicium tangan suaminya. Dia mahu pergi dengan redha suaminya. Syurga seorang isteri terletak di bawah telapak kaki suaminya. Azhar tidak mampu berkata apa-apa. Dia hanya mampu mencium dahi Latifah menandakan dia memaafkan isterinya. “Abang, mama dan mak abang,”Latifah meminta dipanggilkan ibu serta ibu mertuanya. Mengalir air mata kedua-dua wanita itu. Nyata ajal tidak mengenal usia. Yang tua tidak semestinya pergi dulu. “Mak halalkan semua perbuatan Ifa. Pergilah nak,”mama Latifah mencium pipi anaknya. Begitu juga ibu Azhar. Diikuti pula papa Latifah. Latifah meminta Luqman yang berada di dalam dukungan Sarah. Dipeluknya anak itu. “Mama minta maaf sebab tak sempat jaga Luqman. Tak sempat nak tengok Luqman membesar,”Latifah mengusap kepala anak bongsunya itu. “Mama halalkan susu mama untuk anak-anak,”Latifah berbisik di telinga Sarah. Air mata Sarah tidak dapat dibendung lagi. Seorang demi seorang mencium dahi Latifah. Latifah tersenyum. Mungkin senyuman itu senyuman terakhir untuk semua. Dia merasakan dadanya semakin berat. Telinganya bingit. “Azhar, ajar dia mengucap,”ayah mertuanya memberi arahan. Perlahan-lahan Latifah mengikut syahadah yang dilafazkan suaminya sebelum perlahan-lahan matanya tertutup rapat. Bunyi mesin yang disambungkan pada Latifah memberi tanda yang dia sudah tiada. Suasana jadi hening sebelum Azhar keluar memaklumkan kepada doktor. Dia sebenarnya tidak dapat menanggung kesedihan. Dia tidak mahu menangis di depan anak-anak. Akhirnya Latifah pergi juga meninggalkan dia.
Hari konvokesyen Sarah...
Sarah menghampiri keluarganya dalam kekalutan orang ramai yang sedang menghadiri majlis konvokesyen. Semua sedang menantinya dengan senyuman di bibir masing-masing. Dia memerhatikan wajah mereka satu persatu. Di antara wajah-wajah itu ada seseorang yang tiada di situ. Perlahan-lahan dia memejamkan matanya cuba membayangkan wajah kesayangannya yang sedang tersenyum melihat kejayaannya hari ini. Mama, Sarah dah berjaya mendapatkan ijazah yang mama inginkan. Anak mama akan jadi seorang doktor. Khayalannya terbang apabila dia terasa bahunya dipegang seseorang. Wajah papanya yang tenang muncul sebaik sahaja dia membuka mata. “Sarah semua orang tunggu nak tangkap gambar dengan Sarah,”Azhar memberitahu. “Papa, Sarah dah berjaya. Jika mama masih ada pasti dia bangga dengan kejayaan Sarah kan?”Sarah menyuarakan rasa hatinya. dia dapat melihat papanya tersenyum. “Hmm.. Betul tu,”Azhar mengiyakan kata-kata anak sulungnya itu.   Dia dapat mengesan ada air mata yang bakal mengalir keluar lantas dipeluknya Sarah. “Jangan menangis sayang,”Azhar memujuk walaupun sebenarnya dia turut dilanda sebak. “Walaupun mama dah tak ada, papa masih tetap di sisi Sarah, Insya Allah,”Azhar berusaha menenangkan anak gadis itu. Sarah mengangguk dalam pelukan papanya. Perlahan-lahan dia tenang sebelum kembali senyum. Azhar dapat melihat kelukaan di sebalik senyuman Sarah. Dia tahu betapa Sarah rindukan Latifah. Dia apatah lagi. “Sudahlah, semua dah tunggu jom,”Azhar mengesat air mata Sarah. Sarah mengangguk lantas memimpin tangan papanya menghampiri semua orang. “Mama, terima kasih untuk segalanya. Walaupun kita berpisah dua dunia, namun Sarah sentiasa merasakan mama di sisi Sarah,”Sarah berkata di dalam hati. Dan saat itu dalam kejauhan dia seolah melihat mamanya tersenyum penuh kemesraan seolah-olah meraikan kejayaannya bersama mereka.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Semua dari Diri

Semuanya dari diri…

Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud:

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

Saya bukanlah seorang ahli tafsir Al-Quran yang mahu menjelaskan tentang ayat Al-Quran ini kerana sesungguhnya saya bukanlah orang yang layak untuk berbuat demikian walhal ilmu yang ada di dada saya ini tidaklah setinggi mana. Saya tertarik dengan ayat ini kerana Allah s.w.t telah berjanji di dalam kitabnya yang suci iaitu Al-Quran bahawasanya setiap lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik manakala perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Bagaimana harus saya nyatakan pendapat saya tentang hal ini? Saya tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Apa yang boleh saya katakan di sini adalah jika kita mencari kesempurnaan untuk jodoh kita, kita haruslah juga sempurna. Sempurna yang saya katakan di sini amat subjektif. Sempurna boleh jadi cantik, berbudi bahasa, berpelajaran tinggi dan sebagainya. Bergantunglah kepada setiap individu itu. Namun seperti yang kita ketahui, manusia itu tidak semua sempurna. Pasti ada cacat dan celanya. Untuk mencari kesempurnaan itu kita memerlukan pedoman dan sokongan. Di alam perkahwinan sebenarnya satu cara untuk mencari kesempurnaan itu kerana lelaki dan wanita boleh saling melengkapi.

Berubah

Untuk mencari jodoh yang baik bagi saya ia bukanlah bermula daripada kita mencari kesempurnaan atau kebaikan orang lain. Semuanya bermula daripada kita. Kitalah yang perlu berubah untuk mencari kebaikan itu. Jika segalanya baik daripada pihak kita maka kebaikanlah yang akan datang kepada kita.

Namun begitu dalam usaha untuk berubah itu, pasti ada dugaan dan cabarannya. Kadang-kadang kita kalah kepada nafsu sendiri dan tunduk kepada godaan syaitan. Walaupun diri sendiri menyedari apa yang dilakukan itu salah, tetap dilakukan perkara yang sama berulang kali. Betapa perubahan itu menuntut pengorbanan. Jika tidak rela mengorbankan kesenangan dan keseronokan bagaimana perubahan boleh berlaku. Jika tiada keazaman mana mampu kita mencapai sebuah kejayaan.

Sukar

Kita selalu mendengar ungkapan yang mengalakkan kita untuk menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam. Tetapi sukar untuk mengukur sejauh mana hari yang kita tempuhi sebenarnya lebih baik dari sebelumnya. Sukar juga untuk kita mengekalkan momentum tingkah laku. Saya bukanlah melihat kepada orang lain tetapi dinilai dari diri saya sendiri.
Akhir kalam, kepada sesiapa yang terbaca entri kali ini sudilah berkongsi pendapat dan petua dengan saya bagaimana harus saya memulakan perubahan dalam hidup serta terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan ke arah perubahan itu. Semoga saya terus diberi kekuatan untuk berubah. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Saya memohon maaf andai ada kekhilafan pada entri ini.

Assalamualaikum..


p/s: saya juga bukan insan yang sempurna lagi baik.. masih mencari kesempurnaan dalam diri..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS