RSS

Berakit-rakit ke hulu....

Petang ketika kisah ni ditulis, Seksyen 7, Shah Alam baru saja selepas hujan. Waktu hujan macam ini, saya tiba-tiba teringat pada emak di kampong. Ilham tiba-tiba datang untuk menulis tentang pengalaman hidup emak.

Emak kerap bercerita tentang pengalamannya ketika dia belajar dahulu. Susahnya emak terpaksa menaiki sampan ke sekolah setiap pagi. Selepas subuh, emak sudah bertolak ke pengkalan dengan selipar jepun sebelum nanti ditukar dengan kasut sekolah apabila sampai di sekolah nanti. Kata emak ramai kawan-kawannya yang putus asa di tengah jalan disebabkan tidak tahan dengan cikgu yang garang dan mata pelajaran yang susah difahami. Tetapi emak tetap tabah. Nenek dan datuk pun kuat menyokong dengan pesanan, dengan ilmu, kita boleh mengubah hidup kita. Emak akhirnya berjaya menamatkan sekolah rendah dengan jayanya. Kata emak lagi, cikgu garang kerana nak mengajar bukannya mendera. Jika tidak bagaimana emak boleh berjaya jika bukan kerana berkat ajaran guru-gurunya.

Jika dibandingkan dengan sekarang, cikgu lebih takutkan anak murid. Maklumlah sekarang kalau cikgu salah pukul, emak dan ayah boleh saman. Nak buat macam mana? . Pengalaman sendiri, walaupun tak sesusah emak (sebab sekolah kat sebelah rumah aje. Jalan kaki dah sampai. Hehe), agak ada persamaan dengan emak. Cikgu saya garang, terutamanya cikgu matematik semasa tahun 6 (Cikgu Azha Zakaria, yang selalu dalam ingatan saya). Bila difikirkan dulu, jika didenda atau dirotan di sekolah, saya tidak berani pun buka mulut nak beritahu emak sebab nanti mak atau nenek mesti tambah lagi denda tu kat rumah. Disebabkan tak nak kena lagi, baik saya diam. Insaf saja kesalahan sendiri.

Ok, sekarang sambung cerita emak saya semula.

Emak kemudian sambung pengajian di sekolah menengah (Sek. Men. Keb. Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang ; kalau tak silap saya), dari tingkatan 1 sampai tingkatan 5. nenek dan datuk bersusah payah untuk emak. Setiap minggu bawakan buah tangan dari kampong. Kalau boleh nenek dan datuk nak jamu satu asrama, banyak nenek dan datuk bawa. Yang paling kerap dibawa mestilah buah-buah kampong. Walaupun pengangkutan nak ke sekolah emak hanyalah sebuah sampan, dan waktu tu, datuk hanya penoreh getah, datuk dan nenek tak kisah. Asalkan dapat tengok anak senang. Itulah kasih sayang emak dan ayah pada anak. Emak pun buat perkara yang sama pada saya dan adik-adik. Setiap kali ada peluang, emak mesti datang melawat (waktu sekolah menengah) walaupun waktu itu mak baru saja membiasakan diri memandu kereta jauh dari pekan Kuala Berang.

Sambung lagi cerita emak. Emak layak untuk menyambung masuk ke tingkatan 6, tapi nenek tak benarkan sebab waktu itu pelajar tingkatan 6 terpaksa tinggal di rumah sewa di kuala terengganu. Emak akur. Jadi emak memohon nak sambung pelajaran ke maktab perguruan dan jururawat berbekalkan keputusan peperiksaan SPM mak. Alhamdulillah ada rezeki nak menjadi guru. Mak diterima masuk ke maktab perguruan. Pada waktu sama, arwah ayah masuk meminang. Sekali lagi mak akur dengan keputusan nenek yang menyuruh emak menerima pinangan arwah ayah. Mujurlah arwah ayah memahami dan menyokong niat emak untuk belajar lagi. Arwah ayah banyak berkorban untuk emak. Dahulu ketika masih tiada kereta, arwah ayah meminta bantuan kawannya untuk menghantar dan menjemput emak sebulan sekali. Tetapi selepas arwah ayah mampu membeli kereta, setiap minggu emak dijemput pulang. Tambahan lagi, kami anak-anaknya masih kecil ketika itu. Rasa kagum dengan emak kerana mampu memegang tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pelajar pada waktu yang sama. Walaupun demikian mak selalu berpesan, kalau nak kahwin pun biar habis belajar dulu. Hehe…

Rasanya sampai sini dulu cerita pasal emak. Kesimpulannya dari cerita ini, kita kena menuntut ilmu walaupun banyak dugaan dan rintangan yang kita kena tempuh. Kata orang tua-tua, berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Contohnya dah ada depan mata saya. Kalau emak tak merasa susah nak belajar dulu, mustahil mak boleh jadi guru sekarang dan menyara kami anak beranak. So, saya harap kisah emak saya ni boleh dijadikan pengajaran. Maaf kalau terkasar bahasa, tersilap bicara..

5.22 pm, 06 Mei 2010, Rabu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment