RSS

Antara Mi Bandung dan Bola Sepak

Assalamualaikum… Apa khabar semua? Saya mendoakan semua dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah sentiasa.. Pejam celik, pejam celik kita rupanya dah hampir sampai ke penghujung tahun 2010. Tanpa kita sedari masa begitu pantas berlari hingga kita lelah menghambatnya sedangkan masa itu sendiri tidak pernah berpaling untuk menunggu kita walau sesaat pun. Tahun 2010 terus berlalu meninggalkan kita dengan seribu macam kenangan pahit dan manis terakam di dalam memori kita. Hanya setakat ini pertemuan kita dengan tahun 2010 ini kerana ia tidak akan berulang kali. Semoga tahun 2010 banyak memberi kita pengajaran yang boleh kita bawa untuk menghadapi hari-hari, minggu-minggu, bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang.

All right, rasanya cukuplah melayan saya melalut. Sekarang mari kita bercerita tentang tajuk entri saya kali ini pulak. Hmm.. Mi bandung dan bola sepak? Apa kaitannya ya. Satu makanan, satu lagi sejenis sukan.. Tak sama dan tak ada kaitan pun kan? Hehe.. Apa pun mari baca cerita saya ni..

Kisah satu: Mi bandung

Saya sebenarnya sudah sekian lama memasang hajat untuk memasak mi bandung sendiri kerana saya gemar makan mi bandung. Kerap kali saya memesan mi bandung jika keluar di luar bersama kawan-kawan. Disebabkan keinginan yang membuak-buak dan kesukaran untuk keluar makan malam di luar saya tiada alternative lain selain memasaknya sendiri. Saya mula mencari resipi menggunakan internet. Saya akhirnya berjaya mengumpul beberapa resipi mi bandung. Walaupun begitu saya tidak dapat mencari masa yang sesuai untuk memasaknya hinggalah semalam. (waktu post ini ditulis).

Maka bermulalah eksperimen saya untuk memasak mi bandung. Berpandukan resipi-resipi yang saya perolehi saya memasak dengan penuh keyakinan. Bawang dikopek, periuk dibasuh, bahan-bahan dibersihkan dan saya akhirnya mula memasak mi bandung. Semua bahan-bahan tumis dimasukkan. Nampak normal pada awalnya. Kemudian saya mula cuak apabila warna air ditambah ke dalam periuk selepas bahan tumis garing menjadi warna merah. Hati jadi bimbang jika kuah mi bandung pedas. Jika pedas maka ada orang tak boleh makan. Tetapi segera saya menenangkan hati sendiri. Kerja-kerja memotong sayur diteruskan sementara menunggu air menggelegak.

Namun perasaan cuak tu datang kembali apabila adik saya menegur air yang terlalu banyak tidak berpadanan dengan rempah mi bandung ADABI yang hanya dua peket. Saya mula jadi tidak senang. Bagaimana sekarang? Dah tak boleh tarik balik lagi. Kena teruskan juga. Saya dah bertekad jika tak jadi terpaksalah saya telan juga. Maklum sahajalah kalau masak sendiri yang tak sedap pun sedap. Kalau kita yang tak puji diri sendiri siapa lagi yang nak puji kan? Hehe.. lagipun tak elok membazir kan? Dan apa yang saya bayangkan memang benar-benar berlaku. Rasa kuah mi bandung ni tidak seperti yang dijangkakan. Puas juga saya dan adik melakukan pengubahsuaian untuk mengurangkan rasa tidak sedap itu. Kami berjaya mengubah situasi namun hasilnya masih lagi tidak seberapa. Apa-apa pun walau tak berapa nak sedap kami bedal juga. Haha.. Saya bercadang nak letak gambar, tetapi disebabkan sebab-sebab yang telah disebutkan di atas, saya batalkan rancangan itu.. Lain kali nak cuba lagi.. harap-harap yang masa akan datang tu nanti menjadilah..

Kisah 2: Bola Sepak

Malaysia 3, Indonesia 0. Itulah keputusan perlawanan akhir pertama bola sepak piala Suzuki di Stadium bukit Jalil. Satu keputusan yang cemerlang kerana sebelum ini Malaysia pernah dikalahkan oleh Indonesia dengan 1 berbalas lima gol ketika perlawanan di peringkat kumpulan. Satu peningkatan yang cemerlang ditunjukkan oleh anak buah K.Rajagopal. Dengan 3 gol Malaysia bakal beraksi dalam suasana yang tidak begitu tertekan. Sedangkan Indonesia perlu berhempas pulas menjaringkan gol. Saya harap pemain-pemain kita dapat mengekalkan momentum mereka.

Saya menonton perlawanan ini kat tv. Seronok menonton perlawanan tu. Begitu menghiburkan. Kedua-dua pemain Indonesia dan Malaysia bermain dengan baik. Saya rasa pujian harus diberikan kepada Nor Shahrul Idlan Talaha yang begitu bijak mengawal dan menggelecek bola. Dia mencetuskan dua peluang gol dengan memberi hantaran yang baik kepada Safee Sali untuk gol pertama dan Ashari Shamsudin untuk gol kedua. Khairul Fahmi pun harus diberi pujian kerana cukup cemerlang mempertahankan pintu gol daripada dibolosi. Apa pun tahniah buat semua pemain kerana berjaya memainkan peranan masing-masing.  

Namun ada juga kecacatan di sebalik kejayaan tu. Insiden pancaran laser ke arah penjaga gol Indonesia telah menyebabkan permainan di padang terpaksa di hentikan. Saya rasa malu dengan insiden ni. Tak patut berlaku. Pemain-pemain di padang bermain dengan penuh semangat kesukanan. Tiba-tiba penonton kat luar pulak yang masuk campur sekali, apa hal ni? Tak patut, tak patut. Penonton ni dah lupa agaknya yang nanti Malaysia akan bertandang ke Indonesia pulak. Macam mana kalau penonton kat sana buat macam tu kat pemain kita. Mestilah kita marah kan.. Janganlah buat perkara yang boleh mencetukan pergaduhan tu lagi. Jagalah adat dan susila kita.. sama-sama kita doakan kejayaan Malaysia kat Indonesia nanti…

 Sumber: KOSMO Online

Jadi begitulah kisahnya. Satu kisah yang berjaya dan satu lagi kisah gagal.. kisah lumrah dalam kehidupan kita. Kadang-kadang kita berjaya, kadang-kadang kita gagal. Tidak semua perkara yang kita mahu berlaku akan berlaku. Seringkali kita bertemu kegagalan sebelum bertemu dengan kejayaan. Yang penting jangan putus asa dan mencuba.. cukuplah sekadar ini.. nantikan post seterusnya.. Bye..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment