RSS

Kisah Kucing Peliharaan Tak Rasmi

Kehadirannya dalam hidup kami tidak pernah diduga. Ketika dia sampai di rumah kami, keadaannya begitu menyayat hati. Nampak seperti sudah beberapa hari tidak makan. Kurus dan begitu lemah. Kebiasaannya dalam usianya yang masih begitu muda, dia pasti masih lagi di bawah jagaan ibunya. Tetapi ke mana perginya ibu si kecil ini. Mana mungkin ibunya akan meninggalkan dia tanpa pembelaan begini? Mungkin ada orang yang sengaja memisahkan mereka hingga menyebabkan dia terpaksa berdikari dalam usia yang masih muda.

Kerana rasa belas kasihan, kami mengambilnya sebagai haiwan peliharaan kami. Dia diberi minum susu dan diberi makan nasi. Begitu lahap dia menikmatinya. Mungkin telahan kami benar yang dia sememangnya sudah beberapa hari tidak makan. Mungkin sudah takdirnya yang dia akan menemui rumah kami dan kami menjadi penyelamatnya. Mujurlah. Jika tidak pasti dia sudah mati di jalanan.

Masa berlalu dengan pantas. Dia sudah semakin besar. Dia begitu bijak dan aktif. Jika lapar pasti tenampak kelibatnya di hadapan tingkap dapur mengiau memanggil kami, memberitahu yang sudah tiba masanya dia diberi makan. Pantang dipanggil dia pasti pantas berlari menuju ke tempat dia selalu di beri makan. Seronok melihatnya semakin membesar dan comel. Dia menjadi buah hati kami semua sekarang. Pengubat hati di kala sunyi.

Kucing kami unik. Dia tidak dibenarkan tinggal di dalam rumah. Bimbang kotor pulak rumah tu. Dia kan kucing jantan. Lagipun ada yang tidak berapa gemar kucing itu masuk ke dalam rumah. Tetapi kami tidak membiarkan dia tidur di tempat sembarangan. Di rumah kami ada sebuah tempat yang dulunya dijadikan kebuk padi (tempat khas menyimpan padi selepas dituai). Dibawah kebuk padi itu ada reban ayam. Dia tidur di situ pada mulanya bersama-sama ayam-ayam. Tetapi setelah membesar dia tinggal di bahagian atasnya yang lebih selesa. Bijak betul kucing ni.

 Pasti ada yang tertanya-tanya apa nama yang kami berikan padanya. Saya tak pasti nak beritahu atau tak. Bagi saya nama kucing kami ni agak kelakar. Tapi apa salahnya berkongsi kan? Adik saya memanggilnya ‘Kuyam’. Asal-usul namanya mestilah sebab kucing yang tinggal dalam reban ayam. Dia pun baik sangat dengan ayam-ayam tu semua. Selalu bermain dan berebut makanan dengan mereka.

Nak tengok Kuyam tak? Ini ada gambarnya yang comel-comel. Susah betul nak tangkap gambar ni. Dia malas nak bergaya. Asyik nak bergesel kat kaki aje. Sudahlah dia pantang nampak benda bergerak. Semua nak diterkamnya. Tapi itulah kucing yang kami sayang.





  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment