RSS

Antara Cinta, Kasih dan Sayang

“You keluar dengan Shahril ya?”Raihana menegur sebaik sahaja Nadia masuk ke bilik yang dihuni mereka berdua dengan membawa plastik barang yang banyak. Nadia yang keletihan hanya mengangguk sambil merebahkan dirinya ke atas katil. “Betul ke you dengan Shah tu tak ada apa-apa. I tengok you all rapat aje,”Raihana mengeluarkan pertanyaan yang selama ini selalu bermain di fikirannya. Nadia yang baru saja mahu melelapkan mata, pantas membuka matanya semula mendengar soalan cepu emas yang dilontarkan Raihana. “Soalan apa tu Ana? Kami kawan baik ajelah,”Nadia menyangkal sangkaan Raihana. Raihana diam saja mendengar kata-kata Nadia. Dia tidak berpuas hati. Dia tahu ada udang di sebalik batu. Berdasarkan pemerhatiannya selama ini ada sesuatu yang tidak kena dengan Shahril dan sahabat baiknya, Nadia. Tetapi dia tidak mahu bertanya lanjut. Fikirannya terencat apabila telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat.
“Hoi! Kalau kau asyik renung telefon tu, tak adanya si pujaan hati kau muncul kat dalam bilik ni,”Redzuan menyergah setelah lama dia memerhati yang Shahril asyik merenung telefon bimbit Nokianya. Shahril merenungnya dengan wajah marah. Terkejut barangkali dengan sergahan Redzuan. Dia bangkit, duduk di atas katilnya sambil Redzuan menuju ke meja belajar, duduk di atas kerusi. “Kalau dah angau sangat, telefon sajalah,”Redzuan menasihati. Shahril tersengih. “Baru aje tadi balik dari jumpa dia. Takkanlah nak telefon lagi. Apa pulak dia kata,”Shahril menolak mentah-mentah rancangan Redzuan. Redzuan mengelengkan-gelengkan kepalanya beberapa kali dengan senyuman lebar di wajahnya. Kelakar dengan telatah Shahril. “Shah kau nak jadi macam ni sampai bila. Kalau asyik pendam aje perasaan kau, bila dia nak tahu. Jangan tunggu lama-lama. Nanti dia diambil orang. Kau dengar nasihat aku ni Shah,”Redzuan menasihati lagi. Terdengar Shahril mengeluh panjang. “Kau tahu tak Wan? Status kami sebagai kawan baik yang menyebabkan aku fikir panjang. Macam mana aku nak berhadapan dengan dia lagi kalau dia tolak cinta aku. Kalau bukan sebagai kekasih sekali pun, dia masih kawan aku,”Shahril menyatakan pendiriannya. “Tapi Shah, belum cuba belum tahu. Mana kau tahu dia akan tolak cinta kau?”Redzuan memberi semangat. “Entahlah Wan. Kita tunggu dan lihat saja,”Shahril seperti menyerah saja. Redzuan memandang sahabatnya itu dengan perasaan kesal. Dia bimbang Shahril akan kecewa nanti. “Ikut suka kaulah. Tapi kau ingat ni, walau apa pun yang berlaku, aku tetap sokong kau,”Redzuan bangun, berjalan ke arah Shahril, menepuk bahunya sebelum keluar dari bilik itu. Shahril diam, berfikir panjang selepas itu.
Selamba saja Nadia menikmati aiskrim. Dari perlakuannya semua orang boleh meneka yang aiskrim vanilanya itu sedap. Raihana yang tadinya tidak berminat pun boleh terpengaruh. Nadia ketawa kecil apabila Raihana muncul dengan aiskrim yang sama. “Tadi jual mahal,”perlinya. Raihana tidak menjawab, tetapi hanya menjeling tajam. Nadia menyambung tawanya melihat reaksi Raihana. Tidak lama kemudian, Shahril dan Redzuan muncul dengan senyuman lebar. “Dah makan?”Redzuan bertanya Raihana. Raihana hanya mengelengkan kepalanya tanda perutnya masih belum diisi. “Tanya Ana aje ke?”Nadia mengusik. Redzuan hanya tersenyum. “Kita makan dulu. Lepas tu baru hantar korang berdua balik rumah,”Redzuan memberi cadangan. “Ok,”Nadia dan Raihana serentak menjawab. Shahril dan Redzuan hanya mampu mengangkat bahu, melihat telatah ceria kedua-duanya. Mereka berempat berjalan bersama.
Raihana sengaja berjalan lambat-lambat. Redzuan yang memerhati kehairanan lantas dia menunggu. “Ana ada nak cakap apa-apa ke kat Wan?”Redzuan membaca perlakuan Raihana. Raihana mengangguk, mengiyakan telahan kekasih hatinya itu. “Semalam mak minta Ana balik kampung,”Raihana memulakan cerita. Dia berhenti sekejap, memandang wajah Redzuan. Redzuan senyum meminta Raihana meneruskan cerita. “Mak tak pernah pulak cakap macam tu dengan Ana. Ana rasa macam ada benda tak kena,”Raihana memberitahu, serentak dia berhenti berjalan. “Kenapa Ana cakap macam tu?”Redzuan agak terkejut mendengar tanggapan Raihana. Dia turut berhenti. Dia bagai dapat mengesan ada air yang bertakung di mata Raihana. “Wan kan tahu mak tak suka hubungan kita ni. Ana takut mak ada rancangannya sendiri,”Raihana melahirkan rasa bimbangnya. Redzuan melihat anak mata Raihana, memegang bahunya dan senyum cuba membuang rasa bimbang Raihana. “Jangan buruk sangka dengan mak Ana. Redzuan yakin tak ada apa-apa. Ana jangan bimbang, OK,”Redzuan meniupkan kata-kata nasihat untuk Raihana. Raihana mengesat air matanya. Geram sungguh dia dengan sikap Redzuan yang terlalu optimis itu. “Awak ni macam tak kisah aje. Kalau ada apa-apa nanti macam mana? Awak dah tak sayang kat saya ke?”terluah rasa geram dari bibir Raihana. “Ana! Bukan Wan tak sayang. Sayang. Kenapa cakap macam tu. Wan nak Ana bertenang. Balik dan dengar apa yang mak Ana nak cakap. Jangan tuduh melulu. Dia kan mak Ana,”Redzuan tidak melatah dengan kemarahan Raihana. Raihana menarik nafas panjang, cuba meredakan kemarahannya. Kemudian dia memandang Redzuan. Lama mereka diam, cuba menyejukkan kembali keadaan. “Dah OK?”Redzuan bertanya setelah lama mereka begitu. Raihana senyum sambil menganggukkan kepalanya. Redzuan melangkah setapak, berpaling ke belakang semula, menghantar isyarat supaya mereka meneruskan perjalanan.
Shahril dan Nadia sudah sampai ke kereta. Oleh sebab Raihana dan Redzuan masih belum sampai, mereka hanya menunggu di luar kereta, sambil menyandar di badan kereta Satria GTI milik Shahril. “Kenapa tu?”Shahril bertanya, mengisyaratkan kepada Redzuan dan Raihana yang tertinggal di belakang. “Entah. Adalah halnya tu. Semalam Raihana dapat panggilan dari kampung,”Nadia menjawab sambil mengangkat bahunya. Shahril tidak menunjukkan sebarang tindak balas pada jawapan itu. “Free tak Sabtu ni?”Shahril bertanya lagi. Kali ini gadis kecil molek di sebelahnya itu berpaling. “Nak ajak I keluar lagilah tu. Sabtu ni tak boleh. I dah ada janji,”Nadia memberitahu. Dia dapat melihat wajah Shahril yang penuh kekecewaan itu. “Sorry,”entah kenapa Nadia merasakan dia perlu meminta maaf. Dia dapat melihat Shahril senyum. Tetapi hambar saja. “You janji dengan siapa?”terlintas pertanyaan itu di minda Shahril. Nadia tersenyum lebar. “Fariz ajak I ke parti hari lahir kawannya. Tak sangka kan?”Nadia bersuara ceria sedangkan jawapannya itu sebenarnya menyentap jantung Shahril. “Kawan dia yang mana satu ya,”Shahril bertanya sambil menyembunyikan rasa tidak senangnya. “Entahlah. I pun tak tahu,”Nadia menjawab dengan kerutan di dahi. Dia memang benar-benar terlupa untuk bertanya kerana terlampau gembira dengan ajakan Fariz, jejaka idaman kolej itu. “Hati-hati Nadia,”Shahril menasihati. Nadia menunjukkan wajah kehairanan. “Hei, janganlah risau. I tahu jaga diri,”Nadia meyakinkan. Shahril mengangguk juga walaupun hatinya sedikit ragu-ragu. Dalam hati, Nadia mengharapkan yang Shahril akan menyuruh dia menolak pelawaan itu. Tetapi lain pula yang terjadi. Perbualan mereka terhenti sebaik sahaja Redzuan dan Raihana sampai di kereta.
Fariz segera turun dari kereta sebaik sahaja dia berhenti di hadapan rumah sewa Nadia. Dia membuka pintu kereta untuk gadis itu. “Thanks sebab sudi temankan malam ni,”Fariz memberitahu, sebelum Nadia mula melangkah masuk ke dalam rumahnya. Memang niat Fariz untuk memanjangkan pertemuan itu. Nadia tersenyum manis. “Sama-sama. I pun nak ucapkan terima kasih atas layanan you,”Nadia turut berterima kasih. Giliran Fariz pula tersenyum lebar. “Dengan cara macam mana lagi I nak layan gadis sebaik dan secantik you ni. Of course I will give you the best service,”kata-kata itu kedengaran bagaikan gurauan di telinga Nadia. Sudahnya dia ketawa kecil. Fariz sedikit kehairanan. “Sudahlah you jangan nak bergurau dengan I pulak Fariz. I tahu you macam mana. Tak payahlah nak berlakon depan I,”tanpa di duga begitu senang sekali kata-kata itu meluncur keluar dari bibir Nadia. Fariz kelihatan agak terkejut. Nadia menghentikan tawanya apabila melihat wajah Fariz itu. “Sorry, kalau dah buat you tersinggung. Anyway thank you for everything. See you later,”Nadia tidak menunggu lama. Segera dia berjalan masuk ke dalam rumah, meninggalkan Fariz keseorangan berdiri di situ.
“Ana! Kenapa duduk dalam gelap ni?”terkejut Nadia apabila mendapati Raihana ada di dalam bilik ketika dia membuka pintu sebentar tadi. Kawan serumahnya yang lain pun tidak ada yang mengkhabarkan Raihana sudah pulang semula ke sini. Keadaan segera menjadi terang-benderang sebaik sahaja Nadia memetik suis lampu. Raihana memandang Nadia dan tanpa disangka menerpa ke arah gadis kecil molek itu. Makin bertambah kejutan apabila tiba-tiba sahaja Raihana menangis. Nadia hanya membiarkan. Tangannya lembut menggosok kepala Raihana persis seorang ibu. Nadia melemparkan senyuman, apabila Raihana mendongak, melihat wajahnya. “Kenapa ni? Ada apa-apa yang tak kena ke? Semalam baru you balik kampung. Hari ni dah datang semula ke sini.” Lembut saja pertanyaan dari Nadia. “Nadia, I dah agak mak I ada agenda lain. Dia nak tunangkan I dengan orang lain,”tangisan Raihana tadi yang sudah menghilang, kembali membasahi pipinya apabila dia mula bercerita.
Ternganga mulut Nadia mendengar peneranagan Raihana. “I lari dari majlis tu,”Raihana meneruskan cerita. “Redzuan dah tahu?”Nadia bertanya lanjut. Raihana mengelengkan kepalanya. Nadia menarik nafas panjang. Tiba-tiba dia rasa terbeban dengan masalah sahabatnya itu. “So, apa you nak buat sekarang. Lari dari majlis tu tak menyelesaikan masalah,”Nadia memberitahu. “I tahu. Tapi I tak tahu lagi nak buat macam mana. I Cuma terfikir cara ni aje,”dalam esakan Raihana berkata. Nadia diam, berfikir sesuatu. Mungkin jika dia dalam situasi Raihana pun dia akan membuat perkara yang sama. “Kita beritahu Redzuan OK,”Nadia memberi cadangan. Tanpa menunggu kata putus dari Raihana, dia mencapai telefon dan mendail nombor telefon Redzuan.
“Redzuan tak tidur semalam lepas dengar apa yang berlaku,”Shahril bercerita. Dia dan Nadia hanya menjadi pemerhati. Kelihatan Redzuan cuba memujuk Raihana. Tetapi mereka tidak tahu butir bicara mereka berdua. Dia dan Nadia di luar rumah, sedangkan Redzuan dan Raihana di dalam rumah. Nadia diam saja, malas mahu melayan Shahril. Dalam fikirannya sekarang hanya masalah Raihana yang sedang berlegar-legar. Shahril buat tidak tahu saja dengan reaksi Nadia. Dia mahu terus berbual. “Macam mana majlis kat rumah kawan Fariz?”Shahril bertanya. Nadia naik rimas. Hish dia ni tak nampak ke ada masalah lebih besar daripada majlis tu. Nadia masih tidak mahu menjawab. Dia hanya menjeling tajam, menunjukkan rasa geramnya. Shahril mengangkat bahunya, tanda mengalah apabila Nadia tidak mahu melayan.
Sebuah kereta Honda Accord yang berhenti di depan rumah sewa itu mengejutkan semua. Ada seorang lelaki yang muncul. Tersenyum kepada Shahril dan Nadia. “Maafkan saya. Ini rumah Raihana?”dia bertanya. Nadia yang terpinga-pinga hanya mengangguk. “Boleh saya jumpa dia?”jejaka itu bertanya lagi. Nadia mengangguk, tidak menunggu lama memanggil Raihana di dalam rumah. Raihana dan Redzuan muncul serentak. “Saya Irfan,”dia memperkenalkan diri kepada semua yang ada. Raihana kelihatan terperanjat. Dia memandang Redzuan penuh makna, cuba memberitahu sesuatu di sebalik renungan itu. “Saya Redzuan, teman lelaki Raihana,”Redzuan cuba sedaya upaya mengawal diri kerana dia tahu lelaki ini tunangan Raihana. Irfan tersenyum penuh makna. “Maaf kerana menganggu. Sebenarnya saya nak beritahu suatu perkara pada Raihana,”dia melihat Raihana. Raihana terundur ke belakang mendengar kata-kata itu. Dia memegang tangan Redzuan kejap. Seolah tidak mahu dilepaskan. Tanpa disangka-sangka lelaki bernama Irfan itu ketawa. “Jangan bimbang. Saya bukan nak bawa Raihana lari. Saya hanya nak minta maaf dengan Raihana,”dia berkata tenang. Semua yang ada di situ kehairanan. “Saya tak menyangka yang Raihana dipaksa untuk menerima saya. Apabila saya diberitahu yang Raihana tidak ada di majlis pertunangan itu semalam, saya terus membatalkan majlis itu. Tak wajar saya teruskan kalau Raihana tidak setuju,”dia meneruskan. “Saya minta maaf. Saya dah ada orang lain,”Raihana bersuara perlahan. “Saya faham. Saya hanya nak menjelaskan saja apa yang telah berlaku semalam. Awak bebas untuk pilih sesiapa pun. Encik Redzuan, awak bertuah,”Irfan menepuk bahu Redzuan perlahan. Raihana dan Redzuan saling berpandangan. Mereka seperti tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. “Apa kata, masuk dan minum dulu di rumah kami,”Nadia memberi cadangan. Semua yang berada di situ mengangguk, bersetuju dengan cadangan Nadia.

Sejak dari tadi Shahril memerhati. Fariz dan Nadia begitu asyik berbual. Kebelakangan ini Nadia dan Fariz sering keluar bersama. Dia pula hanya mampu melihat. Spontan tangannya bergerak menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Tepukan di bahunya mengalih perhatiannya. Redzuan sedang tersenyum sinis. “Masalah aku dah selesai. Kau bila lagi? Aku tengok bukan main lain lagi mereka sekarang,”Redzuan turut melihat ke arah Fariz dan Nadia. “Dulu lagi aku kata Shah. Jangan tunggu lama-lama. Tengok. Sekarang burung yang memang dah ada dalam genggaman yang kau lepaskan,”Redzuan menyindir. Tak semena-mena Shahril memberinya satu kerlingan tajam. “Kau ingat aku nak lepaskan dia pada buaya darat tak guna tu ke? Tak mungkin,”berkobar-kobar semangat Shahril apabila dia merasakan yang Redzuan mencabarnya. “Jangan cakap besar aje Shah. Kata mesti di kota,”makin galak pula Redzuan. Kelihatan Shahril mengenggam penumbuknya memberitahu Redzuan yang dia sedia berbuat apa saja untuk memiliki Nadia.
Shahril tidak dapat duduk senang malam itu. Hatinya rasa tidak tenteram. Seolah-olah ada sesuatu yang bakal berlaku. Redzuan yang baru saja menamatkan panggilan, segera menoleh melihat Shahril yang seperti cacing kepanasan itu. “Kau duduklah diam-diam sikit. Dah naik pening aku tengok kau ni,”Redzuan menegur. “Aku risau ni. Jantung aku rasa macam nak tercabut aje. Berdebar-debar. Macam ada benda nak jadi,”Shahril memberitahu kerisauan. “Kau risaukan Nadia ke?”Redzuan meneka. Dia mengangguk, mengiyakan telahan Redzuan. “Dah telefon dia?”Redzuan bertanya. “Dia tak angkat,”Shahril membalas dengan nada suara yang tidak keruan. Redzuan melihat jam di dinding. Pukul 9.12 malam. Masih awal. Dia mendail nombor Raihana. Mungkin Raihana tahu ke mana Nadia.
Fariz tersenyum nipis melihat Nadia. Gadis itu bukan sembarangan. Jinak-jinak merpati. Mudah didekati tapi begitu bijak mengelak apabila dia mula memasang jerangkap. Tidak pernah dia dimalukan begitu rupa. Kawan-kawannya sudah mula mengejek. Itu yang menyebabkan Fariz semakin berang. Malam itu dia akan menyelesaikan segala-galanya. Dia pasti akan memenangi cabaran yang dikemukan Kamal dan Firdaus sebelum ini. Dia sudah semakin bosan untuk bermain tarik tali dengan gadis kecil molek itu. “You tak nak menari lagi?”Fariz mengumpan. Nadia menggeleng. “I dah penat,”Nadia memberi alasan. Fariz tidak berputus asa. Dia sudah berdiri. Kakinya sudah bergerak mengikut muzik yang bergema di segenap ruang. Dia menarik tangan Nadia, sehingga gadis itu terbangun. Antara hendak tidak hendak saja Nadia mengikut Fariz. Fariz menghantar isyarat kepada Kamal supaya menjalankan rancangannya. Kamal mengangkat ibu tangannya memberi maksud segalanya di tanggung beres.
“Cukuplah. I dah penat,”Nadia sudah melangkah meninggalkan Fariz. Dia bukannya ada hati sangat berkunjung ke sini. Hanya sengaja menyakitkan hati Shahril yang tidak pernah faham tentang perasaannya. Hampir saja dia mahu minum air yang ditinggalkan tadi, tetapi dia berhenti apabila mengingatkan yang dia meninggalkan minuman itu tanpa pemerhatiannya tadi. Dia tahu sangat lelaki-lelaki seperti tiga sahabat itu. Cekap mengambil kesempatan. Dia memanggil pelayan untuk meminta minuman lain. Dia hanya melihat Kamal dan Firdaus dengan senyuman sinis. Muka keduanya kelihatan berubah.
“Kenapa?”Nadia bertanya dengan nada sindiran. Kedua-duanya hanya menggelengkan kepala, menandakan tiada apa-apa. Nadia menghirup sedikit air yang baru dipesannya tadi. Kemudian dia melihat jam di tangannya. Sudah pun mencecah jam 11 malam. Dia mahu segera pulang. Jika tidak pasti Raihana meleterinya. Segera dia menghabiskan air yang masih lagi bersisa. “I nak balik dulu,” Nadia bangun dari tempat duduknya sambil memberitahu Fariz yang baru saja kembali ke tempat duduk mereka. “Awal lagi. You dah nak balik?”Fariz cuba menangguhkan Nadia. “Bagi you awal. Pada I dah lewat. Tolong hantar I balik,”Nadia meminta. Fariz memandang Nadia lama. Matanya sengaja diredupkan, merayu Nadia supaya terus berada di situ. “No! Jom!”Nadia bersuara tegas. Dia bergerak pantas melalui celahan orang ramai. Belum pun sempat dia sampai di muka pintu, dia terasa kepalanya berpusing. Dia memegang dinding cuba menahan dirinya dari jatuh. Dia mula merasa tidak sedap hati. Dia melihat Fariz tersenyum sambil memegang gelas minuman yang diminumnya tadi. Kemudian dia melihat pelayan yang menghantar minuman tadi juga turut tersenyum lebar. Tak guna! Mereka berpakat, sumpah Nadia di dalam hati. Tidak lama kemudian, Fariz menghampiri dengan senyuman yang melebar di bibir. “Akhirnya I dapat you,”Fariz berbisik di telinga Nadia. Dia memapah Nadia. Gadis itu cuba melawan tetapi dia tidak berdaya. Nyata ubat yang diletak dalam minumannya tadi sudah berjaya melumpuhkan tubuhnya.
“Ah, leganya”tersenyum lebar Shahril sebaik keluar dari tandas. Sejak dari tadi dia menahan hajatnya. Bimbang Nadia terlepas dari pandangan. Tetapi disebabkan dia memang sudah tidak dapat menahan, terpaksa juga dia ke tandas. Ketika dia kembali semula ke dewan tari, dia mendapati Nadia sudah pun hilang. Pantas dia keluar dari situ, mencari Nadia. Terasa darah yang sedang mengalir di tubuhnya sudah jadi tidak menentu. Dia berlari-lari anak. Kuasa Allah, dia terpandang sebuah kereta. Ada Nadia yang sedang terlentuk di bahu Fariz. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Nadia. Dia pantas memanggil teksi yang kebetulan berada di tempat itu. Segera diperintahkan pemandunya mengikut kereta yang dinaiki Nadia dan Fariz tadi.
Fariz membawa Nadia ke bilik yang memang sudah ditempahnya dari awal. Belum pun sempat dia menutup pintu, ada seseorang menendangnya dari luar. Terjelepuk jatuh dia dan Nadia. Belum pun sempat dia berbuat apa-apa satu tumbukan singgah di mukanya. Dia terjatuh ke atas lantai kembali. Shahril sudah pun tunduk, mahu menumbuk Fariz lagi. Tetapi kali ini Fariz bertindak pantas, berjaya menjauhkan dirinya dari gapaian Shahril. Dia mengeluarkan pisau dan mengacukannya kepada Shahril. Kecut juga perut Shahril. Tetapi dia tidak peduli itu semua. Nadia perlu diselamatkan. Dia anak jantan. Biar putih tulang, jangan putih mata. Beberapa kali Fariz mengacah pisau ke arah Shahril. Shahril sudah tidak mahu menunggu, lantas dia menyerang, cuba menjatuhkan pisau yang dipegang Shahril. Fariz juga bukan sembarangan orangnya. Dia berjaya mengelak serangan Shahril. Dia mengambil peluang itu menikam perut Shahril. Bajunya sudah basah disimbahi darah. Dia mengetap bibirnya menahan sakit. Panik Fariz melihat darah di tubuh Shahril. Dia ingin segera lari di situ. Tetapi belum pun sempat dia keluar dari bilik itu, dia diserbu dari luar. Redzuan dan dua orang anggota polis muncul di pintu. Dia terperangkap. Redzuan pula menerpa ke arah Shahril yang sudah pun terbaring. Dia cemas apabila melihat Shahril yang berlumuran darah.
Ketika dia sedar, dia melihat Nadia sedang tidur di sisi katilnya. Erat memegang tangannya. Dia segera menutup matanya kembali apabila dia melihat Nadia bergerak-gerak. Dia dapat merasakan yang Nadia membetulkan selimutnya. Terasa kembang hatinya apabila menyedari yang Nadia begitu mengambil berat tentang dirinya. “Shah, bila you nak sedar. Semua orang tunggu you. Jangan tinggalkan I Shah. Banyak benda I nak cakap dengan you,”Shahril mendengar Nadia berbisik sambil memegang tangannya. Dia tersenyum nakal. “Apa yang you nak cakap dengan I?”dia bersuara lemah, Nadia terkejut. Terlepas tangan Shahril yang berada dalam tangannya tadi. Shahril tersenyum tawar melihat reaksi Nadiaa. “You tahu tak kenapa I jadi macam ni?”Shahril bertanya. Nadia mengangguk sambil mengesat air matanya. “Redzuan dah cerita semuanya pada I,”Nadia memberitahu. Shahril tersenyum kelegaan. “Tapi I nak dengar you cakap dengan I. Sekali pun jadilah,”Nadia meminta malu-malu. Terbuntang matanya mendengar permintaan Nadia. Dia teragak-agak. “Er...”Shahril tidak dapat meneruskan kata-katanya. “Kalau you tak cakap I merajuk,”Nadia mengugut. Dia sudah pun berjalan menuju ke pintu. “Tunggu dulu!”dengan kudrat yang ada dia menahan Nadia. Perlahan-lahan ditarik Nadia supaya merapati katilnya. Dia menarik nafas, mencari kekuatan. Lama dia merenung Nadia. Melihat ke dalam anak mata Nadia. “Saya sayang dan cintakan awak,”kata-kata itu meluncur laju dari bibir Shahril. Nadia terrsenyum puas. “Saya pun sayang awak,”Nadia membalas sambil tersenyum manis. Tanpa mereka sedari ada dua insan yang sejak tadi menonton drama mereka berdua tadi. Raihana dan Redzuan saling berpandangan sambil tersenyum. Dah tamat pun kisah ni.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

The Vulnerable Me

I’m vulnerable,
Sick to be like this,
Happened when the love’s one,
Hurt my feeling,
Even with the smallest mistake,
The wound go deep into my heart,
I know,
Time will cure the cut,
But still lives the scar behind,
Stuck with the most unforgettable memory,
And it will be the one,
That gives me grief and miserable,
The one I want to forget,
What can I do if it will be always,
Be in my mind,
And I sure want to remember it,
Because it comes from my love’s one,
Who is near,
But not reachable,
And still be my love’s one.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

update blog, cari kerja dan bola sepak

Assalamualaikum...
Jika diibaratkan laman blog ini sekeping tanah terbiar rasanya dah jadi hutan pun blog ni. dah lama sangat tak jenguk. bukannya saya tak online. online keraplah jugak. seminggu sekali. tetapi saya betul-betul tiada mood untuk menulis di blog apatah lagi menyambung cerita. saya minta maaf kepada semua yang membaca blog ini.

fikiran saya lebih terarah untuk mencari kerja. tiada perkara lain yang terlintas di fikiran saya ketika online. cuma satu. mencari pekerjaan di alam maya. aduh. susah kan hidup tak ada kerja ni. bosan tak payah cakaplah. tetapi saya sabarkan hati dengan menjadi suri rumah sepenuh masa kat rumah. kemas rumah, sapu lantai, cuci pinggan mangkuk. semua tu dah jadi rutin harian saya di rumah. sekurang-kurangnya dapat jugak melengkapkan diri dengan ilmu rumah tangga. bak kata orang, orang perempuan ni belajar tinggi mana pun akhirnya sampai jugak ke ceruk dapur. hehe..

sepanjang duduk rumah jugak saya berkesempatan ambil tahu perkembangan piala dunia 2010 di afrika selatan. tapi saya tak adalah fanatik sangat sampai berjaga pukul 2.00 pagi semata-mata nak tengok siaran langsung. malaslah saya. saya tengok siaran ulangan aje. biarpun keputusan dah pun diketahui suspennya tetap ada. best tengok pemain bola sepak profesional ni gelecek bola. saya memang tak pandai main sukan, cuma suka tengok aje. cukuplah. hehe.. sempat saya mengenali beberapa bintang contohnya wesley sneidjer (tak tahu betul ke salah eja namanya) dari belanda, thomas mueller bintang jerman yang muda dan ramai lagilah. yang paling saya kagum tentulah park ji sung pemain korea selatan tu. walaupun korea selatan tak menang, pemain-pemain mereka menunjukkan persembahan yang membanggakan.

saya rasa cukuplah dulu setakat ini. saya nak online lagi. nak cari kerja lagi. entah bila saya akan jenguk blog ini lagi. sehingga masa itu saya doakan semua pembaca blog ini sentiasa ceria dan berada di dalam rahmat Allah Yang Maha Esa.

Ja mata ne!!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Rezeki, jodoh ajal dan maut

Baru seminggu saya pulang bercuti Bercuti? Sebenarnya tidak. Saya rasa saya dah boleh dikategorikan sebagai penganggur kehormat dah. Huhu… risau kat dalam hati ni tak payah nak cakaplah. Takut jugak kalau tak dapat kerja. Maklumlah persaingan sengit. Perancangan saya, saya nak bekerja sementara dulu di mana-mana. Nak cari pengalaman dulu. Lepas tu bila saya dah dapat transkrip ijazah saya, saya nak memohon SPA. (maknanya kena tunggu konvokesyen dulu yang mungkin berlangsung akhir tahun). Jadi buat sementara waktu saya kena isi waktu lapang saya dengan sesuatu yang berfaedah. Buat masa ni memang saya tak buat apa lagi. Tengah hantar permohonan dan tunggu panggilan (masih dalam proses). Waktu ni jugak saya ambil kesempatan untuk menulis. Hihi,,,

Itu baru pasal kerja. Ini pasal hal lain pulak. Walaupun baru aje seminggu kat rumah, datang pulang khabar tak best kat telinga. Aduh!! Ada ke patut orang kampong dah mula Tanya-tanya bila nak kahwin. Aduhai.. pening saya. Saya pun tak tahu apa masalahnya. Takkanlah lepas abis belajar kahwin terus. Ingat senang ke kahwin ni? Benda tu pakai duit. Hutang PTPTN berlambak. Takkan nak kahwin kot. Tak sempat lagi nak kumpul harta sendiri orang dah Tanya pasal bab tu. Hangin jugak satu badan. Agaknya kahwin ni macam beli ikan kat pasar kot? Entahlah. Masyarakat kita ni tak habis lagi dengan persepsi lama. Kahwin kena cepat-cepat. Nak-nak orang perempuan. Kalau dah tua tak laku pulak. Ye ke? Jawab sendiri ya. Yang sampai jodoh cepat tu alhamdulillah. Yang belum ada lagi pakwe, boyfriend, tunang dan seangkatan dengannya tu sabarlah ya (saya termasuk dalam golongan ni). Doa banyak2. Insya Allah bila sampai waktunya sampailah jodoh kita.

Hal pasal rezeki, jodoh ajal dan maut ni semua dah tertulis untuk kita semua seluruh umat manusia sejak dari azali. Rezeki dan jodoh tak datang bergolek. Kena usaha mencari dan berdoa. Pernah terbaca blog seorang sahabat yang menulis pasal rezeki di mana dia menyatakan bahawa rezeki itu sudah tersedia di depan mata kita. Yang penting usaha kita untuk mencarinya. Perihal jodoh jugak telah Allah sebutkan di dalam Al –Quran yang mana setiap ciptaan-NYA diciptakan berpasangan-pasangan. So, kita tak usahlah bimbang walaupun sekarang ni masih solo. Persoalan ajal juga begitu kerana telah tertulis setiap yang hidup itu pasti akan mati. Yang penting soal diri sendiri sudah sediakah kita untuk menghadapi kematian. Cukupkah amal ibadat kita selama ini? Bersediakah kita nak menghadapi peperiksaan di akhirat kelak. Tepuk dada Tanya iman?

Cukuplah setakat ini dulu.. Kalau ada masa saya menulis lagi… TQ

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Berakit-rakit ke hulu....

Petang ketika kisah ni ditulis, Seksyen 7, Shah Alam baru saja selepas hujan. Waktu hujan macam ini, saya tiba-tiba teringat pada emak di kampong. Ilham tiba-tiba datang untuk menulis tentang pengalaman hidup emak.

Emak kerap bercerita tentang pengalamannya ketika dia belajar dahulu. Susahnya emak terpaksa menaiki sampan ke sekolah setiap pagi. Selepas subuh, emak sudah bertolak ke pengkalan dengan selipar jepun sebelum nanti ditukar dengan kasut sekolah apabila sampai di sekolah nanti. Kata emak ramai kawan-kawannya yang putus asa di tengah jalan disebabkan tidak tahan dengan cikgu yang garang dan mata pelajaran yang susah difahami. Tetapi emak tetap tabah. Nenek dan datuk pun kuat menyokong dengan pesanan, dengan ilmu, kita boleh mengubah hidup kita. Emak akhirnya berjaya menamatkan sekolah rendah dengan jayanya. Kata emak lagi, cikgu garang kerana nak mengajar bukannya mendera. Jika tidak bagaimana emak boleh berjaya jika bukan kerana berkat ajaran guru-gurunya.

Jika dibandingkan dengan sekarang, cikgu lebih takutkan anak murid. Maklumlah sekarang kalau cikgu salah pukul, emak dan ayah boleh saman. Nak buat macam mana? . Pengalaman sendiri, walaupun tak sesusah emak (sebab sekolah kat sebelah rumah aje. Jalan kaki dah sampai. Hehe), agak ada persamaan dengan emak. Cikgu saya garang, terutamanya cikgu matematik semasa tahun 6 (Cikgu Azha Zakaria, yang selalu dalam ingatan saya). Bila difikirkan dulu, jika didenda atau dirotan di sekolah, saya tidak berani pun buka mulut nak beritahu emak sebab nanti mak atau nenek mesti tambah lagi denda tu kat rumah. Disebabkan tak nak kena lagi, baik saya diam. Insaf saja kesalahan sendiri.

Ok, sekarang sambung cerita emak saya semula.

Emak kemudian sambung pengajian di sekolah menengah (Sek. Men. Keb. Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang ; kalau tak silap saya), dari tingkatan 1 sampai tingkatan 5. nenek dan datuk bersusah payah untuk emak. Setiap minggu bawakan buah tangan dari kampong. Kalau boleh nenek dan datuk nak jamu satu asrama, banyak nenek dan datuk bawa. Yang paling kerap dibawa mestilah buah-buah kampong. Walaupun pengangkutan nak ke sekolah emak hanyalah sebuah sampan, dan waktu tu, datuk hanya penoreh getah, datuk dan nenek tak kisah. Asalkan dapat tengok anak senang. Itulah kasih sayang emak dan ayah pada anak. Emak pun buat perkara yang sama pada saya dan adik-adik. Setiap kali ada peluang, emak mesti datang melawat (waktu sekolah menengah) walaupun waktu itu mak baru saja membiasakan diri memandu kereta jauh dari pekan Kuala Berang.

Sambung lagi cerita emak. Emak layak untuk menyambung masuk ke tingkatan 6, tapi nenek tak benarkan sebab waktu itu pelajar tingkatan 6 terpaksa tinggal di rumah sewa di kuala terengganu. Emak akur. Jadi emak memohon nak sambung pelajaran ke maktab perguruan dan jururawat berbekalkan keputusan peperiksaan SPM mak. Alhamdulillah ada rezeki nak menjadi guru. Mak diterima masuk ke maktab perguruan. Pada waktu sama, arwah ayah masuk meminang. Sekali lagi mak akur dengan keputusan nenek yang menyuruh emak menerima pinangan arwah ayah. Mujurlah arwah ayah memahami dan menyokong niat emak untuk belajar lagi. Arwah ayah banyak berkorban untuk emak. Dahulu ketika masih tiada kereta, arwah ayah meminta bantuan kawannya untuk menghantar dan menjemput emak sebulan sekali. Tetapi selepas arwah ayah mampu membeli kereta, setiap minggu emak dijemput pulang. Tambahan lagi, kami anak-anaknya masih kecil ketika itu. Rasa kagum dengan emak kerana mampu memegang tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pelajar pada waktu yang sama. Walaupun demikian mak selalu berpesan, kalau nak kahwin pun biar habis belajar dulu. Hehe…

Rasanya sampai sini dulu cerita pasal emak. Kesimpulannya dari cerita ini, kita kena menuntut ilmu walaupun banyak dugaan dan rintangan yang kita kena tempuh. Kata orang tua-tua, berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Contohnya dah ada depan mata saya. Kalau emak tak merasa susah nak belajar dulu, mustahil mak boleh jadi guru sekarang dan menyara kami anak beranak. So, saya harap kisah emak saya ni boleh dijadikan pengajaran. Maaf kalau terkasar bahasa, tersilap bicara..

5.22 pm, 06 Mei 2010, Rabu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

dah lama tak update blog

salam.. saat saya tulis post ni, niat nak menyambung cerita seandainya masih ada cinta.. bila check thumb drive saya, saya terambik bahagian yang salah.. minta maaf kepada pembaca (kalau ada..huhu) yang tertunggu-tunggu. sabar ya... insya Allah dalam masa terdekat citer itu akan disambung..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

pantasnya masa berlalu

1994-1999 (SKBK)
Zaman kanak-kanak Ribena. Seronoknya menjadi kanak-kanak. Tidak perlu berfikir tentang banyak masalah. Walaubagaimanapun perjalanan hidup saya tidak seindah orang lain apabila kehilangan ayah di usia yang muda. Namun kami sekeluarga hadapinya dengan tabah. Alhamdullilah. Saya masih beruntung ada emak, datuk dan nenek yang menyayangi kami adik beradik. Tahun 1996 saya menduduki ujian penilaian tahap satu. Tetapi saya tidak berjaya melompat kelas. Tahun 1999, saya menduduki peperiksaan UPSR pula. Berkat doa dan usaha saya berjaya mendapat keputusan cemerlang. Selepas itu bermula langkah saya ke alam sekolah menengah pula.


2000-2002 (SMAASZA)
Ketika mula-mula memasuki asrama hampir setiap hari saya menangis di minggu pertama. Mujurlah pihak sekolah membenarkan pelajar tingkatan satu pulang minggu pertama itu. Bolehlah kami mengubati rindu sementara menunggu masa untuk kami menyesuaikan diri. Rasa seronok pula disayangi kakak-kakak disini. Pengalaman sembahyang berjemaah bersama-sama, makan di dewan makan bersama-sama begitu menyeronokkan. Masuk tingkatan dua, perasan diri tu dah besar sangat. Sudah berani melanggar peraturan asrama. Antara peraturan yang selalu dilanggar : Ponteng waktu ulangkaji waktu malam, sembahyang di bilik, membawa novel dan ‘walkman’. Rasa satu cabaran pula melanggar peraturan tu. Seronok main sorok-sorok dengan kakak AJK. Otak pun ligat berfikir di mana nak sorok barang terlarang ni. Saya juga tak lupa nak meneruskan budaya mengambil adik angkat. Bukan apa nak mengeratkan silaturahim dengan pelajar junior. Tingkatan tiga, tahun peperiksaan. Dah tak aktif sangat nak langgar peraturan ni. Insaf. Maklumlah nak periksa. Walau apa pun ‘walkman’ dan novel masih lagi jadi santapan jiwa. PMR saya tempuhi dengan baik dan alhamdulillah keputusan saya meransangkan. Di bumi SMAASZA ini saya belajar banyak perkara. Lebih-lebih lagi tentang hal agama. Dimarahi perkara biasa. Kalau tak dimarahi kita takkan tahu kesilapan kita bukan. Terima kasih kepada semua guru-guru, warden-warden, kakak-kakak yang banyak membimbing saya dan kawan-kawan.

2003-2004 (SMKAKA)
Mencari ilmu di tempat baru bukanlah mudah. Lain tempat lain adatnya. Lain orang lain caranya. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Saya mengambil masa juga untuk menyesuaikan diri di sini. Mujurlah kawan-kawan ramai di sini yang memberi sokongan. Terima kasih semua. Ramai kawan-kawan baru yang saya kenali di sini. Walaupun berbeza, tetapi masih ada persamaan dengan tempat lama. Walaupun di tempat jauh, kawan-kawan lama tidak pernah saya lupakan. SPM saya hadapi dengan tenang. Berkat doa dan usaha, alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

2005-2008 (Diploma- UiTM Kampus Dungun)
Siapa sangka saya akan melanjutkan pelajaran di bumi Terengganu juga. Syukur. Tidaklah jauh sangat dari rumah. Tidak perlu berebut tiket untuk pulang ke kampung. Saya bertemu kawan-kawan baru. Kalau dulu berkawan dengan orang Terengganu sahaja, kini kawan-kawan datang dari negeri yang berbeza. Ada orang Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan ramai lagilah. Macam-macam ragamnya. Seronok di sini. Tiga tahun di sini saya akhirnya berjaya menggenggam segulung diploma.

                      gambar sewaktu konvo diploma dengan mak

2008-2010 (Ijazah-UiTM Shah Alam).
Kali pertama belajar jauh dari rumah. Waktu ini barulah memahami keperitan kawan-kawan berebut tiket untuk pulang ke kampong pada hari raya. Di sini saya juga dapat kawan-kawan baru. Saya juga belajar tinggal di rumah sewa. Seronok. Namun kami semua berseronok ada batasnya. Pengajian saya pun dah hampir tamat. Saya bakal masuk ke dalam satu lagi fasa baru. Alam pekerjaan. Masih lagi mencari.


Begitulah kisahnya untuk entri kali ini. Tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad. Tamat belajar di sini tidak semestinya tamat tugas saya menuntut ilmu. Selagi masih ada nafas, selagi itulah kita tidak boleh berhenti ilmu. Terima kasih kepada guru-guru sekolah rendah, sekolah menengah dan pensyarah-pensyarah semua. Anda semua dalam ingatan saya. Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS