RSS

update blog, cari kerja dan bola sepak

Assalamualaikum...
Jika diibaratkan laman blog ini sekeping tanah terbiar rasanya dah jadi hutan pun blog ni. dah lama sangat tak jenguk. bukannya saya tak online. online keraplah jugak. seminggu sekali. tetapi saya betul-betul tiada mood untuk menulis di blog apatah lagi menyambung cerita. saya minta maaf kepada semua yang membaca blog ini.

fikiran saya lebih terarah untuk mencari kerja. tiada perkara lain yang terlintas di fikiran saya ketika online. cuma satu. mencari pekerjaan di alam maya. aduh. susah kan hidup tak ada kerja ni. bosan tak payah cakaplah. tetapi saya sabarkan hati dengan menjadi suri rumah sepenuh masa kat rumah. kemas rumah, sapu lantai, cuci pinggan mangkuk. semua tu dah jadi rutin harian saya di rumah. sekurang-kurangnya dapat jugak melengkapkan diri dengan ilmu rumah tangga. bak kata orang, orang perempuan ni belajar tinggi mana pun akhirnya sampai jugak ke ceruk dapur. hehe..

sepanjang duduk rumah jugak saya berkesempatan ambil tahu perkembangan piala dunia 2010 di afrika selatan. tapi saya tak adalah fanatik sangat sampai berjaga pukul 2.00 pagi semata-mata nak tengok siaran langsung. malaslah saya. saya tengok siaran ulangan aje. biarpun keputusan dah pun diketahui suspennya tetap ada. best tengok pemain bola sepak profesional ni gelecek bola. saya memang tak pandai main sukan, cuma suka tengok aje. cukuplah. hehe.. sempat saya mengenali beberapa bintang contohnya wesley sneidjer (tak tahu betul ke salah eja namanya) dari belanda, thomas mueller bintang jerman yang muda dan ramai lagilah. yang paling saya kagum tentulah park ji sung pemain korea selatan tu. walaupun korea selatan tak menang, pemain-pemain mereka menunjukkan persembahan yang membanggakan.

saya rasa cukuplah dulu setakat ini. saya nak online lagi. nak cari kerja lagi. entah bila saya akan jenguk blog ini lagi. sehingga masa itu saya doakan semua pembaca blog ini sentiasa ceria dan berada di dalam rahmat Allah Yang Maha Esa.

Ja mata ne!!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Rezeki, jodoh ajal dan maut

Baru seminggu saya pulang bercuti Bercuti? Sebenarnya tidak. Saya rasa saya dah boleh dikategorikan sebagai penganggur kehormat dah. Huhu… risau kat dalam hati ni tak payah nak cakaplah. Takut jugak kalau tak dapat kerja. Maklumlah persaingan sengit. Perancangan saya, saya nak bekerja sementara dulu di mana-mana. Nak cari pengalaman dulu. Lepas tu bila saya dah dapat transkrip ijazah saya, saya nak memohon SPA. (maknanya kena tunggu konvokesyen dulu yang mungkin berlangsung akhir tahun). Jadi buat sementara waktu saya kena isi waktu lapang saya dengan sesuatu yang berfaedah. Buat masa ni memang saya tak buat apa lagi. Tengah hantar permohonan dan tunggu panggilan (masih dalam proses). Waktu ni jugak saya ambil kesempatan untuk menulis. Hihi,,,

Itu baru pasal kerja. Ini pasal hal lain pulak. Walaupun baru aje seminggu kat rumah, datang pulang khabar tak best kat telinga. Aduh!! Ada ke patut orang kampong dah mula Tanya-tanya bila nak kahwin. Aduhai.. pening saya. Saya pun tak tahu apa masalahnya. Takkanlah lepas abis belajar kahwin terus. Ingat senang ke kahwin ni? Benda tu pakai duit. Hutang PTPTN berlambak. Takkan nak kahwin kot. Tak sempat lagi nak kumpul harta sendiri orang dah Tanya pasal bab tu. Hangin jugak satu badan. Agaknya kahwin ni macam beli ikan kat pasar kot? Entahlah. Masyarakat kita ni tak habis lagi dengan persepsi lama. Kahwin kena cepat-cepat. Nak-nak orang perempuan. Kalau dah tua tak laku pulak. Ye ke? Jawab sendiri ya. Yang sampai jodoh cepat tu alhamdulillah. Yang belum ada lagi pakwe, boyfriend, tunang dan seangkatan dengannya tu sabarlah ya (saya termasuk dalam golongan ni). Doa banyak2. Insya Allah bila sampai waktunya sampailah jodoh kita.

Hal pasal rezeki, jodoh ajal dan maut ni semua dah tertulis untuk kita semua seluruh umat manusia sejak dari azali. Rezeki dan jodoh tak datang bergolek. Kena usaha mencari dan berdoa. Pernah terbaca blog seorang sahabat yang menulis pasal rezeki di mana dia menyatakan bahawa rezeki itu sudah tersedia di depan mata kita. Yang penting usaha kita untuk mencarinya. Perihal jodoh jugak telah Allah sebutkan di dalam Al –Quran yang mana setiap ciptaan-NYA diciptakan berpasangan-pasangan. So, kita tak usahlah bimbang walaupun sekarang ni masih solo. Persoalan ajal juga begitu kerana telah tertulis setiap yang hidup itu pasti akan mati. Yang penting soal diri sendiri sudah sediakah kita untuk menghadapi kematian. Cukupkah amal ibadat kita selama ini? Bersediakah kita nak menghadapi peperiksaan di akhirat kelak. Tepuk dada Tanya iman?

Cukuplah setakat ini dulu.. Kalau ada masa saya menulis lagi… TQ

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berakit-rakit ke hulu....

Petang ketika kisah ni ditulis, Seksyen 7, Shah Alam baru saja selepas hujan. Waktu hujan macam ini, saya tiba-tiba teringat pada emak di kampong. Ilham tiba-tiba datang untuk menulis tentang pengalaman hidup emak.

Emak kerap bercerita tentang pengalamannya ketika dia belajar dahulu. Susahnya emak terpaksa menaiki sampan ke sekolah setiap pagi. Selepas subuh, emak sudah bertolak ke pengkalan dengan selipar jepun sebelum nanti ditukar dengan kasut sekolah apabila sampai di sekolah nanti. Kata emak ramai kawan-kawannya yang putus asa di tengah jalan disebabkan tidak tahan dengan cikgu yang garang dan mata pelajaran yang susah difahami. Tetapi emak tetap tabah. Nenek dan datuk pun kuat menyokong dengan pesanan, dengan ilmu, kita boleh mengubah hidup kita. Emak akhirnya berjaya menamatkan sekolah rendah dengan jayanya. Kata emak lagi, cikgu garang kerana nak mengajar bukannya mendera. Jika tidak bagaimana emak boleh berjaya jika bukan kerana berkat ajaran guru-gurunya.

Jika dibandingkan dengan sekarang, cikgu lebih takutkan anak murid. Maklumlah sekarang kalau cikgu salah pukul, emak dan ayah boleh saman. Nak buat macam mana? . Pengalaman sendiri, walaupun tak sesusah emak (sebab sekolah kat sebelah rumah aje. Jalan kaki dah sampai. Hehe), agak ada persamaan dengan emak. Cikgu saya garang, terutamanya cikgu matematik semasa tahun 6 (Cikgu Azha Zakaria, yang selalu dalam ingatan saya). Bila difikirkan dulu, jika didenda atau dirotan di sekolah, saya tidak berani pun buka mulut nak beritahu emak sebab nanti mak atau nenek mesti tambah lagi denda tu kat rumah. Disebabkan tak nak kena lagi, baik saya diam. Insaf saja kesalahan sendiri.

Ok, sekarang sambung cerita emak saya semula.

Emak kemudian sambung pengajian di sekolah menengah (Sek. Men. Keb. Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang ; kalau tak silap saya), dari tingkatan 1 sampai tingkatan 5. nenek dan datuk bersusah payah untuk emak. Setiap minggu bawakan buah tangan dari kampong. Kalau boleh nenek dan datuk nak jamu satu asrama, banyak nenek dan datuk bawa. Yang paling kerap dibawa mestilah buah-buah kampong. Walaupun pengangkutan nak ke sekolah emak hanyalah sebuah sampan, dan waktu tu, datuk hanya penoreh getah, datuk dan nenek tak kisah. Asalkan dapat tengok anak senang. Itulah kasih sayang emak dan ayah pada anak. Emak pun buat perkara yang sama pada saya dan adik-adik. Setiap kali ada peluang, emak mesti datang melawat (waktu sekolah menengah) walaupun waktu itu mak baru saja membiasakan diri memandu kereta jauh dari pekan Kuala Berang.

Sambung lagi cerita emak. Emak layak untuk menyambung masuk ke tingkatan 6, tapi nenek tak benarkan sebab waktu itu pelajar tingkatan 6 terpaksa tinggal di rumah sewa di kuala terengganu. Emak akur. Jadi emak memohon nak sambung pelajaran ke maktab perguruan dan jururawat berbekalkan keputusan peperiksaan SPM mak. Alhamdulillah ada rezeki nak menjadi guru. Mak diterima masuk ke maktab perguruan. Pada waktu sama, arwah ayah masuk meminang. Sekali lagi mak akur dengan keputusan nenek yang menyuruh emak menerima pinangan arwah ayah. Mujurlah arwah ayah memahami dan menyokong niat emak untuk belajar lagi. Arwah ayah banyak berkorban untuk emak. Dahulu ketika masih tiada kereta, arwah ayah meminta bantuan kawannya untuk menghantar dan menjemput emak sebulan sekali. Tetapi selepas arwah ayah mampu membeli kereta, setiap minggu emak dijemput pulang. Tambahan lagi, kami anak-anaknya masih kecil ketika itu. Rasa kagum dengan emak kerana mampu memegang tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pelajar pada waktu yang sama. Walaupun demikian mak selalu berpesan, kalau nak kahwin pun biar habis belajar dulu. Hehe…

Rasanya sampai sini dulu cerita pasal emak. Kesimpulannya dari cerita ini, kita kena menuntut ilmu walaupun banyak dugaan dan rintangan yang kita kena tempuh. Kata orang tua-tua, berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Contohnya dah ada depan mata saya. Kalau emak tak merasa susah nak belajar dulu, mustahil mak boleh jadi guru sekarang dan menyara kami anak beranak. So, saya harap kisah emak saya ni boleh dijadikan pengajaran. Maaf kalau terkasar bahasa, tersilap bicara..

5.22 pm, 06 Mei 2010, Rabu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

dah lama tak update blog

salam.. saat saya tulis post ni, niat nak menyambung cerita seandainya masih ada cinta.. bila check thumb drive saya, saya terambik bahagian yang salah.. minta maaf kepada pembaca (kalau ada..huhu) yang tertunggu-tunggu. sabar ya... insya Allah dalam masa terdekat citer itu akan disambung..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

pantasnya masa berlalu

1994-1999 (SKBK)
Zaman kanak-kanak Ribena. Seronoknya menjadi kanak-kanak. Tidak perlu berfikir tentang banyak masalah. Walaubagaimanapun perjalanan hidup saya tidak seindah orang lain apabila kehilangan ayah di usia yang muda. Namun kami sekeluarga hadapinya dengan tabah. Alhamdullilah. Saya masih beruntung ada emak, datuk dan nenek yang menyayangi kami adik beradik. Tahun 1996 saya menduduki ujian penilaian tahap satu. Tetapi saya tidak berjaya melompat kelas. Tahun 1999, saya menduduki peperiksaan UPSR pula. Berkat doa dan usaha saya berjaya mendapat keputusan cemerlang. Selepas itu bermula langkah saya ke alam sekolah menengah pula.


2000-2002 (SMAASZA)
Ketika mula-mula memasuki asrama hampir setiap hari saya menangis di minggu pertama. Mujurlah pihak sekolah membenarkan pelajar tingkatan satu pulang minggu pertama itu. Bolehlah kami mengubati rindu sementara menunggu masa untuk kami menyesuaikan diri. Rasa seronok pula disayangi kakak-kakak disini. Pengalaman sembahyang berjemaah bersama-sama, makan di dewan makan bersama-sama begitu menyeronokkan. Masuk tingkatan dua, perasan diri tu dah besar sangat. Sudah berani melanggar peraturan asrama. Antara peraturan yang selalu dilanggar : Ponteng waktu ulangkaji waktu malam, sembahyang di bilik, membawa novel dan ‘walkman’. Rasa satu cabaran pula melanggar peraturan tu. Seronok main sorok-sorok dengan kakak AJK. Otak pun ligat berfikir di mana nak sorok barang terlarang ni. Saya juga tak lupa nak meneruskan budaya mengambil adik angkat. Bukan apa nak mengeratkan silaturahim dengan pelajar junior. Tingkatan tiga, tahun peperiksaan. Dah tak aktif sangat nak langgar peraturan ni. Insaf. Maklumlah nak periksa. Walau apa pun ‘walkman’ dan novel masih lagi jadi santapan jiwa. PMR saya tempuhi dengan baik dan alhamdulillah keputusan saya meransangkan. Di bumi SMAASZA ini saya belajar banyak perkara. Lebih-lebih lagi tentang hal agama. Dimarahi perkara biasa. Kalau tak dimarahi kita takkan tahu kesilapan kita bukan. Terima kasih kepada semua guru-guru, warden-warden, kakak-kakak yang banyak membimbing saya dan kawan-kawan.

2003-2004 (SMKAKA)
Mencari ilmu di tempat baru bukanlah mudah. Lain tempat lain adatnya. Lain orang lain caranya. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Saya mengambil masa juga untuk menyesuaikan diri di sini. Mujurlah kawan-kawan ramai di sini yang memberi sokongan. Terima kasih semua. Ramai kawan-kawan baru yang saya kenali di sini. Walaupun berbeza, tetapi masih ada persamaan dengan tempat lama. Walaupun di tempat jauh, kawan-kawan lama tidak pernah saya lupakan. SPM saya hadapi dengan tenang. Berkat doa dan usaha, alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

2005-2008 (Diploma- UiTM Kampus Dungun)
Siapa sangka saya akan melanjutkan pelajaran di bumi Terengganu juga. Syukur. Tidaklah jauh sangat dari rumah. Tidak perlu berebut tiket untuk pulang ke kampung. Saya bertemu kawan-kawan baru. Kalau dulu berkawan dengan orang Terengganu sahaja, kini kawan-kawan datang dari negeri yang berbeza. Ada orang Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan ramai lagilah. Macam-macam ragamnya. Seronok di sini. Tiga tahun di sini saya akhirnya berjaya menggenggam segulung diploma.

                      gambar sewaktu konvo diploma dengan mak

2008-2010 (Ijazah-UiTM Shah Alam).
Kali pertama belajar jauh dari rumah. Waktu ini barulah memahami keperitan kawan-kawan berebut tiket untuk pulang ke kampong pada hari raya. Di sini saya juga dapat kawan-kawan baru. Saya juga belajar tinggal di rumah sewa. Seronok. Namun kami semua berseronok ada batasnya. Pengajian saya pun dah hampir tamat. Saya bakal masuk ke dalam satu lagi fasa baru. Alam pekerjaan. Masih lagi mencari.


Begitulah kisahnya untuk entri kali ini. Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad. Tamat belajar di sini tidak semestinya tamat tugas saya menuntut ilmu. Selagi masih ada nafas, selagi itulah kita tidak boleh berhenti ilmu. Terima kasih kepada guru-guru sekolah rendah, sekolah menengah dan pensyarah-pensyarah semua. Anda semua dalam ingatan saya. Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hari Rabu yang dah berlalu

Hari sebelum saya menulis entri ini saya telah mengalami satu peristiwa yang sudah agak lama tidak saya lihat dengan mata dan kepala saya sendiri.

Begini kisahnya…..

Jam sudah pun mencecah hampir pukul 5.30 petang. Kelas yang sepatutnya ditamatkan pada pukul 5 petang dilanjutkan sehingga jam 6 petang untuk menggantikan kelas yang tertinggal sebelum ini. Dalam ketika saya dan kawan-kawan begitu asyik menyalin nota yang sedang dibaca oleh pensyarah tiba-tiba salah seorang dari kami menangis dan meraung. Suasana jadi kecoh seketika dengan keadaan itu. Saya tenang sahaja sedangkan ada kawan-kawan lain yang menangis ketakutan dan kasihan pada sahabat kami ini. Disebabkan kejadian itu, pensyarah memutuskan untuk menamatkan kelas di situ sahaja. Saya tidak menunggu lama, terus sahaja meninggalkan kelas sementara ada kawan-kawan yang lain menunggu uztaz sampai untuk melihat keadaan sahabat kami itu.

Malamnya selepas maghrib, saya dan rakan serumah yang lain hadir di rumah sahabat kami itu untuk membaca Surah Yasin mohon agar gangguan itu hilang. Pada mulanya tiada ada apa-apa yang berlaku. Tetapi kemudiannya di pertengahan surah Yasin dia bangun dan mula merayu. Suasana jadi lebih seram apabila dia mula marah-marah. Mujurlah kami semua tenang sahaja. Dapat juga kami sudahi bacaan Yasin itu sebelum dia dibawa ke rumah uztaz untuk rawatan lanjut.

Itu antara pengalaman sendiri menghadapi perkara sebegitu. Dahulu di sekolah saya banyak mendengar kisah-kisah ini dari kakak senior. Seram sampai nak pergi ke tandas pun takut. Ada satu peristiwa yang saya alami sendiri ketika di tingkatan tiga. Tetapi mujurlah ketika itu bukan saya sahaja yang mengalami perkara itu. Rakan satu dorm yang lain turut sama mendengarnya. Pada tengah malam ketika semua orang sedang nyenyak tidur kami semua berjaga disebabkan ada bunyi ada ‘orang’ sedang berparti di tingkat atas. Telinga saya dapat menangkap bunyi orang ketawa dan menarik kerusi. Seram disebabkan bilik sebelah juga turut terjaga. Malam itu kami membaca yasin dan tidur beramai-ramai di atas lantai. Itu antara pengalaman yang pernah saya alami. Tinggal di asrama memang tak pernah sunyi dari cerita sebegitu.

Walau apa pun, kita percaya makhluk itu wujud dan ada di kalangan kita. Yang paling penting iman dan semangat yang kuat. Insya Allah kita takkan terpedaya dengan tipu muslihat mereka. Sekian saja untuk entri kali ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Baru Ku Sedari...

“Pihak kami sedang berusaha sedaya-upaya untuk mencari Cik Anisah. Bawa bertenang ya Encik, Puan,”Inspektor Zarul cuba menenangkan kedua ibu bapa Anisah. Pihaknya sedang menyiasat kes kehilangan Anisah yang berlaku hampir tiga hari yang lalu. Daniel yang turut berada di banglo kepunyaan Encik Azman hanya mendengar sahaja perbualan anggota polis itu dengan kedua-dua bakal mertuanya itu. Dia kelihatan sugul. Apa tidaknya Anisah hilang ketika hari perkahwinan mereka yang bakal menjelang seminggu lagi. khayalannya pecah apabila Inspektor Zarul menepuk bahunya. “Kami minta diri dulu. Banyakkan berdoa,”Inspektor Zarul bersalaman dengan Daniel. Daniel hanya mengangguk.
“Daniel, kamu duduklah dulu. Pakcik nak hantar makcik kamu berehat di bilik ya,”Encik Azman memberitahu sebelum dia berjalan beriringan dengan isterinya menuju ke bilik tidur mereka yang terletak di tingkat atas. Daniel hanya duduk di situ memerhati. “Pak enggak mahu minum?”teguran Tanti menyebabkan Daniel kembali menumpukan perhatiannya kepada ruang tamu. “Letak dulu di situ Tanti. Sekejap lagi saya minum,”Daniel menyambut pelawaan Tanti. “Sabarlah pak. Kita mesti ketemu sama non Anis,”Tanti sempat memberi nasihat sebelum berlalu ke dapur. Daniel termenung panjang. Musibah apakah yang menimpanya kali ini. Saat dia dan Anisah gembira menanti hari bahagia mereka, Anisah hilang tanpa khabar berita. Dia teringat pertemuan terakhirnya dengan Anisah.

Anisah masih tidak mahu berbicara biarpun sudah hampir 10 minit mereka berada di situ. Anisah nampaknya lebih suka menikmati pemandangan tasik yang begitu indah itu. Daniel merapati Anisah. “Anis nak cakap apa dengan saya sampai sejauh ini Anis bawa saya?”Daniel mula hilang kesabaran. Jika Anisah begitu berat hati mahu memulakan bicara, biar dia yang bersuara. Anisah masih seperti tadi. Masih asyik memandang dada tasik. “Anis,”Daniel memanggil lembut. Kali ini Daniel menarik bahu Anisah agar mereka saling berhadapan. Dia merenung mata bundar milik Anisah. Akhirnya Anisah mengalah. Dia menarik nafas panjang. “Anis nak jumpa Zakri buat kali terakhir,”kata-kata Anisah terus saja menghilangkan persoalan yang sejak tadi berlegar-legar di kepala Daniel. “Dia mahu jumpa Anis buat kali terakhir sebelum Anis jadi isteri Daniel,”Anisah meneruskan kata-katanya apabila Daniel hanya diam. “Apa pendapat Daniel?”Anisah bertanya mahu tahu apa reaksi Daniel. dia dapat melihat rupa Daniel yang seperti agak keberatan.
“Dia dah janji takkan ganggu hidup kita lagi lepas ni. Anis beritahu Daniel supaya Daniel tak sangka yang bukan-bukan pada Anis,”melihatkan Daniel yang seperti tidak berminat untuk berbincang topik itu, Anis terus saja meneruskan kata-katanya. “Daniel tak tahu Anis,”Daniel rasa tidak sedap hati mendengar rancangan pertemuan semula antara Anisah dan Zakri. “Awak jangan bimbang. Anis hanya nak ingatkan dia yang kami memang dah tak ada apa-apa,”Anis cuba meyakinkan tunangnya. Dia hanya mahu membuat perhitungan terakhir dengan Zakri. Kisah mereka sudah tamat. Dia merenung Daniel dengan pandangan sayu. “Hati-hati, ya. Ingat awak tu dah nak kahwin,” Daniel membuat keputusan. Anisah memegang tangan Daniel. “Anis mahu Daniel tahu yang dalam hati Anis hanya ada Daniel seorang. Zakri hanya kisah lama. Daniel pula hidup Anis kini. Cuma yang Anis pinta hanyalah kepercayaan Daniel,”lembut dan perlahan-lahan kata itu meresap ke dalam hati Daniel. Dia mengangguk sambil membalas genggaman tangan Anisah.

Inspektor Zarul mengurut dahinya mengingati semula cerita Daniel mengenai pertemuan terakhirnya dengan Anisah. Dia tahu bekas kekasih Anisah, Zakri berhubungkait dengan kehilangan Anisah. “Menurut cerita Anisah, Zakri panas baran dan kuat cemburu orangnya. Ketika cemburunya datang, Anisah dipukulnya. Anisah cuba bertahan. Tapi makin lama, cemburunya semakin buruk. Mereka putus walaupun Zakri tidak setuju dengan keputusan Anisah,”Inspektor Zarul teringat lagi perbualannya dengan Daniel hari itu. “Ibubapanya tahu pasal hal ni?”spontan pertanyaan itu keluar selepas mendengar kenyataan Daniel. “Tahu. Mereka berpindah ke sini kerana tidak mahu Zakri ganggu Anis,”otak Inspektor Zarul terusan mengeluarkan data yang dikutipnya. “Kenapa awak tahu?”hairan juga Inspektor Zarul apabila Daniel mengetahui cerita-cerita begitu dari Anisah. “Anisah terus-terang orangnya. Dia bercerita apabila hubungan kami jadi semakin serius dan selepas Zakri dapat menjejaki dia di sini. Katanya rahsia seperti itu akan lukakan hati saya jika didengar dari mulut orang lain,”kata-kata Daniel membuatkan dia rasa kagum. Patutlah mereka berdua serasi. Seorang berterus-terang. Seorang lagi terbuka. Ketukan di muka pintu menyebabkan Inspektor Zarul terganggu. Seorang pegawainya masuk selepas mendapat kebenaran. “Kami dapat tahu, Ahmad Zakri masih mempunyai seorang ibu,”maklumat yang baru diperoleh menggembirakan Inspektor Zarul. “Kita ke sana sekarang,”Inspektor Zarul tidak sabar lagi untuk menyelesaikan kes kehilangan Anisah.

Daniel langsung tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada timbunan fail yang berada di atas mejanya. Entah kenapa perasaan kesalnya datang. “Jika aku berkeras untuk temani Anisah hari itu, kejadian seperti ini tidak akan terjadi,”dia berfikir sendirian. Tetapi segera dia beristighfar. Perkara sudah berlaku. Tidak ada apa-apa yang boleh diubah jika dia befikiran begitu. Pihak polis sudah pun mencari Anisah di sekitar kawasan yang dipercayai dikunjungi oleh Anisah dan Zakri untuk pertemuan terakhir mereka. Namun hampa. Deringan telefon bimbitnya segera mengembalikan Daniel ke alam nyata. “Inspektor,”Daniel memberitahu dirinya melihatkan nombor yang tertera di skrin telefonnya. Dia segera menjawab.

“Kami percaya Zakri menghadapi masalah mental. Mungkin disebabkan oleh kelakuan ayahnya yang selalu memukul ketika dia masih kecil. Kami pun dah mengedarkan gambar Zakri dan Anisah untuk mendapatkan maklumat dari orang ramai,”sebaik Inspektor Zarul menghabiskan kata-katanya Puan Rubiah terus saja menjerit. “Anak kita bang. Entah apa orang gila tu buat dengan anak kita,”dalam esakan, kata-kata Puan Rubiah masih boleh difahami oleh semua orang. Encik Azman langsung tidak berkata apa-apa. Dia hanya memeluk bahu isterinya untuk menenangkan isterinya yang seperti kehilangan arah. Daniel hanya memandang Inspektor Zarul. “Teruskan bersabar. Kami dah berada di laluan yang betul,”Inspektor Zarul menepuk-nepuk bahu Daniel. “Saya beredar dulu. Jika ada apa-apa perkembangan, saya akan hubungi Encik,”Inspektor Zarul berdiri. Encik Azman turut sama berdiri, bersalaman dengan Inspektor Zarul. “Biar saya hantar Inspektor,”Daniel menawarkan dirinya untuk mengiringi Inspektor Zarul ke pintu. Inspektor Zarul hanya menurut.
“Encik Daniel teruskan bersabar dan berdoa. Ini semua ujian Allah. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,”Inspektor Zarul tidak terus menaiki keretanya tetapi sebaliknya bersandar pada keretanya, tanda dia mahu berbual dengan Daniel. “Dalam hal ni, Zakri tidak bersalah pun. Pada pendapat saya, dia adalah mangsa,”Inspektor Zarul meneruskan kata-katanya. Daniel tersentak mendengar bicara yang terkeluar dari bibir pegawai polis muda di hadapannya ini.
“Apa maksud Inspektor?”Daniel tidak dapat membendung rasa ingin tahunya. “Ini bukan pendapat sesiapa. Bukan dari doktor atau pakar. Ini cuma pendapat saya dari sudut kemanusiaan yang ada pada diri saya,”Inspektor Zarul berhenti seketika. Daniel terus menunggu dengan sabar butir bicara yang seterusnya. “Zakri hanya mencari semula cintanya yang hilang. Kehadiran Anis secara tidak langsung memberi peluang kepada dia merasai kasih sayang yang hilang dari hidupnya kerana ibu bapanya. Cuma cara dia mempertahankan cintanya salah menyebabkan dia kehilangan semula. Ditambah lagi dengan penyakitnya menyebabkan perkara ini bertambah buruk,”jujur saja Inspektor Zarul memberi pendapat. “Saya dah banyak menerima kes kehilangan. Terutama sekali kes remaja yang melarikan diri dari rumah. Saya tahu jiwa remaja yang memberontak. Ada yang hilang kasih sayang hingga sanggup mencari kasih di luar. Ada juga yang terasa hilang kebebasan apabila berada di rumah lalu mengambil jalan singkat mencari kebebasan yang hilang dengan melarikan diri dari rumah. Kisah Anisah dan Zakri hanya salah satu daripadanya. Hanya jalan ceritanya saja yang berbeza,”panjang lebar penjelasan Inspektor Zarul. “Mungkin juga Allah nak uji kasih sayang Encik Daniel pada Anisah,”Inspektor Zarul terusan memberi pendapat.
Kali ini Daniel mengangguk. “Mungkin benar. Sejak kehilangan Anisah, saya rasa hidup saya tidak lengkap. Serba tidak kena. Dulu, tidak berjumpa seminggu lamanya saya tidak kisah. Saya abaikan perasaan Anis. Saya sepatutnya bersyukur kerana mempunyai kekasih sesetia dia. Begitu memahami saya yang sentiasa sibuk dengan kerja. Sentiasa mengalah walaupun apabila saya menolak pelawaan dia,”Daniel menundukkan kepalanya menunjukkan rasa sesalnya. “Memang kita hanya akan menghargai apabila sesuatu yang selama ini berada di depan mata tiada lagi,”entah kenapa sayu saja kata-kata itu keluar dari bibir Inspektor Zarul. Daniel tidak bertanya apabila melihat Inspektor Zarul yang hanya tunduk, tanda dia tidak mahu berkongsi.
Suasana hening seketika. “Saya beredar dulu. Kita akan jumpa lagi,”Inspektor Zarul menepuk bahu Daniel. Daniel bersalaman dengan Inspektor Zarul. Daniel tersenyum tawar sambil memerhatikan kereta Inspektor Zarul hilang dari pandangannya.

Daniel memerhatikan barang hantaran yang tersusun di dalam biliknya. Nampaknya belum tiba masanya lagi barang-barang itu digunakan. Dia menyentuh barang-barang hantaran itu dengan tangannya. Terasa ingin menitis air matanya apabila teringat segala perancangan perkahwinannya yang bakal bertukar menjadi majlis doa selamat. “Anis mahu majlis perkahwinan yang terindah, dan tidak dilupakan,”terngiang-ngiang kata-kata Anis di telinga Daniel. “Biarpun sederhana, Anis dah cukup bahagia,”Anis memberitahu ceria. “Anis sayangkan Daniel. Anis janji akan jadi isteri yang baik untuk Daniel,”mengenangkan itu semua sudah cukup untuk membuatkan Daniel menangis. Dia semakin gerun mengingatkan kes-kes pembunuhan yang semakin menjadi-jadi sekarang. Ya Allah, lindungilah Anis. Engkau kembalikanlah semula dia ke pangkuan kami. Hanya kepada-Mu kami berserah, doa Daniel di dalam hati. Dia bingkas bangun, menuju ke bilik air, berniat mahu menunaikan solat hajat. Mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Anis. Bermohon agar Anis kembali berada di depan matanya.

Encik Azman menuruni anak tangga pelahan. Dia memerhatikan ruang tamu. Kerap benar Daniel datang ke rumahnya kebelakangan ini. Sentiasa mengikuti perkembangan kes kehilangan Anisah. Daniel jadi sumber kekuatan dia dan isterinya. Daniel bangun apabila melihat Encik Azman. Dia bersalam dengan bakal bapa mertuanya. Encik Azman menepuk-nepuk bahu anak muda itu. “Makcik macam mana?”Daniel memulakan perbualan. Encik Azman tersenyum, cuba menyembunyikan kesedihan hatinya. Sudahlah dia kini kebimbangan tentang keselamatan Anisah, isterinya pula tidak berapa sihat sejak peristiwa itu. “Macam itulah Daniel. Pakcik dah tak dapat buat apa lagi. Hanya kamu yang bagi kekuatan pada pakcik dan makcik,”Encik Azman bersuara sayu. Daniel hanya menundukkan kepalanya ketika mendengar kata-kata itu. Mereka diam seketika.
“Pakcik ada jumpa sesuatu masa kemaskan bilik Anis pagi tadi,”Encik Azman tiba-tiba teringat sesuatu. Dia menghulurkan beberapa buah diari kepada Daniel. Daniel mengerutkan dahinya. “Ini hak Anis. Saya....”Daniel keberatan untuk menerimanya. “Pakcik rasa ada sesuatu dalam diari Anis ni yang dapat bantu pihak polis,”Encik Azman memberi pendapat. Daniel memandang diari-diari itu lagi. “Kamu bacalah. Kalau kamu tak mahu baca dan rasa perbuatan itu menganggu hak peribadi Anis, kamu serahkan saja diari-diari ni pada pihak polis,”Encik Azman mengusulkan. Daniel berfikir seketika. Kemudian dia mengangguk, menerima saja cadangan Encik Azman.
Sudah beberapa kali Inspektor Zarul membaca diari milik Anisah. Ada klu baru. Diari-diari itu kebanyakannya menceritakan detik percintaan Anisah dan Zakri. Diari yang terakhir lebih banyak bercerita tentang keretakan hubungan mereka hinggalah Anisah membuat keputusan untuk berpisah dengan Zakri. Inspektor Zarul sudah pun merangka rancangan baru. Dia berharap agar apa yang dirancang akan membuahkan hasil.
Daniel cemas sekali. Sebaik saja dia mendapat panggilan daripada Encik Azman terus saja dia bergegas ke situ. Semua perasaan bercampur-aduk. Gembira, sedih, bimbang, tidak sabar dan bermacam rasa lagi yang dia sendiri tidak dapat jelaskan. Dia tidak dapat tetap di satu tempat saja. Rasa tidak selesa. Sekali-sekali dia menjenguk ke pintu bilik rawatan, namun hampa. Encik Azman tenang saja sedangkan isterinya kelihatan resah gelisah, sama seperti Daniel. Dua orang anggota polis turut berada di situ. Menurut salah seorang dari mereka, Zakri telah berjaya ditangkap. Kata mereka lagi Inspektor akan datang sebentar lagi setelah menyelesaikan urusan di balai polis. Kedua mereka tadi, turut menyoal siasat mereka. Daniel, Encik Azman serta isterinya serta merta menerpa ke arah doktor sebaik sahaja ternampak dia keluar dari bilik yang menempatkan Anisah. Doktor itu tersenyum melihat mereka. “Badannya lemah sedikit kerana kurang makan. Dia juga trauma. Tapi semuanya akan baik. Dia kena banyakkan rehat,”doktor itu menjelaskan. Daniel sempat menangkap nama ‘Amira’yang tertulis pada tanda nama kepunyaan doktor itu. “Terima kasih. Boleh kami melawat dia?”Daniel meminta izin. “Boleh. Tapi sekejap saja. Pastikan pesakit tidak diganggu. Saya beredar dulu. Saya masih perlu memberi penerangan kepada pegawai polis,”doktor itu meminta diri. Ketiga-tiga mereka mengangguk memberi keizinan. Lantas kemudiannya mereka bersama-sama masuk, menjenguk Anisah.
Malam itu, Daniel serta Encik Azman berpakat untuk menjaga Anisah. Ibu Anisah sudah lama pulang lantaran keadaannya dirinya yang tidak berapa sihat. Ada Tanti serta adik perempuannya di rumah besar itu. Daniel tidak betah untuk pulang. “Kamu tak tidur lagi Daniel?”Encik Azman bertanya apabila melihat anak muda itu duduk di sisi katil Anisah. Daniel tersenyum tawar. “Pakcik sajalah yang tidur dulu. Biar saya saja yang tengokkan Anisah,”ujar Daniel sambil matanya tidak lepas dari memandang Anisah. Encik Azman membetulkan selimut anaknya. Kemudiannya dia memandang Daniel semula. “Syukurlah Anisah dah kembali semula pada kita. Orang yang bertanggungjawab pun dah ditangkap. Pakcik ingat kita teruskan saja dengan doa selamat. Kita tunggu keadaan reda dulu baru kita teruskan dengan majlis,”Encik Azman memberitahu hajat hatinya. “Saya rasa itulah sebaiknya,”Daniel menyetujui cadangan bakal bapa mertuanya. Encik Azman berjalan ke arah sofa mahu merehatkan dirinya. “Jangan kamu tidak tidur pula. Kesihatan kamu pun kena jaga,”Encik Azman menasihati. Daniel mengangguk, mengerti serta menghargai nasihat itu. Selepas itu dia asyik sekali merenung Anisah, mengubat rindu. Dia sendiri tidak sedar bila dia terlelap.
Daniel tersedar apabila dia terasa apabila ada seseorang mengelus rambutnya lembut. Dia membuka mata perlahan. Anisah tersenyum padanya. Walaupun nampak tawar, Anisah cuba sedaya upaya menceriakan wajahnya. “Anis rindu Daniel. Jangan tinggalkan Anis seorang lagi. Anis tak mahu kena kurung lagi,”ucap Anisah pelahan. Daniel dapat merasakan yang air matanya hampir menitis. Dia juga seperti Anisah. Rindu pada gadis itu. Sedih dengan penderitaan gadis pujaannya yang terkurung berhari-hari melayan kerenah gila Zakri. Mujurlah Zakri tidak melakukan apa-apa pada Anis. Hanya mengurung Anis, tidak mahu Anis jauh darinya. Syukurlah Allah masih lagi melindungi Anisah. Peritnya perpisahan semalam. Seperti dia sudah kehilangan gadis itu selamanya. “Anis dah selamat sekarang. Dah ada dengan Daniel sekarang,”Daniel memujuk. Anisah mengalirkan air matanya. Entah apa perasaannya sekarang. “Maafkan Anis. Anis dah menyusahkan Daniel. Susahkan mak dan abah juga,”semakin laju air mata mengalir ke pipi Anisah. Daniel menyapu air mata Anisah. “Anis tak susahkan siapa-siapa pun. Anis takkan kemana-mana lagi. Daniel akan jaga Anis. Jangan nangis lagi. Anis tidur ya,”Daniel memujuk. Diam seketika dan kemudiannya Daniel melihat Anis sudah pun lelap semula. Daniel melihat ke arah sofa, tempat di mana Encik Azman tidur. Nyata Encik Azman sempat menyaksikan adegan tadi. Daniel pura-pura melihat tempat lain apabila Encik Azman meyapu air matanya. Daniel bingkas bangun apabila melihat jam di tangan yang menunjukkan waktu subuh hampir tiba.
“Anis, Anis. Jangan tinggalkan Zack. Zack tak boleh hidup tanpa Anis,”jerit Zakri sebaik melihat Anis ketika dia bersedia untuk dibawa pergi. Anis hanya mampu menangis. Dia rasa bersalah juga melihat keadaan Zakri yang sebegitu. Daniel menenangkan Anis. “Bukan salah Anis dia jadi begitu,”Daniel cuba membuang rasa bersalah Anisah. Anisah diam saja sambil mengesat air matanya. Dalam keadaan luar mahkamah yang penuh dengan orang ramai, Anisah rasa bahunya ditepuk seseorang. “Ini ibu Zakri,”Inspektor Zakri memperkenalkan kedua mereka. Sayu hati Anisah ketika dipeluk wanita tua itu. “Makcik minta maaf atas segala perbuatan yang Zakri dah lakukan pada Anis,”wanita itu berbisik dengan suara yang tersekat-sekat, menahan tangis. Anisah membalas pelukannya erat. “Saya maafkan dia makcik. Saya maafkan dia makcik. Saya tahu dia sayangkan saya. Saya tahu dia terlalu sayangkan saya sampai tergamak dia buat macam tu. Bukan salah sesiapa makcik. Dia mangsa keadaan,”tadi Daniel memujuknya, kini dia pula yang memujuk ibu Zakri. Kedua-duanya berpelukan agak lama. Melepaskan perasaan masing-masing. Daniel, Inspektor Zarul, kedua-dua ibubapa Anisah, hanya membiarkan. “Makcik, jemputlah datang ke majlis perkahwinan saya nanti,”Anisah memberitahu setelah pelukan mereka dileraikan. “Tuan pun jemputlah sekali. Bawalah anak-anak dan isteri sekali,”Daniel turut mengambil kesempatan menjemput Inspektor Zarul. Masing-masing hanya mengangguk, menyatakan janji untuk hadir.
Hampir semua tetamu yang hadir memuji pasangan pengantin. Walaupun penat Anis tetap cuba tersenyum, bersalam dengan tetamu yang hadir dan datang menemuinya. Daniel pula sibuk melayan tetamu-tetamu lelaki. Ibu Zakri turut hadir. Gembira sungguh Anisah. Dia tidak memusuhi mereka. Biarlah dia jadi pengganti Zakri, memberi kasih sayang pada ibu tua itu yang kini berseorangan. Anisah dapat melihat Inspektor Zarul membawa seorang budak perempuan, menghampiri Daniel. Anisah turut menghampiri Daniel, mahu menyapa Inspektor Zarul. Dia menyentuh pipi budak perempuan itu yang pada tekaannya berumur lebih lima tahun. “Mana isteri tuan?”Anisah memanjangkan leher mencari-cari jika isteri Inspektor Zarul dimana-mana. “Dia tak ada di sini,”jawapan Inspektor Zarul menimbulkan tanda tanya kepada kedua-dua mereka. “Mama Sarah dah tak ada,”jawapan itu kedengaran sayu di telinga Daniel dan Anisah. Ucapan maaf terkeluar perlahan dari bibir Anisah. “Fitrahnya manusia bertemu dan berpisah. Tetapi saya menyesal kerana tidak menghargai dia. Terlalu sibuk dengan tugasan. Dia pergi saat melahirkan Sarah, ketika saya tiada di rumah. Dia mengalami komplikasi kerana lambat dihantar ke hospital. Setelah dia pergi baru saya tahu betapa pentingnya dia dalam hidup saya,”cerita Inspektor Zarul menyentuh perasaan Daniel dan Anisah. “Maaf sebabkan awak semua bersedih. Sepatutnya hari ini kita bergembira,”Inspektor Zarul cuba mengubah suasana. Daniel dan Anisah tersenyum. “Boleh Anis bawa Sarah ke sana,”Inspektor Zarul meminta. Anisah mengangguk sambil tangannya memimpin tangan kecil itu.
Sebaik Anisah jauh, Inspektor Zarul mengalihkan perhatiannya kepada Daniel. “Tahniah Daniel. Hargailah Anisah. Dia harta kamu. Jangan jadi macam saya. Kejadian hari itu jadikan teladan,”panjang nasihat Inspektor Zarul. Daniel mengangguk tanda memahami. “Anisah segala-galanya bagi saya. Cukuplah sekali saya hampir kehilangan dia,”Daniel mengumam sendiri tetapi masih mampu didengari Inspektor Zarul. Dia turut memandang Anisah. Semoga pasangan ini akan terus bahagia sampai bila-bila, doa Inspektor Zarul di dalam hati.

TAMAT.........

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS