RSS

Semua dari Diri

Semuanya dari diri…

Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 26 yang bermaksud:

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

Saya bukanlah seorang ahli tafsir Al-Quran yang mahu menjelaskan tentang ayat Al-Quran ini kerana sesungguhnya saya bukanlah orang yang layak untuk berbuat demikian walhal ilmu yang ada di dada saya ini tidaklah setinggi mana. Saya tertarik dengan ayat ini kerana Allah s.w.t telah berjanji di dalam kitabnya yang suci iaitu Al-Quran bahawasanya setiap lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik manakala perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Bagaimana harus saya nyatakan pendapat saya tentang hal ini? Saya tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Apa yang boleh saya katakan di sini adalah jika kita mencari kesempurnaan untuk jodoh kita, kita haruslah juga sempurna. Sempurna yang saya katakan di sini amat subjektif. Sempurna boleh jadi cantik, berbudi bahasa, berpelajaran tinggi dan sebagainya. Bergantunglah kepada setiap individu itu. Namun seperti yang kita ketahui, manusia itu tidak semua sempurna. Pasti ada cacat dan celanya. Untuk mencari kesempurnaan itu kita memerlukan pedoman dan sokongan. Di alam perkahwinan sebenarnya satu cara untuk mencari kesempurnaan itu kerana lelaki dan wanita boleh saling melengkapi.

Berubah

Untuk mencari jodoh yang baik bagi saya ia bukanlah bermula daripada kita mencari kesempurnaan atau kebaikan orang lain. Semuanya bermula daripada kita. Kitalah yang perlu berubah untuk mencari kebaikan itu. Jika segalanya baik daripada pihak kita maka kebaikanlah yang akan datang kepada kita.

Namun begitu dalam usaha untuk berubah itu, pasti ada dugaan dan cabarannya. Kadang-kadang kita kalah kepada nafsu sendiri dan tunduk kepada godaan syaitan. Walaupun diri sendiri menyedari apa yang dilakukan itu salah, tetap dilakukan perkara yang sama berulang kali. Betapa perubahan itu menuntut pengorbanan. Jika tidak rela mengorbankan kesenangan dan keseronokan bagaimana perubahan boleh berlaku. Jika tiada keazaman mana mampu kita mencapai sebuah kejayaan.

Sukar

Kita selalu mendengar ungkapan yang mengalakkan kita untuk menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam. Tetapi sukar untuk mengukur sejauh mana hari yang kita tempuhi sebenarnya lebih baik dari sebelumnya. Sukar juga untuk kita mengekalkan momentum tingkah laku. Saya bukanlah melihat kepada orang lain tetapi dinilai dari diri saya sendiri.
Akhir kalam, kepada sesiapa yang terbaca entri kali ini sudilah berkongsi pendapat dan petua dengan saya bagaimana harus saya memulakan perubahan dalam hidup serta terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan ke arah perubahan itu. Semoga saya terus diberi kekuatan untuk berubah. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Saya memohon maaf andai ada kekhilafan pada entri ini.

Assalamualaikum..


p/s: saya juga bukan insan yang sempurna lagi baik.. masih mencari kesempurnaan dalam diri..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment